Wednesday, August 25, 2010

Teruskan Berdo'a dan Mohon Keampunan Kepada Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita masih berada difasa kedua dalam bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu fasa 'pertengahannya keampunan' daripada Allah s.w.t.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) :' Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
(Hadis Riwayat Imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih)

Dalam fasa kedua ini Allah s.w.t. menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdo’a dan memohon keampunan dari-Nya. Apakah ada tanda-tanda atau kesan dari fasa kedua ini yang telah memberi kesan pada kita?

Tanda Allah s.w.t.menerima dan mengampuni hamba-hamba-Nya ialah ia merasakan dalam hati tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa samaada besar atau kecil, menginsafi akan kesalahan-kesalahan lama yang ia telah lakukan dan terus merasai seronok dengan ibadah puasa, amal ibadah, zikrullah dan amal soleh. Dalam hati dan jiwanya merasai bahawa hidup didunia hanya sementara dan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Didalam fikirannya terbayang-bayang kehidupan di Syurga yang penuh nikmat dan juga azab Neraka yang amat dahsyat sekali. Perasaan ini akan menjadi sebagai pendorong dan motivasi untuk ia terus meningkatkan amal soleh dan meninggalkan amal yang buruk dan berdosa.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kali berdo’a dan bermunajat teruskan memohon ampun kepada Yang Maha Pengampun, kerana sifat ini amat disukai oleh Allah s.w.t. Dan kalau Allah s.w.t. menyukai kita, akan diberi-Nya rahmat dan nikmat seluas-luas-nya dan akan dibebaskan kita daripada siksaan api Neraka.

Amalkanlah membaca do’a ini sebelum membuat sebarang permohonan kepada Allah s.w.t. agar diterima oleh-Nya.

Bangunlah diwaktu dua pertiga malam, bersihkan diri dan mengambil wudhuk, solat tahajjud 2 rekaat dan solat  taubat 2 rekaat dan kemudian mengangkat tangan dan berdo'a :

“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”

“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api Neraka dan azab Kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang.”

“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka Syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke Syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari Neraka sebanyak tiga kali, maka Neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari Neraka,"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Mohonlah do'a ini berulang-ulang sepanjang malam dan siang di fasa kedua ini :
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni maka ampunlah aku."

"Ya Allah, aku memohon daripada-Mu keredhaan-Mu dan Syurga, dan aku memohon perlindungan-Mu dan dari azab api Neraka."
 
Do'a untuk keselamatan dunia dan akhirat :
"Allahumma inni asalukal 'afiya fiddunia wal akhirah"
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat)
(Riwayat Tirmizi.)

"Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka)
(Riwayat Bukhari)

Do'a yang menjadi amalan Nabi s.a.w. setiap pagi dan petang adalah membaca do'a berikut :

"Allahuma innanauzubika min annusrika bika syaian naklamuhu wanas taghfiruka limaa laa naklamu"
(Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu agar tidak menyekutukan-Mu kepada sesuatu, sedang kami mengetahuinya, dan kami memohon ampun terhadap apa-apa yang tidak kami ketahuinya."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Do'a ini perlu diulangkan setiap hari :

"Allahumma laayakti bil hasanaati illah anta walaa yazhab bissaiaati illah anta walahaulaa kuwataillah billa"
(Ya Allah! Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah)
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat,
Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu darisegi zahir dan batin.

Puasa pada hati iaitu menghidupkan hati dengan zikrullah, mengingati Allah, meningkatkan iman, takwa, tawakkal, tawaduk, sabar dan membuangkan sifat-sifat mazmumah (sifat –sifat yang dikeji seperti hasad dengki, iri hati, sombong , takbur dan buruk sangka).

Puasa pada nafsu tidak makan dan minum disiang hari dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan tidak makan dan minum berlebihan ketika berbuka. Kontrol nafsu makan dan tidak melakukan pembaziran.

Puasa pada pancaindera iaitu menjaga mulut, mata, telinga dan anggota lain supaya tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak.

Semoga Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita kerana peningkatan darisegi kualiti puasa dan peningkatan darisegi amal ibadah dan berdo'a dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. sentiasa berjalan setiap masa dan ketika.

No comments: