Monday, April 4, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Al-Quran Sebagai Alat Propaganda

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sayyidina Ali bin Talib k.wj. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : "Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan sembahyangmu jauh berbeza dengan cara mereka bersembahyang. Mereka membaca Al-Quran dengan mengira bahawa Al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal Al-Quran itu berisi peringatan yang harus mereka junjung. Bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati). Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas dari busurnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Keterangannya :

Nabi S.A.W. telah menjelaskan bahawa di akhir zaman nanti terdapat dikalangan umatnya mereka membaca al-Quran tetapi tidak sama seperti al-Quran yang dibaca oleh sahabat-sahabat baginda. Para sahabat bukan setakat membaca al-Quran tetapi kitab suci ini menjadi amalan dalam perbuatan dan kehidupan mereka sehinggakan mereka diberi gelaran 'Generasi al-Quran yang unik' sedangkan umat Islam diakhir zaman membaca al-Quran setakat dikerongkong saja iaitu setakat bacaan saja sedangkan amalan kehidupan harian lari jauh daripada tuntutan al-Quran. Lebih malang lagi al-Quran hanya dipertandingkan saja sedangkan hukum-hakam al-Quran tidak dihayati dalam pentadbiran negara. Mereka mengambil sebahagian hukum al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain yang bersesuai dengan matlamat politik mereka, al-Quran hanya dijadikan propaganda untuk mencapai tujuan tertentu saja bukannya untuk dihayati sepenuhnya.

Begitu juga ibadah sembahyang yang dikerjakan oleh umat akhir zaman nanti amat berbeza dengan amalan sembahyang yang dikerjakan oleh sahabat-sahabat baginda. Para sahabat bersembahyang adalah sama seperti sembahyang Rasulullah S.A.W. kerana mereka boleh melihat dengan jelas cara-cara sembahyang baginda. Kesan daripada sembahyang yang dikerjakan oleh para sahabat akan dapat mencegah mereka daripada perbuatan fasak dan mungkar. Sedangkan umat akhir zaman sembahyang tidak sempurna rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam, mereka sembahyang seperti patuk ayam tidak ada tamakninah, mereka sembahyang secara ikut-ikutan dan tidak mempunyai kualiti iaitu tak khusyuk dan tidak mengikut sunah. Oleh sebab itu sembahyang mereka tidak mampu membawa mereka untuk meninggalkan perbuatan fasak dan mungkar.

Mereka yang hidup tidak mengamalkan al-Quran dan sembahyangnya pula tak sempurna maka Nabi S.A.W. menjelaskan mereka boleh terkeluar daripada Islam dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Jika dizaman Nabi S.A.W. masih terdapat golongan munafik maka lebih-lebih lagi dizaman siber ini ramai orang munafik yang dibela dan disanjung untuk menentang di atas kebangkitan Islam . Golongan ini akan mereka-cipta fitnah kepada orang Islam sendiri semata-mata untuk menjaga kepentingan segelintir para pemimpin mereka yang fasik.

Oleh itu berhati-hatilah supaya hidup kita tidak menjadikan al-Quran sebagai alat propaganda tetapi sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai satu cara hidup yang sempurna yang mendidik hati kita samaada siang dan malam.

1 comment:

kata motivasi said...

bagaimana cara mengetahui kelompok tersebut jika dia bersembunyi dibalik jubah Islam?