Monday, October 12, 2009

Berdoa Semoga Terhindar Daripada Dosa Syirik dan Musibah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syirik merupakan dosa yang Allah SWT. murkai. Dibimbangi segala amalan pelakunya tidak diterima Allah SWT. Syirik boleh berlaku menerusi perbuatan, amalan dan perkataan. Antara doa yang menjadi amalan Nabi SAW. setiap pagi dan petang adalah membaca doa berikut :

"Allahuma innanauzubika min annusrika bika syaian naklamuhu wanas taghfiruka limaa laa naklamu" (Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu agar tidak menyekutukan-Mu kepada sesuatu, sedang kami mengetahuinya, dan kami memohon ampun terhadap apa-apa yang tidak kami ketahuinya."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Nabi SAW mengingatkan para sahabat agar berjaga-jaga daripada melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT kerana syirik itu lebih halus daripada tapak kaki semut. Lalu para sahabat bertanya, "Kalau begitu bagaimana kami dapat mengelakkan diri daripada perbuatan syirik itu?"

Nabi SAW mengajarkan doa diatas agar sentiasa dibacakan.

Eloklah kita sentiasa membacanya setiap hari selepas solat Subuh dan Asar, memohon kepada Allah SWT. agar terselamat daripada syirik kepada-Nya.

Sahabat yang dihormati,
Satu lagi doa yang perlu sentiasa kita baca memohon kepada Allah SWT. agar kita selamat dan terhindar daripada kemalangan dan musibah. Nabi SAW. mengajar kita agar memohon keselamatan daripada musibah-musibah yang tidak dijangka akan berlaku. Terutama zaman sekarang apabila berbagai kemalangan berlaku tanpa mengambil kira masa dan tempat, maka eloklah kita beramal denga doa ini setiap hari :

"Allahumma laayakti bil hasanaati illah anta walaa yazhab bissaiaati illah anta walahaulaa kuwataillah billa" (Ya Allah! Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah) (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari Uthman bin Affan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda ; "Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang membaca; ' Bismillahillazi layadurrumaasmihi saiun filardi wallafis samai wahuwas samiul alim' (maksudnya : Dengan nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada mudharat sedikit pun baik di bumi dan di langit, dan Ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.) kecuali bahawa tidak ada sesuatu yang membahayakannya."
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)
{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}

Di dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa menjelang petang membaca , 'A'uzubikalimatilla hittaamaati min syarrimaahalaq' (maksudnya : Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya) 3 kali maka tidak akan membahayakan baginya racun yang ada pada malam itu." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya)

No comments: