Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Ash tidak lagi turut serta dalam medan pertempuran.Dia lebih sering tinggal di istananya di Mesir. Di depan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang Yahudi tua. 'Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah mesjid.' Detik hati sang gabenor.
Di pendekkan cerita, Yahudi itu di panggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya, walaupun harga yang di tawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.
"Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tak akan menyesal !".Tegas gabenor dengan nada ancaman.
Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi yang mengecewakan itu, terdetik dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.
"Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh dari Mesir ke sini?" Tanya Umar al-Khattab kehairanan.
Yahudi tua itu pun mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melapurkan aduan kesnya penuh kesedihan.
Merah padam wajah Umar al- Khattab apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. "Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr !" kecam Umar.
"Sungguh tuan, saya tidak mengada-adakan cerita walau sepotong ayat",sahut datuk tua itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.
"Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir," perintah Khalifah, al-Faruq, Umar al-Khattab.
Orang Yahudi itu semakin kebingungan, "Tuan, adakah Tuan sedang mempermainkan saya?" kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. 'Jangan-jangan khalifah dengan gabenornya sama dua kali lima saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memagang tampuk pemerentahan dan kekuasaan pasti akan menindas golongan minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,' bisik hati orang tua itu penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh Khalifah Umar al-Khattb.
Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir datuk tua Yahudi itu semakin tak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerentahkan sesuatu yang di luar dugaan. "Bongkar dan runtuhkan mesjid itu ! teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.
Yahudi itu segera berlari keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang di jangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan mesjid yang tersergam indah yang hampir siap di binanya.
"Tunggu !" jerit orang tua Yahudi. "Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa pelik ini? Adakah ia berpunca dari tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu hingga Tuan begitu nekat membuat keputusan untuk membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya, saya benar-benar tak faham?" tanya orang tua Yahudi itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.
Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu dengan penuh mesra, "Wahai datuk, sebenarnya tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk."
"Tapi...."datuk tua itu mencelah.
"Namun kerana ia mengandungi perintah Khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa betapapun tingginya kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang di gores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) maupun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, Khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya !" jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.
"Sesungguhnya, amat agung ajaran agama Tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam." Ujar orang tua Yahudi itu pasrah berserta linangan air mata yang tak tertahan. Allahu Akbar!!
Sahabat yang dimuliakan,
Inilah Islam yang benar dan agung.Inilah antara deretan kisah sejarah keunikan pemerentahan Islam yang indah dan adil. Pemerentahan yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya dari seorang Yahudi tua ! Sentiasa menegakkan keadilan, tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerentah menerima teguran ! Sungguh mengharukan....tak pernah berdendam dan bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa bertelagah atau penangguhan.
Betapa kerendahan hati yang ada pada pemerentah-pemerentah teladan. Sehingga mampu menawan hati kaum kuffar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan ! Benarlah sebagaimana yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud : ".... umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya..."
No comments:
Post a Comment