Saturday, June 11, 2011

Kelebihan Bulan Rejab Menurut Sunah dan Peristiwa-peristiwa Penting yang Berlaku

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sekarang ini telah berada didalam bulan Rejab. Tidak sampai dua bulan lagi kita sama-sama akan menerima kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh dengan keberkatan.

Berdoalah agar Allah SWT. memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sehat wal afiat. Dengan keadaan sehat, kita boleh melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah SAW. apabila masuk bulan Rajab selalu berdoa, ”Allahuma bariklana fii Rajab wa Sya’ban, wa balighna Ramadan.” Maksudnya : "Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. 
(Hadis Riwayat  Ahmad dan Tabrani)

Para salafush-shalih selalu memohon kepada Allah agar diberikan karunia bulan Ramadan; dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadan, mereka berdoa kepada Allah, ”Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal Islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Maksudnya : "Ya Allah, karuniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman; dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang engkau cintai dan redai."

Sahabat yang dimuliakan,
Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat didalam Firmah Allah SWT didalam Surah Al-Taubah ayat 36:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

Menurut Tafsir Jalalain, yg dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yg di hormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab"

Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Didalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), dimana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yg tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW  juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 hb)


Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Adapun hadis sahih tentang hal tersebut berikut penjelasannya adalah seperti berikut:
Imam Muslim meriwayatkan dalam sahih-nya :

“Telah menceritakan pada kami Abubakar bin Abi Syaibah, telah menceritakan pada kami Abdullah bin Numairih, telah menceritakan pada kami Ibnu Numair, telah menceritakan pada kami ayah kami, telah menceritakan pada kami Utsman bin Hakim Al-Anshari berkata: Aku bertanya pada Sa’id bin Jubair tentang puasa Rejab dan kami saat itu sedang berada di bulan Rejab, maka ia menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas -semoga Allah meridhai mereka berdua- berkata: Adalah Nabi -semoga salawat dan salam senantiasa tercurah pada diri baginda- berpuasa (di bulan Rejab) sampai kami berkata nampaknya baginda akan berpuasa (bulan Rejab) seluruhnya, lalu beliau tidak berpuasa sampai kami berkata: Nampaknya baginda tidak akan berpuasa (bulan Rejab) seluruhnya.” (Berkata Syaikh Albani -rahimahullah- dalam Al-Irwa’: Hadis ini di-takhrij oleh Imam Muslim dalam Sahih-nya (VI/139)

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Syaaban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan.

 Sahabat yang dihormati,
Sebagai umat Islam  kita perlulah mengetahui sejarah yang telah berlaku di dalam bulan Rejab untuk kita mengambil pengajaran dan iktibar di atas peristiwa-peristiwa yang berlaku :

 1. Hijrah Pertama Dalam Islam

Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman r.a dan isterinya Rokiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.

 2. Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Terdapat khilaf ulama mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis sahih.

 3. Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

4. Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab r.a. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah, orang Kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya  ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali     tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, tentera Zionis (Yahudi) pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

Sahabat yang dikasihi,
Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadis-hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah.

Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.

Kesimpulannya adalah dibolehkan berpuasa bulan Rejab berdasarkan hadis sahih, sepanjang tidak menjadikannya sama dengan bulan Ramadhan (berpuasa sebulan penuh), namun tidak disebutkan dalil sahih tentang keutamaan bulan ini secara khusus dibandingkan bulan-bulan lainnya juga tidak dibenarkan mengkhususkan waktu-waktu dan tanggal-tanggal tertentu di bulan tersebut untuk berpuasa, salat, zikir, dan sebagainya. Wallahuu a’lamu bis Shawab…