Thursday, October 15, 2009

Tanggungjawab Menghayati dan Menegakkan Islam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang individu mukmin kalian mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan. Islam bermula dari individu, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem Islam, maka perlu ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam, bantu-membantu, pimpin-memimpin, bimbing-membimbung antara satu sama lain dalam suasana ukuwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT. dalam satu jemaah yang tersusun rapi.

Hendaklah kalian sedari bahawa memperkatakan yang hak itu adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Deen atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan dalam kawalan yang sudah terbentuk.

Kerja-kerja menegakkan iman, amal soleh dan mengawal yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu. Maka ia memerlukan kesabaran. Sabar menanggung penderitaan dan kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan ukuwah dan bimbing-membimbing dengan kesabaran. Dalam suasana ini, barulah sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.

Sahabat yang dimuliakan,
Model yang tinggi dan agung telah lahir di zaman Rasulullah SAW. dan para sahabat. Adalah perlu sekali di ambil contoh tauladan mereka. Generasi pertama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi umat terbaik.

Rumusan daripada pemikiran oleh Al-'Allamah Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi dalam kitabnya, 'Maza Khasira al-'Alam Bi Inhitat al-Muslimin' mendapati bahawa ciri-ciri jemaah Rasulullah SAW adalah seperti berikut :

1. Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.

2. Mereka telah melalui proses tarbiah (didikan) dan tazkiah (pembersihan) jiwa dalam jangka masa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah SWT., bukan kemegahan atau banggaan.

3. Perkhidmatan mereka ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. semata-mata. Bagi mereka kemuliaan hanya bagi orang-orang yang bertakwa.

4. Mereka membina tamaddun yang soleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli (akal). Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.

Dasar hidup mereka dibina di atas firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Mereka mengabdikan diri kepada-Ku dan tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun."
(Surah an-Nur ayat 55)

Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT. menurut tafsirannya, ialah tetap berpegang teguh dengan peraturan Allah SWT. Inilah kaedah yang diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.

Sahabat yang dikasihi,
Justru itu, jika kalian mahu melihat Islam kembali kuat dan memimpin manusia, segala-galanya perlu bermula dengan diri kalian terlebih dahulu. Tanpa kesedaran untuk melakukan kebaikan dan tanpa kesungguhan untuk mengisi kesedaran diri sendiri, kalian pasti gagal untuk melihat kekuatan Islam. Sesungguhnya Islam tidak dibina di atas dasar mencari kesalahan orang lain tanpa melihat kepada diri sendiri terlebih dahulu. Ramai yang berani berkata-kata tetapi sedikit yang mampu mengotakannya.

No comments: