Saturday, November 13, 2010

Fadhilat dan Kebaikan Surah al-Ikhlas

Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah Al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah mengandungi 4 ayat . Turunnya ayat ini apabila kafir Musyrikin Mekkah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai sifat Allah s.w.t.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Jarir meriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab bahawa orang-orang musyrikin telah berkata kepada Rasulullah: “Wahai Muhammad! Sifatkan kepada kami Tuhan anda!” Maka Allah menurunkan surah al-Ikhlas.

 Qatadah, Dakhkhak dan Muqatil berkata: “Beberapa orang Yahudi datang bertemu Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Sifatkan kepada kami Tuhan engkau (wahai Muhammad) kerana Allah telah menurunkan sifat-sifatnya di dalam Taurat. Ceritakan kepada kami, Dia dari apa? Dia dari jenis mana? Adakah Dia emas atau tembaga atau perak. Adakah Dia makan dan minum? Dari siapa Dia mewarisi dunia atau mewariskan dunia ini kepada sesiapa". Dalam rangka menjawab soalan mereka maka Allah menurunkan surah ini dengan menjelaskan tentang sifat-sifat Allah secara khusus.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

1. Katakanlah (Ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa

2. Allah tempat berharap

3. Tidak beranak dan tidak diperanakkan.

4. Dan tiada yang setara dengan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Surah al-Ikhlas ini banyak kelebihannya, jika kita beramal bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t.

Kelebihan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Membacanya sekali menyamai 1/3 al-Qur'an.

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya…Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangkamasa dua-tiga minit?

Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Umar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.

Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Umar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu.

Lantas Sayyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah s.a.w.menjawab dengan mengatakan bahawa Sayyidina Ali betul.

(Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk kitab Al-Qur'an. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Qur'an kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Qur'an.)

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya :“Adakah di kalangan kamu ini orang tidak mampu membaca satu per tiga al-Quran pada satu malam? Sesungguhnya sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas pada satu malam, maka dia telah membaca pada malam tersebut satu pertiga al-Qur'an.”(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Nasa’i meriwayatkan dari Abi Ayub al-Ansari)

Kedua :  Terselamat daripada azab kubur.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke Syurga.
(Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Ketiga : Mendapat pahala daripada bacaan surah al-Ikhlas para malaikat.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah s.a.w.) Israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas.

Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami,sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: "Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s."

Keempat : Membaca surah ini menyebabkan syaitan lari daipada tubuh kita kerana kepanasan.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Kelima : Menghalau syaiatan daripada rumah kita.

Sebelum anda masuk rumah memberi salam kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lamyalid walam yu-lad. walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali.Dan masuk kerumah dengan kaki kanan.

Tafsir dan Ulasan Surah al-Ikhlas (1-4)

Bismillâh ir-Rahmân ir-Rahîm(Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.)

Bismillah ( Dengan nama ALLAH )

Dengan nama Allah. Susunan kalimat yang demikian ini dalam bahasa Arab berarti ada susunan kata-kata yang mendahuluinya yaitu: Aku mulai perbuatan ini dengan nama Allah, atau: Permulaan dalam perbuatanku ini dengan nama Allah; untuk mendapat berkat dan pertolongan rahmat Allah sehingga dapat selesai dengan sempurna dan baik. Juga untuk menyedari kembali sebagai makhluk Allah, bahawa segalanya bergantung kepada rahmat kurnia Allah. Hidup, mati dan daya upaya semata-semata terserah kepada rahmat kurnia Allah Azza wa Jalla.

Ar-Rahman Ar-Rahim (Yang Maha Murah Yang Maha Penyayang)

Ar-Rahman (Yang Pemurah) yakni yang penuh rahmatNya kepada semua makhluk di dunia hingga di akhirat, kepada yang mukmin maupun yang kafir. Adapun Ar-Rahim (Yang Penyayang) khusus rahimNya buat kaum Mukmin sahaja.

1. Qul huwa Allâhu ahad

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa” (Surah al-Ikhlas ayat 1).

Maksudnya : Katakanlah wahai Rasulullah kepada mereka yang bertanya tentang sifat-sifat Tuhanmu: Dialah Allah yang satu, ertinya Esa pada zatNya dan sifatNya. Tiada sekutu bagiNya. Tiada bandingan dan gandingan untukNya. Ini adalah sifat wahdaniyah dan penafian wujudnya sekutu-sekutu. Dialah Allah yang kalian kenali dan akui sebagai pencipta langit dan bumi serta pencipta kamu. Dia satu dan tunggal dengan sifat ketuhanan. Dia tidak mempunyai sekutu. Ayat ini sebenarnya merupakan penafian tentang banyak Tuhan atau zat Tuhan.

2. Allâhu samad(Allah tempat berharap)

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Allah tempat berharap” (Surah al-Ikhlas ayat 2).

Maksudnya : Allah tempat bergantung dan memohon hajat keperluan. Justeru Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk memenuhinya. Allah tempat makhluk mengadu. Tiada seorang pun yang tidak memerlukan Allah. Namun Dia tidak pula memerlukan mereka. Ini menyanggah keyakinan orang-orang musyrikin Arab tentang kewujudan perantaraan atau orang tengah dan para pemberi syafaat (dalam hubungan antara Khaliq dan makhluk).

Ibn Abbas berkata ketika mentafsirkan makna “as-samad” ertinya yang menjadi tempat menggantungkan harapan makhluk untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan permasalahan mereka. Dia Penguasa yang amat sempurna PenguasaanNya. Dialah Allah Maha Mulia yang amat sempurna kemulianNya. Dia juga yang Maha Hebat yang amat sempurna kehebatanNya. Dia Maha Penyantun yang paling sempurna kesantunanNya. Dia Maha Mengetahui dengan pengetahuanNya serta sempurna. Allah Maha Bijaksana dan amat sempurna kebijaksanaanNya. Dialah yang Maha Sempurna dalam segala jenis kemuliaan, kejituan dan kekuasaan. Segala kemuliaan dan keunggulan adalah miliknya. Tiada yang dapat menandingi Allah dan tiada pula yang menyamaiNya. Maha Suci Allah yang Maha Esa dan Maha Perkasa. Ibn Jarir dan al-Tirmizi dalam riwayat lain menambah bahawa as-Samad ialah “yang tidak beranak atau tidak diperanakkan” kerana setiap yang dilahirkan pasti akan mati. Manakala setiap yang mati pasti akan meninggalkan waris, sedangkan Allah tidak mati dan tidak pula meninggalkan waris.

3. Lam yalid wa lam yûlad(Tidak beranak dan tidak diperanakkan)

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Tidak beranak dan tidak diperanakkan” (Surah al-Ikhlas ayat 3).

Maksudnya : Tidak akan lahir dariNya anak. Tiada suatu pun yang lahir dari Allah kerana Dia tidak sejenis dengan sesuatu yang lain. Kerana Dia Maha Sedia Ada dan bukan sesuatu yang baru. Tidak ada permulaan bagi kewujudan Allah. Allah tidak berjisim. Ini menafikan kewujudan persamaan. Dia disifatkan sebagai sedia ada dan yang awal serta manafikan sifat baru.

Ayat pertama menafikan kewujudan anak bagi Allah dan menyanggah orang-orang musyrikin yang menyangka kononnya para Malaikat merupakan anak-anak perempuan Allah. Ayat tersebut juga menyaggah pandangan orang-orang Yahudi yang menyangka Uzair sebagai anak Allah. Ia juga menyanggah pandangan orang Nasrani yang menyangka Isa adalah anak Tuhan dan berfahaman Trinity (konsep tiga tuhan). Ia juga menyanggah pandangan al-Sobi’ah yang menyembah bintang. Setiap penafian pula merupakan sanggahan terhadap pengikut akidah batil seperti Thanawiyyah yang mengiktiraf kewujudan dua tuhan bagi ala mini iaitu tuhan cahaya dan tuhan kegelapan. Ayat yang kedua pula menafikan kewujudan bapa (bagi Allah) dan menafikan bahawa kewujudan Tuhan didahului oleh keadaan bapa.

4. Wa lam yaku llahû kufuwan ahad(Dan tiada yang setara dengan-Nya)

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan tidak ada yang setara denganNya” (Surah al-Ikhlas ayat 4).

Maksudnya : Tiada siapa yang menyamai Allah, menyerupainya dan berkongsi denganNya. Ini menafikan kewujudan teman dan membatalkan iktiqad orang musyrikin Arab bahawa Allah mempunyai gandingan dalam setiap perlakuanNya., di mana mereka menjadikan para malaikat sebagai sekutu-sekutu bagi Allah dan patung berhala sebagai gandingan Allah. Surah ini mempunyai makna yang hampir sama dalam beberapa ayat yang lain:

“Pencipta langit dan bumi. Bagaimana mungkin Dia memiliki anak sedangkan tiada bagiNya teman. Pencipta segala sesuatu” (Surah al-An’am ayat 101)

“Tidaklah wajar bagi al-Rahman (Allah) untuk (mempunyai) anak. Pada hal segala sesuatu yang di langit dan di bumi semuanya datang ke hadrat Allah sebagai hamba. Dia telah mengira, menghitung dan Maha Tahu bilangan mereka. Setiap makhluk berkenaan akan tampil menemuiNya bersendirian” (Surah Maryam ayat 92-95).

Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulan daripada tafsiran Surah al-Ikhlas adalah seperti berikut :

1) Surah ini mengandungi rukun-rukun aqidah dan syariat Islam yang terpenting iaitu mentauhidkan Allah dan mensucikanNya, memperakukanNya dengan sifat-sifat kesempurnaan dan menafikan kewujudan sebarang sekutu bagiNya. Ini secara tidak langsung menolak pandangan orang-orang Nasrani yang menyatakan Isa adalah anak Tuhan dan menganut fahaman Trinity (konsep tiga Tuhan). Surah ini menyanggah perbuatan orang-orang musyrikin yang mengabdikan diri kepada tuhan-tuhan yang lain di samping pengabdian diri kepada Allah dan menyatakan bahawa malaikat adalah anak perempuan Allah. Ini turut menafikan pandangan Yahudi yang menyatakan Uzair adalah anak Allah.

2) Para ulama’ berkata: Surah ini menjelaskan hak-hak Allah.  Manakala celaan terhadap Allah yang dijawab dalam surah al-Ikhlas ini adalah kerana dakwaan mereka bahawa Allah mempunyai anak. Kalau ketiadaan anak merupakan satu perkara yang mengaibkan bagi manusia, maka kewujudan anak bagi Allah pula adalah kekurangan atau ke’aiban bagi Allah. Justeru itu, Allah menyatakan di sini, “Katakanlah wahai Muhammad,” bagi menolak pandangan serong terhadap Allah ini.

3) Konsep aqidah dan tauhid yang benar inilah yang perlu diikuti oleh seluruh umat manusia. Konsep inilah yang berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj dan mempersatukan Muhajirin dan Ansar. Aqidah yang bersih inilah yang akan menjamin akhlak yang baik, ibadah yang benar serta keutuhan politik dan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Jika kita kembali kepada sirah Rasulullah, penyatuan yang berlandaskan tauhid yang Esa dan benar adalah penyatuan yang cukup hebat dan tidak ada tolok bandingnya. Ternyata konsep penyatuan yang dicanang oleh manusia masih terdapat banyak kelemahan seperti timbul syak wasangka dan sikap menuding jari andai tidak berdasarkan kepada ajaran Islam.

1 comment:

Akh Ahmad Safuan ibn. Abdul Razak said...

assalamualaikum.. Aiwa ya akhi..syukran atas perkongsian artikel yang menarik ni..
Ana pernah membaca sebuah buku yang menceritakn perihal kisah seorang wanita tua yang ditunjukkan Allah nikmat syurga yang tidak terkira hebatnya..oleh kerana wanita tua ini setiasa membaca surah al ikhlas,ketika berjalan,berbaring,duduk dan setiap masanya... Subhanallah,besar nikmat Allah untuk dikurniakan pada hamba-hamba yang bertakwa..

Moga orang -orang islam mengambil iktibar darinya... jzllh..