Monday, June 6, 2011

Amalan Doa Orang Mukmin Pada Waktu Pagi dan Petang

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW sering mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dengan doa-doa yang mashur yang terdapat di dalam al-Quran dan sunahnya. Di dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk Nabi SAW ucapkan , untuk para rasul , orang-orang soleh dan mereka-mereka yang dekat dengan Allah SWT . Salah satu doa tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 129.

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukmin yang mana hati dan jiwanya sentiasa dekat dengan Allah SWT akan merasai bahawa cukuplah dengan dia beriman dan  mengingati Allah SWT, meletakkan pegharapan sepenuhnya kepada-Nya, bertawakal dan bergantung kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada tuhan lain selain daripada-Nya maka jiwa akan tenang, bahagia dan sejahtera.

Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Putus asa pula adalah habis atau hilang harapan di dalam sesuatu perkara. Sifat putus asa adalah satu sifat mazmumah yang amat negatif kesannya terhadap individu dan kehidupan seseorang. Sifat putus asa akan membawa seseorang itu menghentikan sesuatu perbuatan. 

Contohnya;  seorang peniaga yang mendapati hasil jualannya mengalami kerugiaan mungkin akan menghentikan perniagaannya. Atau sekiranya seseorang telah putus tunang kerana perselisihan faham dengan tunangnya maka dia mengambil keputusan untuk terus membujang kerana fobia dengan peristiwa yang berlaku.

Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah SWT berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Sahabat yang dikasihi,
Nabi SAW memberi jaminan bahawa sekiranya hati kita bulat berserah diri kepada Allah SWT dan disertai dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh maka Allah SWT akan memberi kecukupan daripada jalan yang tidak disangka-sangka samaada melibatkan urusan dunia atau pun urusan akhirat.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." 
(Surah al-Ra'd ayat 11).

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)

Oleh itu, sebagai orang yang beriman, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.

Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. 

Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah.


No comments: