Tuesday, December 7, 2010

Laksanakan Lapan Amanah Untuk Orang Mukmin.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah s.w.t  telah menjadikan setiap sesuatu di dunia ini  berpasang-pasangan. Malam dengan siang, bumi dengan langit dan lelaki dengan perempuan. Penciptaan keatas lelaki dan perempuan adalah ujian Allah s.w.t. Masing-masing akan di soal di hari akhirat nanti apakah semasa hidup di dunia ini telah melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang di amanahkan oleh-Nya?

Allah s.w.t telah menyeru kepada lelaki dan perempuan Muslim dan lelaki dan perempuan Mukmin bahawa terdapat lapan amanah dan tanggungjawab yang mesti di laksanakan di dunia ini iaitu ketaatan, benar, sabar, khusyuk, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatan dan banyak menyebut (nama ) Nya. Jika kesemua yang dinyatakan ini dapat disempurnakan maka ganjaran yang besar oleh Allah s.w.t iaitu keampunan dan pahala yang benar di akhirat nanti.

Firman Allah s.w.t.  yang bermaksud :" Sungguh lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah. Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang benar."
(Surah al-Ahzab ayat 35)

Ummu 'Imarah al-Anshari r.ha. berkata : "Ayat ini (Surah al-Ahzab ayat 35) diturunkan berkenaan dengan perkataanku kepada Rasulullah s.a.w. : "Wahai Rasulullah, aku melihat wahyu-wahyu yang diturunkan Allah selalu berkaitan dengan kaum lelaki. Tak pernah ada kaum wanita disebut-sebut dalam wahyu Allah."
(Hadis Riwayat Tirmidzi -hadis hasan)

 Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t tidak bezakan di antara lelaki dan perempuan jika kedua-duanya berpegang dengan prinsip, "kami dengar dan kami patuh" maka rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t akan di berikan-Nya di dunia ini dan dihari akhirat akan mendapat balasan Syurga seluas langit dan bumi.

Lapan perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Ketaatan.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tidaklah pantas bagi lelaki yang Mukmin dan perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai  Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata."

Qatadah  r.a meriwayatkan bahawa suatu ketika, Rasulullah s.a.w meminang Zainab r.ha untuk Zaid bin Harithsah (anak angkat baginda). Zainab r.ha mengira, Rasul s.a.w hendak meminang untuk baginda sendiri. Zainab r.ha menolak bila mengetahui pinangan itu untuk Zaid r.a. Setelah turun ayat ini , Zainab menerima pinangan tersebut." (Hadis Sahih Riwayat Thabrani. Lihat Qurthubi 8/5455 dan Ibnu Katsir : 4/246).

Berdasarkan ayat di atas lelaki dan perempuan Mukmin wajib mematuhi segala arahan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya tanpa soal dan banyak alasan. Melaksanakan semua yang diwajibkan Allah s.w.t dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Kedua : Benar.

Dari Abu Mas'ud r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya berkata benar menuntun kepada  kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menuntun ke Syurga, dan sesungguhnya seorang laki-laki akan senantiasa berkata benar sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang berkata benar. Dan sesungguhnya bohong itu menuntun kepada kedosaan dan sesungguhnya kedosaan itu menuntun ke Neraka, dan sesungguhnya seorang laki-laki akan dicatat di sisi Allah sebagai pembohong."

Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. juga menganggap pembohong itu dalam kebinasaan.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Celakalah berkata-kata dengan kata-kata yang menyebabkan manusia menertawakannya padahal ia berbohong, celakalah baginya, celakalah baginya, celakalah baginya." (Hadis Riwayat  Ahmad dan Tirmidzi)

Bukan lelaki sahaja yang mesti berkata benar tetapi perempuan juga di wajibkan berkata benar dan tidak berbohong.
Ketiga : Sabar.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).

Seterusnya Allah s.w.t. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Khusyuk.

Kusyuk dalam menunaikan solat.
Orang Mukmin mampu melaksanakan solat dengan khusyuk sesuai dengan keteguhan dan kemantapan iman dimilikinya. Pengertian khusyuk mencakupi seseorang itu memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
(Surah al-Baqarah ayat 45-46)

Menurut Imam al-Ghazali, dalam khusyuk itu juga harus ada rasa takut kepada Allah. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk mewarisi Syurga Firdaus.

Kelima : Bersedekah.

Sedekah memiliki keutamaan dan pahala yang besar di dunia dan akhirat. Hanya orang yang diinginkan Allah dan diberi-Nya taufiklah yang akan mendapatkan itu semua. Oleh itu setiap Muslim Mukmin mestilah merebut peluang yang besar ini untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)
 
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api.”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Keenam :  Berpuasa.

Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan menyediakan satu pintu khusus di Syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu Syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa.

Kata Nabi s.a.w.dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (Hadis Riwayat  Ahmad dan Bukhari-Muslim).
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadhan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari siksa api Neraka.” (Hadis Riwayat  Ahmad dan Baihaqi). 

Ketujuh : Menjaga kehormatan.

1. Menutup aurat samaada lelaki dan perempuan  sebagai upaya syar’i untuk menjaga atau melindungi kehormatan, dan mencegah semua hal-hal yang mengakibatkan terjadinya kecurigaan, fitnah dan kerusakan.

2. Kesucian hati: Orang-orang yang beriman, baik laki-laki maupun perempuan, mengisi hati mereka dengan ketaqwaan dan menjunjung tinggi kehormatan. Maha benar Allah yang telah berfirman maksudnya :"Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka"
( Surah al-Ahzâb: 53)

3. Kemuliaan akhlak atau budi pekerti: Senantiasa berakhlak mulia seperti menundukkan pandangan samaada lelaki atau perempuan, dan tidak mengekori aurat lelaki atau perempuan,  memiliki sifat kesopanan dan rasa malu.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
 
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu" (Surah al-Ahzab ayat 59)

Kelapan : Banyak berzikir menyebut nama Allah.

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya 
berzikir seperti berikut:

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” 
( Surah Al Insan ayat 25 - 26)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit." 

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu". Para sahabat Rasulullah s.a.w. berkata "Wahai Rasulullah s.a.w. bagaimanakah kami perbaharui iman kami?" Rasulullah s.a.w. menjawab "Ucapkanlah: "Laailaha illallah sebanyaknya".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati semua perintah dan suruhan Allah s.w.t . Orang Mukmin lelaki dan perempuan tidak banyak alasan untuk melaksanakan kepatuhannya. Laksanakanlah dengan ikhlas lapan perkara yang dihuraikan diatas dengan bersungguh-sungguh supaya kita akan mendapat keampunan dan pahala yang besar di sisi-Nya diakhirat nanti.

No comments: