Tuesday, October 13, 2009

Sifat Syurga dan Penduduknya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syurga adalah tempat istirehat yang sebenarnya. Satu tempat istimewa yang disediakan oleh Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya yang telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya ketika didunia. Banyak terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW  yang menceritakan tentang nikmat dan keseronokan tempat tinggal di syurga Allah SWT.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata, "Ya Rasulullah dari apakah dibuat syurga itu?".

Jawab baginda : "Dari air."

Kami bertanya : "Beritakan tentang bangunan syurga?"

Jawab baginda : "Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan yakud, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya."

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya didalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya, bacalah : Wa dhillin mamdud (dan naungan yang memanjang terus).

Dan di dalam syurga kesenangannya yang tidak pernah dilihat mata atau di dengar telinga, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia.

Bacalah kamu : Fala ta'lamu nafsun maa ukh fia lahum min qurrati a'yunin jazza'an bima kanu ya'malun (Maka tidak seorang pun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka dan kesenangan yang memuaskan hari sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan).

Dan tempat pecut di dalam syurga lebih baik dari dunia seisinya. Bacalah ayat : Faman zuhziha aninnari wa udkhillal jannata faqad faza (Maka siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam Syurga bererti telah untung)."

(Hadis Riwayat Abul-Laits dari Abu Hurairah r.a.)

Kenikmatan yang paling tinggi sekali dan tidak ada nikmat yang lain dapat mengatasinya adalah apabila Allah SWT. mengizinkan ahli syurga melihat Zat Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka ada seruan : 'Hai ahli syurga Allah akan menepati janji-Nya kepada kamu.'

Mereka berkata : 'Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami, dan memutihkan wajah kami, dan memasukkan kami ke dalam syurga, dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihat-Nya, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat Zat Allah."

(Hadis Riwayat Abul-Laits daripada Shuhaib r.a.)

Dari Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. bersabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit, kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak ingus, sisir rambut mereka dari emas, dari ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum, dan peluh mereka kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tinggi bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta."

Ibn Abbas berkata : Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya ahli syurga itu muda semuanya, polos , halus, tidak ada rambut kecuali di kepala, alis dan di kelopak mata, sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan polos tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata :' Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil, dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, dan dimakan oleh orang itu sekuatnya.'

Dan tiap wali mendapat tujuh puluh perhiasan, tiap perhiasan berbeza warna dengan yang lain, sedang di jari-jarinya ada sepuluh cincin, terukir pada yang :

Pertama : Selamat sejahtera kamu kerana kesabaranmu.

Kedua : Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman.

Ketiga : Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.

Keempat : Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita.

Kelima : Kami memberimu pakaian dan perhiasan.

Keenam : Kami kawinkan kamu dengan bidadari.

Ketujuh : Untukmu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu.

Kelapan : Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan siddiqin.

Kesembilan : Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya.

Kesepuluh : Kamu tinggal dengan tetanga yang tidak mengganggu tetanggnya."

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia, dan cara beribadat bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya, dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga."

Sahabat yang muliakan,
Sebelum memasuki ke syurga setiap manusia akan melalui Siratul Mustaqim.

Abul-Laits meriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
"Manusia semua akan berdiri di dekat neraka kemudian mereka menyeberang di atas sirat (jambatan) di atas neraka, masing-masing menurut amal perbuatannya, ada yang menyeberang bagaikan kilat, ada yang bagaikan angin kencang dan yang bagaikan kuda yang cepat larinya, dan seperti lari orang, dan ada yang bagaikan terbang burung, dan ada yang seperti unta yang cepat dan yang akhir berjalan di atas kedua ibu jari kakinya, kemudian tersungkur dalam neraka, dan sirat itu licin, halus, tipis, tajam semacam pedang, berduri sedang di kanan-kiri malaikat yang membawa bantolan untuk membantol (menyeret) orang-orang, maka ada yang selamat, ada yang luka-luka tetapi masih selamat dan ada yang langsung tersungkur ke dalam api neraka, sedang para malaikat itu sama-sama berdoa Robbi sallim sallim (Ya Tuhan selamatkan, selamatkan) dan ada orang yang berjalan sebagai orang terakhir masuk ke syurga maka ketika ia selamat dari sirat terbuka baginya pintu syurga dan merasa tidak ada tempat baginya di syurga, sehingga ia berdoa : 'Ya Tuhan tempatkan saya di sini.'

Jawab Tuhan : 'Kemungkinan jika Aku beri padamu tempat itu lalu minta yang lainnya?.'

Jawabnya :' Tidak, demi kemuliaan-Mu. Maka ditempatkan di situ', kemudian diperlihatkan kepadanya tempat yang lebih baik, sehingga ia merasa kerendahan tempat yang diberikan padanya lalu ia berkata : 'Ya Tuhan tempatkanlah aku di situ.'

Di jawab oleh Tuhan : 'Kemungkinan jika Aku berikan kepadamu, kau minta yang lainnya?'

Jawabnya :' Tidak demi kemuliaan-Mu', kemudian diperlihatkan kepadanya syurga yang lebih baik, sehingga ia merasa bahawa tempatnya itu masih rendah, tetapi ia diam tidak berani minta beberapa lama, sehingga ditanya :' Apakah kau tidak minta?'

Jawabnya : 'Saya sudah minta sehingga merasa malu.'

Maka firman Allah yang bermaksud : 'Untukmu sebesar dunia sepuluh kali, maka inilah yang terendah tempat di syurga."

Abdullah bin Mas'ud berkata : " Nabi SAW  jika menceritakan ini maka tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya."

Di dalam hadis yang lain menceritakan bahawa di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi bidadari kerana perbuatannya ketika di dunia.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Kami cipta mereka baru, dan kami jadikan mereka tetap gadis, yang sangat kasih dan cinta, juga tetap sebaya umurnya, untuk orang-orang ahlil yamin"

Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Arqam r.a. berkata : Seorang ahlil kitab datang kepada Nabi SAW  dan bertanya : "Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan minum?"

Jawab Nabi SAW : "Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, seorang ahli syurga diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jimak (bersetubuh)"

Ia berkata :'"Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran?'"

Jawab Nabi SAW. : "Hajat seseorang itu berupa peluh yang berbau harum bagaikan kasturi."

Sahabat yang dikasihi,
Abul-Laits berkata sesiapa yang ingin mendapat kehormatan itu hendaklah menepati lima perkara :

1. Manahan dari maksiat, firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan menahan nafsu dari maksiat maka Syurga tempatnya."

2. Rela dengan pemberian yang sederhana sebab dalam hadis yang bermaksud : "Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia."

3. Rajin pada tiap taat dan semua amal kebaikan, sebab kemungkinan amal itulah yang menyebabkan pengampunan dan masuk syurga. Allah berfirman yang bermaksud ; "Itu syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu."

4. Cinta pada orang-orang soleh dan bergaul pada mereka sebab mereka diharapkan syafaatnya sebagaimana dalam hadis yang bermaksud : "Perbanyaklah kawan, kerana tiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat."

5.Memperbanyakkan doa dan meminta masuk syurga dan hasnul khotimah.

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Siapa yang meminta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa : 'Ya Allah, masukkan ia ke syurga, dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali, maka eraka berdoa ; 'Ya Allah hindarkan ia dari eraka."

Ahli-ahli syurga sentiasa sibuk berziarah di antara satu sama lain. Dikumpulkan semua ahli keluarga dari ayah, datok seterusnya keturunan di atas hingga ke datok kita pertama Nabi Adam a.s. Begitu juga dipertemukan anak, cucu, cicit dan serterusnya keturunan kita dibawah hingga ke hari kiamat. Kalau kita di dunia hanya bertemu kaum keluarga yang terdekat sahaja tetapi di syurga kita dapat bertemu semua ahli keluarga dan keturunan kita tanpa hadnya dan amat seronok dapat berbincang dan manceritakan amalan masing-masing hingga menyebabkan berhasil dapat memasuki syurga.

Di syurga juga kita dipertemukan dengan sahabat-sahabat, saudara seperjuangan dalam dakwah, rakan-rakan, jiran tetangga dan orang-orang soleh yang lain. Yang amat mengembirakan sekali kita dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW  dan sahabat-sahabat baginda. Bahasa yang di gunakan di syurga adalah bahasa Arab, walaupun di dunia kita tak tahu bahasa Arab tetapi secara otomatik kita akan fasih berbahasa Arab kerana setiap hari kita solat menggunakan bahasa Arab. Sesiapa di dunia tidak pernah solat (dalam solat kita gunakan bahasa Arab) maka dia tidak akan memasuki syurga.

Di syurga kita diberikan kebenaran untuk berkomunikasi denga ahli neraka, dan mereka melahirkan penyesalan kerana semasa di dunia mereka tidak mahu mendengar ajakan untuk beriman kepada Allah SWT. dan mentaati Allah SWT. dan Rasulullah SAW.

Syurga mempunyai 7 tingkat. Tingkat yang paling tinggi adalah Syurga Firdaus. Nabi SAW  ada menyatakan bahawa kalau kita berdoa mintalah pada Allah SWT. Syurga yang paling tinggi iaitu Syurga Firdaus. Di tingkat mana di dalam syurga seseorang hamba itu di tempatkan adalah bergantung pada amalan masing-masing, semakin banyak amalan kebaikannya maka semakin tinggi tempat duduknya di syurga.

Di syurga juga terdapat sungai susu, sungai arak dan sungai madu. Kenderaan yang di gunakan bergantong kepada keinginan masing-masing. Apabila masuk sahaja ke dalam syurga, maka Allah SWT sediakan kuda dari permata dan mempunyai dua sayap yang boleh terbang dan bergerak kemana sahaja mengikut arahan penghuni syurga tersebut.

Sahabat yang dihormati,
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT. semoga Allah SWT. dengan rahmat dan kasih sayang-Nya mengizinkan kita agar dapat memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan dan di jauhkan kita daripada neraka.

No comments: