Saturday, October 17, 2009

Masaalah Hidup Manusia Ada Jalan Keluar!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai manusia biasa kita memang sentiasa berhadapan dengan masaalah. Ramai manusia yang kalah dalam menghadapi masaalah. Ada yang suka berbincang tentang masaalah hingga kadangkala dirasakan hidupnya dilingkungi dengan masaalah, tetapi mereka tidak bincang cara untuk selesaikannya. Tidak kurang juga manusia yang suka menuding jari menyalahkan orang lain apabila timbul masaalah.

Dalam konteks ini kita tidak boleh lari dari merujuk kepada Al-Quran. Dalam surah Muhammad, ayat 7 Allah SWT. berfirman yang maksudnya : "Sesiapa yang menolong agama Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan kehidupan mereka."

Ayat ini membawa kita untuk melihat bagaimana untuk menyelesaikan masaalah. Allah SWT telah berjanji bahawa Dia akan menolong sesiapa sahaja yang menolong agama-Nya. Ini bererti bahawa segala masaalah yang kita hadapi hari ini akan diselesaikan oleh Allah SWT dengan syarat mereka itu sentiasa bekerja untuk menegakkan agama Allah SWT dengan ikhlas dan yakin. Keyakinan ini mesti ada terutama kepada para pendakwah.

Menolong agama Allah mempunyai pengertian yang luas. Apa jua usaha mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah termasuk di dalam makna menolong agama Allah. Dalam melaksanakan kerja ini, kita seharusnya bersedia untuk mengorbankan apa sahaja asalkan ketinggian agama Allah SWT tertegak di atas muka bumi ini.

Penyelesaian dari Allah SWT mungkin datang dalam bentuk sama ada diberikan kesenangan hidup, kasih sayang manusia, keluarga yang bahagia, idea-idea yang baik dan mungkin juga ketenangan jiwa. Yang pasti Allah SWT tidak akan mungkir janji. Semakin banyak kita menghadapi masaalah maka seharusnya semakin kuat kita melakukan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat, bukan semakin berkurang. Sikap ini perlu dimiliki oleh kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya kalau kita renung kembali, masaalah itu sendiri datangnya dari Allah SWT untuk menguji manusia, adakah mereka sabar dan beriman kepada-Nya.

Kerosakan akhlak remaja hari ini telah menyebabkan ramai ibu bapa menitiskan airmata. Ada yang sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk memulihkan anak mereka. Disinilah kita ingin menyatakan kepada ibu bapa berkenaan supaya bangun dan membantu agama Allah SWT., selepas itu berdoalah maka insya Allah akan datang pertolongan dari-Nya

Oleh kerana semua masaalah datang dari Allah SWT maka hanya Allah SWT sahaja yang boleh menyelesaikannya. Jadi kepada sesiapa yang mempunyai masaalah sama ada masaalah rumahtangga, pejabat, teman-teman, kewangan, ayuh langkahkan kaki, teruskan perjuangan, sebarkan ajaran Allah SWT. Nun di sana cahaya fajar sedang menunggu kalian. Jangan gentar hadapi masaalah kerana di sana sudah ada penyelesaiannya. Yang penting, ikhlaskan hati dan bertawakal kepada Allah SWT dalam segala urusan hidup di dunia ini.

No comments: