Thursday, June 23, 2011

Membantu Ibu Tunggal Sifat Mulia di Sisi Allah SWT


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan masyarakat Islam. Umat Islam digalakkan hidup  bantu membantu dan tolong menolong sesama muslim. Ini termasuk membantu golongan fakir miskin, anak yatim, janda dan ibu tunggal. Tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat penyayang dan adil sehingga dapat mengatasi masalah golongan terbiar dan yang tidak berada.

Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW. bersabda maksudnya : ''Orang yang berusaha membantu wanita janda dan orang miskin, mendapat pahala sama seperti pahala orang berjuang di jalan Allah, atau seperti pahala orang yang selalu qiamullail (bangun sembahyang malam) dan berpuasa di siang hari. ( Hadis riwayat Bukhari).

Harian Metro Rabu 22.06.2011, melaporkan di Kota Bharu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan Wan Ubaidah Omar berkata : "Jika sesiapa termasuk wakil rakyat nak kahwin dengan ibu tunggal, itu satu kebaikan dan digalakkan kerana dapat membela nasib mereka.".

Malah katanya; Kerajaan Kelantan bersedia memberikan insentif kepada suami yang berpoligami dinegeri ini, tidak kira siapa pasangan dikahwini sama ada anak dara atau ibu tunggal. Wan Ubaidah berkata, Islam tidak menghalang poligami asalkan berkemampuan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sebagai ketua keluarga.

Sahabat yang dimuliakan,
Memang benar apa yang dinyatakan oleh Y.B Puan Wan Ubaidah Omar bahawa Islam tidak menghalang poligami kerana terdapat banyak hikmah dan kebaikan yang terdapat di dalam hidup berpoligami terutama membantu ibu tunggal atau janda yang mempunyai tanggungan anak- anak disebabkan kematian suami yang dikasihi. Walaupaun seorang wanita yang berstatus ibu tunggal mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara anak-anaknya , tetapi apabila tidak ada ketua keluarga yang dapat bersama-sama membesarkan anak-anak untuk diberikan didikan akan terasa satu kekurangan besar. Wanita mempunyai sifat lemah tidak akan mampu memikul tugas sebagai ibu dan pada masa yang sama memikul tugas bapa untuk melahirkan keluarga sakinah.

Kita boleh pertikaikan pandangan negatif daripada Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai rancangan Kerajaan Kelantan untuk mengalakkan suami berpoligami. Beliau berkata, "Sewajarnya peghargaan diberikan kepada suami yang menunjukkan kesungguhan menjaga isteri dan keluarga dengan baik, bukan yang hendak menambah isteri. Tanggungjawab utama suami ialah menjaga keluarga terutama anak-anak."

Secara langsung beliau pertikaikan kebaikan poligami dan menganggap seolah-olah tiada kebaikan suami yang berpoligami dan juga suami yang berpoligami tidak akan memberi tumpuan kepada isteri dan anak-anak seperti suami yang tidak berpoligami.

Perlu diingat bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna dan sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran adalah mengandungi hikmah dan kebaikan untuk manusia sendiri. Termasuklah hukum berpoligami dalam Islam. Salah satu kebaikan poligami adalah dapat membantu ibu-ibu tunggal memberi nafkah zahir dan batin, memberikan tempat berlindung dan bersama-sama mendidk dan membesarkan anak-anaknya supaya ada ketua keluarga yang dapat mentakbir keluarga dengan lebih sempurna. Berpoligami juga dapat membantu gadis-gadis yang telah meningkat umurnya tetapi masih belum bertemu jodoh.

Seseorang wajar mengahwini ibu tunggal untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti ibu tunggal yang kehilangan suami sedangkan dia tanpa tempat bergantung. Ini terutama bagi ibu tunggal yang berasal daripada keluarga bukan Islam atau negara yang jauh. Jika perkahwinan itu mempunyai hasrat menyelamatkan agamanya, itu adalah kebaikan. Ini kerana baginda Nabi SAW  juga mengahwini sebahagian ibu tunggal demi menolong mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Membantu darisegi kewangan kepada ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak-anak yang ramai adalah digalakkan dan sangat dituntut dalam agama terutama anak-anaknya adalah anak yatim.

Nabi S.A.W. memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengasuh dan berlemah lembut dengan anak yatim akan dapat bersama-sama Nabi S.A.W. disana. Itu adalah derajat yang akan diperolehi oleh orang  yang mengasuh dan berlemah lembut terhadap anak yatim  .

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda  memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat Nabi S.A.W. di syurga."

Salah satu cara dapat membantu dan mengasuh anak-anak yatim yang kehilangan bapa adalah dengan mengawini ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Sahabat,
Segala usaha-usaha yang dicadangkan oleh Kerajaan Kelantan mengalakkan suami berpoligami (jika berkemampuan) sepatutnya mendapat sokongan setiap kerajaan negeri kerana amalan tersebuat adalah amalan sunah yang patut digalakkan dan diberi perhatian serius. Bukannya membuat berbagai syarat yang menyulitkan para suami yang berkemampuan untuk berpoligami, sehinggakan mereka terpaksa bernikah dinegara jiran semata-mata untuk mengelakkan perbuatan zina kerana zina adalah perbuatan terkutuk dan dosa besar.  Oleh itu para wanita perlulah bersikap terbuka dan mengambil nilai iman dan takwa apabila memberi komentar mengenai poligami . Wanita perlulah merasai bahawa berpoligami adalah hukum Allah, ianya bukanlah suatu yang menyusahkan dan membebankan hingga terpaksa membuat sesuatu tindakkan yang akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT.





No comments: