Saturday, July 25, 2009

Lima Nasihat Untuk Orang Mukmin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah SAW. berwasiat kepadanya yang bermaksud :
“Siapakah yang sudi mengambil dari diriku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?”

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah ini dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah”

Maka baginda menjabat tangan Abu Hurairah dan menghitung lima kali seraya berkata,
yang bermaksud :

1. Jagalah dirimu dari perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.

2. Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.

3. Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang mukmin sejati .

4.Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.

5.Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW. sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaikan walaupun ringkas namun padat serta suatu yang praktikal. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah kehidupan manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat sekitarnya, sehingga mereka mewujudkan satu kelompok yang terasing. Muslim dan muslimah tidak berhak menuduh masyarakat sebagai masyarakat jahiliah sebelum mereka cuba untuk memperbaikinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dalam masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat dari hadis Nabi SAW .di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim dimana jua mereka berada.

1.Menjaga Diri dari Perbuatan yang Haram :

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara diri dari perkara yang di haramkan Allah SWT. Kaum muslimin boleh melakukan apa saja perkara selagimana perkara itu tidak haram atau syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerena ia akan menyeret kepada yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pun dihindari, sanggup melawan hawa nafsu serta membentengi diri dari tipu daya syaitan maka itulah jalan menuju takwa. Jalan yang akan mempertemukan kita bersama dengan orang-orang soleh yang di janjikan pelbagai bentuk kenikmatan oleh Allah SWT.

2.Puas dan Redha dengan Kurnia yang Dilimpahkan Allah Padanya :

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita bahawa hakikat ‘kaya’. Kaya bukanlah bererti melimpah ruahnya harta, memiliki rumah yang tersergam indah, perabut mewah, kenderaan hebat atau perhiasan yang dipakai oleh seseoramg. Tetapi kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia merupakan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan segenap kurnia yang diberikan Allah SWT. Sehingga ia tidak memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Walaubagaimanapun apabila kita bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah, nescaya Allah akan tambah lagi rezeki kita dengan berlipatkali ganda dan kekayaan yang di miliki akan membawa kita lebih hampir dengan Allah SWT.

Kekayaan juga bermakna apabila kita memiliki nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita dari seksa neraka dan membawa kita menuju ke syurga Allah SWT. Tentulah ianya tak mungkin dapat dinilai dan diukur dengan nilai-nilai kebendaan.

3.Berbuat Baik Kepada Jiran Tetangga :

Rasulullah SAW. memerintahkan kita agar berbuat baik terhadap orang yang paling hampir rumahnya iaitu jiran. Jiran yang paling berhak mendapat perlakuan baik kita. Maka ajaran Islam mengatur masaalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Mencintai Orang Lain :

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasulnya. Mencintai orang lain kerana Allah termasuk dalam tuntutan Islam. Mencintai orang lain yang dimaksudkan Rasulullah SAW adalah sesama muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain yang bermaksud : “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala terhadap orang yang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan dakwah ke jalan Allah. Sebagai pendakwah kita perlulah berlemah lembut kepada mereka bagi tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam.

5.Tidak Banyak Bergurau :

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis.

Rasulullah SAW  mengatakan bahawa senyum terhadap saudara seakidah merupakan perbuatan makruf dan tergolong dalam ibadah.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : “Janganlah kamu meremehkan yang makruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”

“Senyum terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang sering kali terjerumus pada perlecehan dan seumpamanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masaalan agama dan perkara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah SWT. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu melecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain ketawa.”

Sahabat yang dikasihi,
Inilah lima pedoman dalam bergaul dalam masyarakat. Perlulah sama-sama kita amalkan kerana jika setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan di akhirat. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang di cintai sesama insan sedang di akhirat ia akan terhindar dari kemurkaan Allah SWT dan di redai-Nya.

No comments: