بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang bapa yang pengasih dan penyayang tidak akan membiarkan anak-anaknya hidup menderita tanpa kasih sayang dan tanpa ilmu pengetahuan. Dia akan sanggup berkorban untuk memastikan anak-anaknya mendapat nafkah yang secukupnya dan diberikannya pendidikan samaada untuk kebahagiaan di dunia dan hari akhirat.
Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “Apakah perihalnya kamu ini?”
Perempuan itu menjawab, “Yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”
Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjaga aku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”
Sesungguhnya kamu jika berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkanbalasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah tali silaturrahim dengan kerabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap ibu dan bapa kamu dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihi aku pada waktu aku kecil'.” (Surah al-Isra’ ayat 24)
(Di petik daripada tulisan Tazkirah)
No comments:
Post a Comment