Sesungguhnya wanita itu terlalu unik ciptaannya. Wanita telah diberi kedudukan yang begitu tinggi dalam Islam. Terlalu banyak kelebihan yang khusus Allah berikan kepada wanita sebagai tanda penghormatan dan belas kasihan.
Allah beri wanita mukmin peluang untuk meraih syurga Allah tetapi dengan jalan yang paling mudah, tidak seperti orang lelaki yang semestinya tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin amatlah berat dan besar. Wanita tidak diberi tugas dan peranan yang berat seperti mana kaum lelaki, tetapi wanita juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sama besar dan sama penting dengan orang lelaki.
Wanita mukmin tidak seharusnya merasa ‘rugi’ menjadi wanita kerana tidak setanding dengan kaum lelaki dari segi hak dan terkurung dengan batas-batas syariat. Asma binti Yazid Ansari pernah menemui Rasulullah SAW untuk bertanyakan mengenai isu ini. Beliau berkata: “Kami kaum wanita wanita telah menghabiskan kebanyakan masa kami di antara empat dinding rumah kami. Kami tinggal secara terikat dengan tugas-tugas kami dengan memenuhi keinginan kaum lelaki di mana kami melahirkan bayi untuk mereka dan menguruskan urusan rumahtangga mereka.
Namun, pada keseluruhannya, kaum lelaki telah mengatasi kami untuk mendapat ganjaran di dalam perkara-perkara yang tidak terdaya kami lakukan. Mereka dapat mengerjakan solat harian dan Jumaat di masjid, menziarahi orang sakit, menghadiri upacara jenazah dan yang paling besar sekali dapat berjuang di jalan Allah. Apabila mereka pergi untuk mengerjakan haji atau berjihad, kamilah yang memelihara harta dan anak-anak mereka. Tidakkah ganjaran itu dibahagi-bahagikan antara kami dan mereka?”
Baginda bersabda kepada Asma: “Apabila seseorang wanita menyukakan hati suaminya dan melaksanakan tugas-tugas rumahtangga mengikut kepuasan hati suaminya dia akan memperolehi ganjaran yang sama sepertimana kaum lelaki perolehi dari semua tugas mereka kepada Allah.” Sesungguhnya jawapan Rasulullah SAW ini menunjukkan betapa wanita mukmin memang sangat beruntung kerana mereka tidak perlu mengubah peranan dan tanggungjawab bagi memperolehi hak sepertimana kaum lelaki. Demikian juga dengan darjat kemuliaan manusia di sisi Allah. Yang membezakan manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa sebagaimana mafhumnya dalam surah Al-Hujurat ayat 13,
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” Hakikatnya, tiada beza antara lelaki dan wanita. Firman Allah SWT :
“Sesiapa yang mengerjakan amal-amalsoleh, baik lelaki mahupun wanita, sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.” (Surah An-Nisa’:124).
Ayat ini jelas menunjukkan Allah tidak mengira jantina lelaki atau perempuan kerana masing-masing mempunyai peluang dan ruang untuk merebut darjat mulia ini. Rahmat dan nikmat Allah tidak membezakan antara jantina begitu juga dengan bala bencana dan kemurkaanNya.
Andainya kaum wanita sedar akan keistimewaan yang telah Allah kurniakan kepada mereka ini, pasti mereka merasa beruntung menjadi seorang wanita. Walaupun dianggap lemah, tetapi Allah telah jadikan kelembutan yang dimilikinya sebagi satu kelebihan. Allah kayakan wanita itu itu dengan sifat lemah lembut, sabar, penyantun dan jiwa yang kental. Betapa beruntungnya menjadi wanita mukmin ( sumber : sakinah ).
(Di petik daripada tulisan : Persatuan Penduduk Islam Taman Sri Serdang.)
No comments:
Post a Comment