Monday, November 8, 2010

Adab-adab dan Akhlak Islam Dalam Perbahasan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita membicarakan perihal adab-adab dan akhlak maka persoalan ini sudah pastilah mempunyai kaitan khusus dengan perbincangan ilmu Tasawuf. Ilmu Tasawuf pula adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam selain daripada ilmu Akidah dan Fiqh. Tidak lengkap rasanya jika perbahasan hukum-hakam tidak diselitkan bersama dengan unsur-unsur ilmu Tasawuf. Ini kerana ilmu Tasawuf bertindak menjaga kesucian dan ketenangan hati dan kemudian diterjemahkan melalui perbuatan zahir yang diambil kira berdasarkan ilmu Fiqh. Barangsiapa yang hanya mempelajari ilmu Fiqh dan Akidah tanpa mempelajari dan menghayati ilmu Tasawuf maka sesungguhnya mereka sengaja menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Ilmu Tasawuf adalah ilmu yang membicarakan masaalah hati dan jiwa manusia. Ilmu yang mendidik manusia dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, sabar, berbaik sangka, merendahkan diri, tawaduk, zuhud, lemah lembut dan bersyukur. Pada masa yang sama ilmu Tasauf juga untuk mendidik hati manusia supaya dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah iaitu riak, sombong, bongkak, takbbur, iri hati,  marah, ego, kasar dan ujub.

Berkata Imam Junaid:Tasawuf adalah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi dikeji.(Kitab: al-Nusrah al-Nabawiyyah).

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan soal akhlak dan adab-adab bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat. Adab-adab yang diajar oleh Islam ini merangkumi segala aspek samada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Perutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia juga di antara lainnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik lagi terpuji kepada seluruh alam.

Sabda Rasulullah s.a.w.  bermaksud:Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak (manusia).(Hadis Riwayat Baihaqi).

Amat malang sekali apa yang berlaku pada dewasa ini, sebilangan umat Islam meninggalkan dan tidak mengambil berat adab-adab Islam lantas berlakulah perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam. Pertengkaran dan perbalahan, tuduh menuduh, hina menghina dan pihak satu lagi cuba menafikan ilmu dan kemampuan pihak yang lain. Perkara ini amat ditegah di dalam Islam kerana asas perbincangan adalah untuk menambahkan iman dan taqwa dan kearah untuk melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup.

Perbahasan yang tidak mengikut adab dan akhlak Islam akan menghancurkan ukhwah Islamiyah dan memutuskan silaturahim.

Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :"Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat  Muslim)

 Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh dan perbezaan pendapat menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim sesama Muslim.

 Di antara akhlak asas yang penting di dalam pergaulan dan perhubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain disertakan dengan tidak boleh didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri dikuatiri mendatangkan perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri.

Firman Allah Taala bermaksud:Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.(Surah an-Najm: Ayat 32).

Prasangka buruk merupakan perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah s.a.w. dan merupakan tegahan kepada umat Islam. Pada dasarnya kita haruslah menempatkan seseorang Islam itu sebagai orang yang soleh lagi baik dan tidak berprasangka buruk kepadanya kecuali dengan kebaikkan sahaja. Walaupun nampak sedikit kelemahannya, demi untuk memenangkan kebaikkan di atas keburukan, maka selalulah beranggapan baik sesama Islam. Sikap dan akhlak ini lebih-lebih dituntut jika berhadapan dengan khilaf dan kesalahan ijtihad para ulama.

Firman Allah Taala bermaksud:"Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa."(Surah al-Hujuraat: Ayat 12).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Jauhilah prasangka (buruk) kerana sesugguhnya prasangka (buruk) itu merupakan percakapan yang paling dusta.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ikhlas ialah mengesakan Allah s.w.t. di dalam ketaatan beserta niat. Apa yang dikehendaki dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. ialah taqarrub kepadaNya tanpa sebarang benda lain seperti sifat menunjuk-nunjuk kepada makhluk, untuk mendapat pujian manusia, suka kepada pujian makhluk atau apa sahaja maksud yang selain taqarrub kepada Allah s.w.t.

Perbicaraan persoalan ikhlas ini sudah pastilah berkaitan rapat dengan perbahasan niat di dalam hati. Rasulullah s.a.w. juga telah mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga hati beserta niat apabila kita terlibat secara langsung di dalam perbahasan mengenai agama ini.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:"Barangsiapa yang mencari ilmu untuk menandingi ulama atau mengalahkan orang-orang yang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan oleh Allah Taala ke dalam api Neraka."(Riwayat Tarmizi).

