Sunday, August 22, 2010

Mohonlah Keampunan Kepada Allah di fasa Kedua ' Pertengahannya Keampunan'

Sahabat yang dikasihi Allah,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t. kerana kita masih dihidupkan dan dapat bernafas dibulan yang penuh keberkataan Ramadhan al-Mubarak, kita sedang meneruskan ibadah puasa. Ketika ini semua pintu-pintu Syurga dibuka luas dan semua pintu-pintu Neraka ditutup rapat. Telah berlalu fasa pertama iaitu permulaannya rahmat dan kita masuk fasa kedua (11-20 Ramadhan) iaitu pengampunan daripada Allah s.w.t.

Rahmat Allah s.w.t. terlalu luas keatas semua makhluk yang ada dimuka bumi ini, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Allah s.w.t memasukkan jin dan manusia kedalam Syurga-Nya bukanlah kerana banyaknya amal ibadah atau banyaknya pahala yang dihimpun ketika didunia, tetapi Allah s.w.t. memasukkan kedalam Syurga pada hamba-hamba-Nya adalah kerana rahmat-Nya setelah diberi-Nya pengampunan segala dosa-dosa hamba-hamba-Nya.

Sekiranya ditimbang seluruh amal kebaikan dan pahala kita ketika hidup didunia berbanding sebiji nikmat mata yang Allah s.w.t. kurniakan, maka sebiji mata itu lebih berat daripada amalan kita.Kita tidak akan mampu nak balas nikmat-nikmat Allah ini.  Allah s.w.t akan memberikan rahmatNya hanya kepada mereka yang beramal soleh ketika hidup di dunia.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah s.w.t.

Hati yang kotor ini tidak akan menjadi gementar apabila disebut nama Allah dan tidak akan bertambah imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Hati ini tak rasa takut bila mendengar siksaan-siksaan di Neraka. Untuk mensucikan hati-hati yang hitam ini tidak ada jalan lain melainkan dengan zikrullah, membaca al-Qur'an, berdo’a, bermunajat, beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Apabila bersih saja daki-daki hitam di hati, hati akan menjadi jernih, putih, bersih, maka akan terbinalah iman dan takwa didalam hati tersebut.

Di fasa kedua ini di dalam bulan yang mulia, perbanyakkanlah memohon ampun diatas segala kejahilan , kesalahan dan perbuatan yang terlanjur yang kita lakukan. Dosa mulut banyak mengumpat , berbohong dan menyakitkan hati orang. Dosa mata melihat aurat wanita. Dosa telinga mendengar berita fitnah dan mengumpat. Dosa tangan menulis berita yang tak sahih dan berita gosip. Dosa dengan manusia kita perlu meminta maaf kepada orang-orang yang kita lakukan kesalahan, seperti suami, isteri, ibu bapa, jiran, saudara mara dan rakan-rakan dan masyarakat.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu 
(Hadis Riwayat Muttafaqun alaih)

Dosa dengan Allah s.w.t juga banyak kita lakukan tanpa kita sedari. Dosa tidak menjalankan amal ma'aruf nahi mungkar, kita biarkan maksiat didepan mata tanpa kita berusaha mencegahnya walaupun iman yang paling lemah membenci dengan hati, tidak ada usaha untuk menyampaikan dakwah kepada orang jahil, kelalaian kita tidak mendidik dengan sempurna isteri dan anak-anak kerana kesibukan kita dengan aktiviti lain, malas untuk menuntut ilmu, melambat-lambatkan waktu solat dan tidak mengerjakannya secara berjemaah di masjid, tidak menjaga adab-adab puasa yang boleh mengurangkan pahala puasa, membazirkan masa dan harta kejalan yang tidak bermanfaat, menonton filem dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan , pergaulan bebas dengan lelaki dan wanita yang bukan mahram dan banyak lagi dosa-dosa lain yang kita telah melakukannya.

Sahabat yang dihormati,
Ingatlah! Bahawa sesungguhnya hawa nafsu manusia menjadi penghalang di antara manusia dengan Allah s.w.t. Hawa nafsulah yang menebar kesuraman, menghalang penglihatan dan mengkaburkan arah tujuan, hawa nafsu tidak dapat ditundukkan dengan kata-kata saja tetapi hawa nafsu dapat ditewaskan dengan taqwa. Ianya dapat dilemahkan dengan rasa takut kepada Allah s.w.t. dan terus menerus muraqabah terhadap-Nya baik dalam keadaan sunyi dan terang-terangan.

Natijah dari ibadah puasa yang ikhlas akan melahirkan taqwa, dan taqwa juga adalah lahir dari keimaman yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan maraqabatullah, merasa takut terhadap murka dan azab-Nya, dan selalu berharap limpahan kurnia dan rahmat-Nya.

Dengan taqwa ini akan menjadi sumber segala kebaikan dalam masyarakat, sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan kekusutan. Taqwa merupakan asas utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka berhadapan dengan fenomena kehidupan. Dia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, serta bersabar di atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat taqwa.

Sahabat,
Teruskanlah berpuasa dengan ikhlas dan pertingkatkan amal-amal ibadah dengan bersungguh-sungguh.

Dibulan Ramadhan Nabi s.a.w. akan melaksanakan amal ibadah dengan berlipat kali ganda banyaknya.Oleh itu perlulah kita mempertingkatkan amalan ibadah kita sebagaimana yang dilaksanakan oleh baginda Nabi s.a.w.

Jangan ditinggal solat tarawih, solat tahajjud, solat witir, solat taubat, solat hajat, solat dhuha, membaca al-Qur'an, sentiasa beristighfar, solat berjemaah di masjid, sentiasa berwudhuk dan bersedekah. Pertingkatkan juga dengan menghadiri majlis ilmu, tazkirah Ramadhan, tadarus al-Qur'an dan iftar (berbuka puasa) bersama-sama di masjid atau di surau.

Sekiranya berkemampuan adakanlah sekurang-kurangnya sekali iftar dirumah menjemput ahli keluarga, jiran dan sahabat-sahabat dan solat berjemaah bersama, dengan ini boleh merapatkan hubungan silaturahim dan membina ukuwah Islamiyah. Seseorang yang memberi makan dan minum orang berpuasa, mendapat dua pahala iaitu pahala memberi jamuan dan pahala orang yang berpuasa.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa , pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya .”Berkata sahabat : Bagaimana jika kami tidak dapat memberi makan orang yang berpuasa ( berbuka puasa ) ya Rasulullah ? Nabi bersabda : “ Allah memberi pahala kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma , atau segelas air."

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang memberi buka orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun."
 
Akhirkata, jangan sia-siakan fasa kedua ini iaitu pengampunan daripada Allah s.w.t. minta dan mohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t. hingga menitiskan air mata penyesalan diatas dosa-dosa yang telah dilakukan.

No comments: