Thursday, June 10, 2010

Sifat-sifat Roh (Hati)

Roh yang ada di dalam diri kita ini terlalu abstrak (seni). Sifatnya
sensitif, selalu berubah- ubah, sekejap baik dan sekejap jahat.
Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah untuk kita
mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah terabai
dan sifat-sifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri
sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak. Sifat-sifat roh
terbahagi kepada dua iaitu:

1. Sifat-sifat mahmudah (sifat positif atau sifat-sifat yang baik)
2. Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif atau sifat-sifat yang keji)

Pertama: Sifat-sifat mahmudah, antaranya:
a) jujur
b) ikhlas
c) tawadhuk
d) amanah
e) taubat
f) sangka baik
g) pemaaf
h) pemurah
i) syukur
j) zuhud
k) tolak ansur (timbang rasa)
l) sabar
m) redha
n) berani
o) lapang dada
p) lemah lembut
q) kasih sayang
r) selalu ingat mati
s) tawakal
t) takut Allah

Kedua: Sifat-sifat mazmumah, di antaranya:
a) riyak
b) ujub
c) sum'ah
d) takabur atau sombong
e) hasad dengki
f) pemarah
g) dendam
h) bakhil
i) penakut
j) cinta dunia
k) gila pangkat
l) gila puji
m) jahat sangka
n) putus asa
o) tamak

Kajian terhadap sifat-sifat mahmudah dan mazmumah ini sangat penting
kerana dengan adanya ilmu ini memudahkan seseorang itu mengenal hakikat
dirinya. Yakni, kenal sungguh tentang sifat batinnya. Bila sifat baik
dan sifat jahat sudah dikenal pasti ada dalam diri seseorang itu maka
tindakan yang perlu dilakukan ialah:

1. Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita pertahankan,
suburkan, pertajamkan dan kekalkan kerana sifat-sifat ini dikehendaki
dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia
seluruhnya, yang mana itulah bunga diri pada seseorang.

2. Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan,
dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui
proses mujahadatun nafsi (melawan hawa nafsu). Yakni melalui latihan
terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang
sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah
dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.

Untuk mendapat akhlak yang baik (terpuji) macamlah proses mendapatkan
buah yang baik dan manis. Ia didapati setelah ditanam daripada
benih-benih yang baik dan manis. Begitulah juga untuk melahirkan
perbuatan dan tindakan yang baik serta akhlak yang baik itu adalah
dengan menanam benih-benih yang baik di dalam roh (hati). Yakni
benih-benih sifat-sifat mahmudah seperti kasih sayang, rasa simpati,
rasa malu, sukakan ilmu pengetahuan, pemurah, pemaaf, sabar dan
lain-lain lagi. Buah yang masam adalah hasil ditanam benih yang masam.
Begitulah perbuatan atau tindakan yang buruk atau akhlak yang buruk
(keji) adalah berpunca daripada ditanam benih-benih yang keji (mazmumah)
di dalam roh (hati).

Adapun benih-benih mahmudah dan benih-benih mazmumah yang wujud dalam
roh (hati) hanya dapat dikesan oleh mata hati yang dibantu oleh ilmu
mengenainya. Bukan dengan mata kepala yang sifatnya tidak dapat
menjangkau dan merasainya. Yakni roh melihat roh. Hanya roh yang dapat
mengenali atau mengesan roh.

Ini bererti, mengesan sifat-sifat roh ini mestilah melalui kepekaan
pandangan mata hati serta dibantu oleh ilmu. Perjalanan roh ini laju dan
sentiasa berubah-ubah, sensitif dan berbolak-balik dari detik ke detik.
Kalau kita tidak peka dalam mengesannya setiap saat, kita akan rugi.
Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat yang baik bererti kita telah
mengabaikan sifat-sifat roh yang baik atau perasaan-perasaan yang baik.
Maka sifat baik tadi jadi tidak subur. Macam menanam pokok tanpa disiram
air, tanpa diberi baja, tanpa dijaga, walaupun pokok itu boleh tumbuh
tetapi daunnya kuning, kering, akhirnya mungkin mati. Yang baiknya,
perlu ada guru mursyid yang memberi pimpinan atau didikan (yang dapat
memimpin hati kita, asalkan kita sanggup mentaatinya).

Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat mazmumah (jahat)bererti kita
biarkan mazmumah itu berada dalam diri. Dari hari ke hari mazmumah itu
kian subur bersama suburnya jasad lahir. Akhirnya ia menguasai diri dan
kehidupan kita. Ketidakpekaan tadi menyebabkan mazmumah itu tetap
bersarang di dalam hati (roh), tidak ditumpaskan, dikikisbuangkan dan
dicabut. Akhirnya hati yang jahat itu mendorong untuk melakukan
perbuatan atau tindakan-tindakan jahat atau akhlak-akhlak jahat. Yang
kerananya akan merosakkan pergaulan dan menerjunkan kita ke Neraka.

Bagaimanakah kaedah untuk mengesan kelajuan perubahan sifat-sifat roh
yang sentiasa berubah-ubah dan berbolak-balik ini? Cara mengesan
benih-benih sifat-sifat roh (hati) ialah roh melihat roh atau roh
meneropong roh. Diteropong, dikaji dan diselidiki sebaik-baiknya dengan
dibantu oleh ilmunya untuk memastikan di kala mana berlaku sifat-sifat
yang baik dan di waktu mana berlaku sifat-sifat jahat. Bila didapati roh
(hati) bersifat baik maka hendaklah disuburkan. Di waktu roh (hati)
bersifat jahat maka dikekang dan dilawan, serta ditahan.

1 comment:

Abanglori said...

ini cerita orng jahil. takde langsung petikan ilmu yang sebenarnya. petikan ilmu mana yang diambil. makrifah adalah iktikad yang putus yang berpegang teguh dan perbetulan yg benar daripad andalil.dalil aqli dan naqli. alquran dan hadis. kalu tak de iktikad yg jazaam . bagai mana nak bezakan mahmudah dan mazmumah.ini dinamakan .....taklik...iman ikut ikutan ...kalau kita berperasaan konon kita orang alim....itu pakaian luar...itu aku tak pandang langsung.. yang aku pandang ILMU YANG ALIM...