Di dalam perbahasan dan perbincangan perkara-perkara khilaf, anggaplah pendapat orang lain juga turut melalui analisis dan kajian yang mendalam dan mempunyai dalil-dalil yang boleh disabitkan walaupun kita tidak pernah menjumpainya. Berbaik sangka dengan menganggap kefahaman mereka berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang betul dan mempunyai niat ikhlas sepertimana kita juga. Jangan sesekali memperlekeh atau menghina pendapat ulama lain dengan sengaja menimbulkan pertikaan dan perbalahan yang tidak ada kesudahannya.

Tepislah bisikan syaitan yang menyuruh kita berburuk sangka sesama umat Islam. Peringatan ini juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius apabila berinteraksi dengan pandangan dan pendapat ulama muktabar yang lebih khusus dan tinggi kedudukannya berbanding dengan golongan awam yang bersifat umum. Peranan ulama hanyalah sebagai pewaris Rasulullah s.a.w.  dan mereka benar-benar amanah di dalam mewariskan segala keilmuan mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Mencuba sedaya-upaya yang mungkin untuk mengindari permasalahan-permasalahan  yang boleh mendatangkan fitnah kepada golongan awam. Berpegang teguhlah dengan etika perbincangan dan hindarkan diri dari perdebatan dan perbalahan yang tidak menguntungkan Islam. Kita juga perlu berusaha untuk menyatukan pendapat yang pelbagai sekiranya ia boleh disatukan dengan didasari akhlak dan adab Islam. Ini kerana tugas menyatukan umat supaya tidak berlaku perpecahan adalah tanggungjawab bersama.

Nabi s.a.w juga melarang umatnya membicarakan bab ayat-ayat mutasyabihat (yang tidak jelas maksudnya) kerana ianya boleh datangkan kekeliruan dalam masyarakat umum.

Ayat-ayat Mutasyabihat seperti Aliflamim, Shod, Nun dsb yang selama ini tidak berani ditakwilkan oleh para ulama salaf ( terdahulu ) kerana Allah s.w.t melarangnya, dan boleh mendatangkan kekeliruan.

Firman Allah s.w.t maksudnya : ” Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat itulah pokok-pokok isi Al Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal”. ( Surah Ali Imran ayat 7).

Islam juga melarang kita mengkaji secara mendalam sifat-sifat Allah  s.w.t ditempat umum tanpa mengikut displin ilmu yang ketat kerana akan timbul kekeliruan dan boleh mendatangkan kesesatan jika silap perkiraan kerana bila  manusia mengunakan  akal semata-mata membincangkan perkara ghaib . Ianya perlu kepada guru yang murshid yang pakar didalam bidang tauhid dan usuludin yang perlu kepada huraian yang mendalam.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:"Orang yang beriman disatukan dan tiada kebaikkan bagi sesiapa yang tidak bersatu dan yang tidak disatukan."(Hadis Riwayat Ahmad).

Di dalam kitab Risalah al-Mustarsyidin menceritakan perihal seorang lelaki yang datang kepada sesetengah daripada hukamak, lelaki tersebut berkata: Aku ingin berjidal (berdebat) dengan kamu. Hukamak tersebut menjawab: Kamu boleh berdebat dengan aku sekiranya kamu menepati sepuluh syarat ini:
01. Jangan marah.
02. Tidak cuba mencari masalah.
03. Jangan kamu berbangga.
04. Jangan kamu menghukum.
05. Jangan ketawa.
06. Jangan menjadikan dakwaan kamu sebagai dalil.
07. Apabila kamu mendatangkan dalil, tujuan daripada perkara tersebut ialah untuk mencari kebenaran.
08. Apabila kamu menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu.
09. Hendaklah kamu menjadikan kebenaran itu barang yang berharga untuk umat Islam. Ambillah di mana kamu temuinya. Bukan kemenangan sebagai tujuan utama.
10. Janganlah kamu berpaling kepada orang lain kerana aku sedang bercakap dengan kamu.

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah s.a.w. melalui lidah-lidah para ulama. Adab-adab tersebut untuk memastikan agar kehidupan manusia berada di dalam keadaan aman dan harmoni. Semua adab-adab adalah untuk mencantikkan segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Setiap amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang indah. Berikut di antara kata-kata ulama yang boleh kita jadikan teladan:

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah:Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan.(Kitab: Min Adab al-Islam).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan tinggalkanlah amalan-amalan yang mendatangkan dosa dan permusuhan. Kembalilah kepada penyatuan umat Islam untuk melahirkan ukhwah Islamiyah dan silaturahim.

Imam Hasan al-Banna berkata : "Kita bersama di dalam perkara yang dipersetujui dan bermaaf-maafan di dalam perkara yang diperselisihkan selagi perkara tersebut bukan masaalah prinsip."

Dari Abi Musa, dari Nabi s.a.w.bersabda maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)





 

No comments: