Friday, December 10, 2010

Bertaqwa dan Akhalak Yang Baik Adalah Ciri-ciri Penghuni Syurga.

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda maksudnya : "Syurga dan Neraka bertengkar di hadapan Tuhan. Syurga berkata : 'Wahai Tuhan, gerangan apakah yang masuk Syurga hanya orang-orang yang lemah dan orang-orang bawahan ?'

Neraka berkata : 'Saya diutamakan dengan orang-orang yang sombong'.

Allah Yang Maha Tinggi berfirman kepada Syurga: 'Kamu adalah rahmat Ku', dan berfirman kepada Neraka : 'Kamu adalah adzab Ku, denganmu Aku menimpakan orang yang Aku kehendaki, masing-masing dari kamu berdua sampai penuh'. 

Rasulullah bersabda maksudnya : “Adapun Syurga, maka sesungguhnya Allah tidak menzalimi makhluk-Nya seorangpun, dan sesungguhnya Allah menciptakan Neraka untuk orang yang dike­hendakiNya, kemudian mereka dilemparkan padanya (Neraka), maka Neraka berkata : “Masihkah ada tambahan ?” sampai tiga kali, sehingga Tuhan meletakkan kedua telapak kaki-Nya di Neraka, maka Neraka itu penuh dan seba­hagiannya ditolakkan kepada sebahagian yang lain”. Lalu Neraka berkata : “Sudah, sudah, sudah”. 
(Hadis Riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik ra. dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda maksudnya : “Jahannam senantiasa menjadi tempat pelem­paran, lalu dia berkata : “Apakah masih ada tambahan ?”. Sehingga Tuhan Yang Maha Mulia meletakkan kedua telapak kaki-Nya, lalu sebahagiannya berkumpul dengan sebahagian yang lain dan Neraka berkata : “Sudah, sudah; demi Kemulian Mu dan Kehormatan Mu”. Di Syurga senantiasa ada tambahan, sehingga Allah menciptakan makhluk untuknya; lalu mereka ditempatkan oleh Allah sebagai tambahan penghuni Syurga. 
(Hadis Riwayat Muslim).

Firman Allah s.w.t.  dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Ku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh (di dalam Syurga), iaitu apa yang tak pernah dilihat mata, tak pernah didengar telinga, dan tak pernah terlintas dalam hati semua manusia”, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Bacalah jika kalian mau, ‘Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang’ (Surah As-Sajdah : 17)”.

Sahabat yang dimuliakan,
Sifat-sifat penghuni Syurga dan sifat-sifat penghuni Neraka boleh dilihat di dunia ini lagi. Walaupun seseorang itu tidak pasti sepenuhnya kemana arah kehidupannya nanti selepas kematiaan samaada ke Syurga atau ke Neraka tetapi ciri-cirinya telah dijelaskan dengan terang dan nyata oleh Allah s.w.t di dalam al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi s.a.w.

Dari hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam Syurga. Baginda menjawab, 'Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke Neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari hadis diatas telah jelas kepada kita bahawa orang yang bertaqwa (muttaqiin) dan akhlak yang baik adalah ciri utama yang boleh membawa jalan ke Syurga. Orang muttaqiin adalah mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah s.w.t. Apakah sifat-sifat orang muttaqiin yang mempunyai kedudukan yang mulia disisi Allah s.w.t? 
Sifat-sifatnya adalah seperti berikut :

1. Merasa takut kepada Allah s.w.t dalam keadaan sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Sentiasa berhati-hati didalam kehidupan ini, takut kalau-kalau ada perkataan atau perbuatannya yang menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t. Model kehidupannya adalah bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

2. Mempunyai perasaan malu kepada Allah s.w.t. dan pada makhluk untuk melakukan maksiat.

3. Jika ia terlanjur berbuat maksiat kerana lupa atau jahil, tubuhnya bergoncang, yang kegoncangannya itu boleh dirasakan benar oleh manisnya bertaqarrub kepada Allah, lantas mengucapkan 'Astaghfirullah...astaghfirullah'. akhirnya ia berdo'a , 'Hamba mohon ampun, hamba bertaubat kepada-Mu, wahai Dzat Yang Paling Penyayang. Hamba menyesal. Hamba berhasrat tidak kembali pada kemaksiatan lagi untuk kedua kalinya.'

4. Sentiasa jujur dalam perkataan, selalu ikhlas dalam amalannya. Jika hendak tidur, ia berzikir kepada Allah, sehingga nilai tidurnya mengharap redha Allah. Jika bangun, ia juga berzikir kepada-Nya sehingga bangunnya diselimuti oleh rahmat dan pertolongan Allah.

5. Para muttaqin adalah bersifat ihsan, kebaikan, cergas dan mempunyai perasaan belas kasihan. Ia tahu, mendengar dan sentiasa beramal dengan ketaatan dan aqidahnya sentiasa murni tidak syirik dan riak, hatinya sentiasa takut dan mencintai Allah.

6. Hatinya luhur, jiwanya murni dan kasih dan sayang sesama Mukmin dan tidak mementingkan dirinya sendiri. Sentiasa mencari redha Allah dan menjauhi kemurkaan Allah .

Sahabat,
Oleh itu marilah kita sentiasa meningati Allah s.w.t semasa seorang diri, bersama keluarga atau dengan orang lain. Yakinlah dengan janji-janji Allah bahawa Dia tidak akan sia-siakan amal soleh dan amal kebaikan yang kita lakukan kerana-Nya. Pepatah ada mengatakan "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, jika terlanjur baliklah kepangkal jalan dengan bertaubat dan beristighfar"

No comments: