Wednesday, July 22, 2009

Lelaki Yang Sentiasa Berlapang Dada

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya ada seorang lelaki yang tidak pernah sekalipun berbuat baik, cuma dia biasa memberi hutang kepada orang lain. Suatu hari dia berkata pada hambanya, 'Ambillah berapa pun yang disimpan, jangan menyusahkan orang dan seringlah memberi maaf. Mudah-mudahan Allah berkenan mengampuni kita.'

Setelah lelaki itu meninggal dunia Allah SWT. bertanya, 'Adakah kamu pernah berbuat baik?'

Dia dengan jujur menjawab, 'Tidak, cuma aku mempunyai seorang pembantu dan aku biasa memberikan hutang kepada orang lain, ketika aku meminta pembantuku untuk mengutip hutang, selalu saja aku berpesan kepadanya, 'Ambilah berapa pun yang dia berikan, jangan menyusahkan orang dan selalulah memaafkan orang lain, mudah-mudahan Allah mengampuni kita."

Kemudian Allah berfirman yang bermaksud, "Cukup, Aku telah mengampunimu."

Sahabat yang dimuliakan,
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang dan berlapang dada ketika menuntut hutangnya.

Sekiranya orang yang berhutang belum mampu membayar balik hutang tersebut, kemudian dia  berilah tempuh yang sewajarnya atau dia halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Pengajaran yang boleh diambil :

1.Kita digalakkan berlapang dada dan memberi maaf kepada orang lain, dan berkelakuan baik semasa berurusan dengan orang lain.

2.Perbuatan memberi pinjam kewangan kepada mereka yang memerlukannya adalah peribadi mulia yang sangat dituntut oleh Islam dan akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT., terutama mereka yang berlapang dada semasa menuntut balik hutang tersebut, semata-mata mencari keredhan Allah SWT.

3.Menerangkan betapa luasnya rahmat dan ampunan Allah SWT. walaupun suatu amalan yang kecil namun mendatangkan pahala yang besar.

4.Apabila seorang hamba itu mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, lemah lembut dan berkasih sayang terhadap hamba Allah yang lain, tidak berhati kasar dan memudahkan urusan, nescaya Allah juga akan akan berlemah lembut dan sayang kepadanya.

No comments: