Sanggup berdebu dan memijak tanah, memberi apa yang diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat. Begitulah perumpamaannya cinta Allah kepada hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud : "Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku." (Surah al-Baqarah : 186)
Seseorang akan dapat melihat cinta Allah dengan jelas serta merasainya menerusi hati yang bersih. Apabila Allah mencintai hamba-Nya, akan lahir dalam hatinya ilham suci yang membuatkan dia kenal bahawa itulah tanda kecintaan-Nya.
Ada beberapa tanda yang boleh dirasai hati manusia :
1 Individu yang dicintai Allah amat berminat terhadap ibadah. Kadangkala ada orang yang begitu gigih beribadah sampaikan melebihi kapasitinya sebagai insan lemah semata-mata kerana mahu mencintai Allah. Tetapi ibadahnya kosong. Semangat imannya tidak menentu. Akhirnya dia tenggelam dipukul arus dunia.
Ketika beribadah, seseorang mesti yakin bahawa saat itu Allah mencintainya. Pernahkah kita bersujud panjang dan pada masa yang sama hati kita merasai Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang yang dicintai-Nya? Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Jika Allah mencintai seseorang hamba maka Ia berfirman : Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia." (Riwayat Imam Ahmad)
Orang yang yakin dicintai Allah tidak akan takbur dan was-was akan ibadahnya diterima atau tidak. Dia yakin Allah akan menolongnya untuk mentaati-Nya serta menuntun dia ke jalan takwa. Kemudian dia sampai kepada satu makrifat mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati antara satu sama lain. Tetapi cinta-Nya kekal.
2 Apabila dicintai Allah, seseorang yang melakukan maksiat akan membuatkan dia bangkit mendekati-Nya. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat tatkala akhirnya ia membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar. Kemudian dia bangkit mengejar Allah dan berusaha mendapatkan semula hatinya yang hilang. Dia tidak berputus asa dengan rahmat-Nya kerana dia ingat janji.
Firman Allah yang bermaksud " "Katakanlah : Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)." (Surah al-Zumar : 53-54) Usah kerana dosa semalam kita menyangka Allah tidak lagi sudi mendengar rintihan dan doa kita.
Rasulullah s.a.w.bersabda bermaksud : "Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman : Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saat Allah mencintai seseorang, sentuhan pertama cinta-Nya ialah hati manusia. Di situlah Allah lenyapkan rasa putus asa dan sedih kerana dosa lampau. Kemudian digantikan pula dengan harapan dan keinginan untuk berubah.
3 Tatkala dicintai Allah, dadanya berasa lapang bagi membolehkan dia menerima ilmu petunjuk ke jalan benar. Allah tidak akan membiarkan seseorang terkapai-kapai dalam lautan dosa, bahkan dikirimkan-Nya hati manusia petunjuk hidayah supaya dia terselamat daripada gelombang keganasan diri sendiri.
Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan baik dan keji. Tidak cukup dengan itu, Dia mengutuskan juga Rasul, menurunkan al-Qur'an serta melahirkan pejuang agama-Nya yang terpilih bagi menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.
Allah juga menjaga ilmu Islam dan al-Qur'an daripada dicerobohi manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda s.a.w. bersabda bermaksud : "Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sumber : Daripada akhbar I Luv Islam
No comments:
Post a Comment