Wednesday, November 30, 2011

Amalkanlah Tiga Sunah dan Kesukaan Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia 1. Wanita yang halal 2. wangian 3. rasa seronok dalam solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi- hadis hasan)

Berdasarkah hadis di atas terdapat tiga kesukaan Nabi SAW di dunia ini.

Perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Wanita yang halal (isteri-isteri yang solehah)

Kedua : Wangian.

Ketiga : Rasa seronok dalam  solat.

Huraiannya :

Pertama : Wanita yang halal (isteri-isteri yang solehah)

Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah meletakkan darjat yang tinggi kepada kaum wanita. Di zaman jahilaiah wanita dijadikan barang dagangan, bila sudah tidak berguna akan dibuangkan begitu sahaja. Di zaman jahiliah juga apabila seorang wanita melahirkan anak perempuan maka keluarga tersebut akan mendapat aib yang besar dan mereka akan membunuh anak perempuan tersebut. Islam telah meletakkan darjat yang sama di antara wanita dan lelaki dari segi amal soleh, pahala dan takwa, sesiapa yang lebih tinggi takwanya kepada Allah SWT maka dia lebih mulia di sisi Allah SWT  tidak kira  samaada dia seorang lelaki atau  wanita.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah.”(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Setiap lelaki yang normal memerlukan wanita untuk dijadikan isteri kerana dengan perkahwinan yang sah akan melahirkan cinta dan kasih sayang semata-mata kerana Allah SWT. kerana cinta adalah anugrah Allah SWT. Cinta yang suci adalah warisan syurga yang mana Nabi Adam a.s rasa kesunyian di syurga lalu dijadikan Siti Hawa untuk dijadikan isteri baginda di syurga. Lahirlah cinta dan kasih sayang  sebagai fitrah kurniaan Allah SWT.

Cinta dan kasih sayang baginda kepada wanita solehah yang menjadi isteri-isteri  baginda,  kerana mereka membantu baginda dalam perjuangan menegakkan Islam dimuka bumi ini. Kasihnya baginda kepada mereka kerana kesemua meraka menjadi penenang hati, pendorong semangat, dan memberi nasihat-nasihat yang berguna ketika baginda menghadapi saat getir perjuangan menegakkan agama Allah ini penuh dugaan dan tribulasi.

Bayangkan betapa sedihnya baginda di atas kematian isteri yang pertama lagi tercinta Siti Khadijah  yang banyak membantu dan berkorban dikala masyarakat dan kaum keluarganya  menolak dakwah baginda. Siti Khadijah telah mengorbankan seluruh hartanya semata-mata untuk berjihad dijalan Allah SWT.

Nabi SAW memberi amaran tidak mengaku umatnya kepada lelaki bujang yang tidak suka berkahwin (tidak suka wanita) sedangkan dia berkemampuan. Nabi SAW juga menggalakkan bagi lelaki yang sudah berkahwin untuk berpoligami dengan syarat berkemapuan dan bertanggungjawab kerana baginda berbangga umatnya yang ramai di hari akhirat nanti.

Suka kepada wanita (sebagaimana Nabi SAW menyukainya) perlulah mengikut peraturan Islam dan akhlak Islam iatu perlu menjurus kepada pernikahan yang sah untuk menjadi suami isteri . Perkahwinan adalah sunah Rasulullah SAW yang penting untuk melahirkan zuriat keturunan yang sah kearah pembinaan keluarga Islam, masyarakat Islam dan daulah Islamiah.

Ahli saikologi ada menyatakan, "Cinta yang diucapkan selalu di antara lelaki dan wanita sebelum mereka berkahwin akan mengurangkan cinta tersebut apabila mereka mendirikan rumah tangga." Memang benar kata-kata tersebut kerana sebahagian besar perceraian yang berlaku sekarang ini adalah mereka-mereka yang bercinta berlebihan sebelum berkahwin.

Kedua : Wangi-wangian.

Rasulullah SAW adalah mempunyai tubuh yang bau yang wangi dan segar yang semula jadi. Wangian ini melebihi wangian yang wujud di dunia ini. Anas r.a menceritakan :

ما شممت عنبرا قط ولا مسكا ولا شيئا أطيب من ريح رسول الله

Maksudnya: “Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi dari bau Rasulullah SAW.”
(Hadis Riwayat  Bukhari Muslim)

Walaupun begitu baginda tetap memakai minyak wangi yang dipanggil sukkah (Hadis Riwayat Abu Daud – sanad hasan).

Jika seseorang diberi wangian seperti minyak wangi, bedak dan sebagainya maka disunat dia menerimanya. Nabi SAW diriwayatkan dalam hadis bahawa baginda tidak menolak pemberian minyak wangi (Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi SAW bersabda:

من عرض عليه ريحان فلا يرده

Maksudnya : “Sesiapa yang dipelawa minyak wangi janganlah dia menolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Memakai wang-wangian adalah sunah Rasulullah  SAW terutama ketika solat dan bersama masyarakat ketika menjalankan tugas, kerana Islam tidak suka umatnya berada di dalam keadaan berbau badan atau peluh kerana bauan ini boleh menyakitkan hidung sesiapa yang mendekatinya.

Wangi-wangian ini adalah khusus untuk kaum lelaki bukannya wanita.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Wangian lelaki apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya dan wangian perempuan apa yang tersembunyi baunya dan nyata warnanya. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad- hasan)

Diluar rumah atau bersama orang yg bukan mahram hendaklah wanita memakai wangian yang baunya untuk diri sendiri dan tidak dihidu oleh orang lain .

Dilarang sama sekali memakai minyak wangi sehingga di hidu oleh lelaki yg bukan mahram.

Nabi SAW bersabda:

أيما إمرأة استعطرت فمرت بقوم ليجدوا ريحها فهي زانية

Maksudnya: "Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi medapat dosa zina." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad- hasan)

Bukanlah wanita itu dilarang sama sekali menggunakan bau-bauan bila dia keluar tetapi yang dilarang adalah yang sehinggu dihidu oleh orang sekilingnya. Janganlah wanita itu meninggalkan bau-bauan sehingga menyebarkan bau yang tidak elok kepada sekitarnya.

Ketiga : Rasa seronok dalam  solat.

Rasulullah SAW  merasakan solat adalah penyejuk matanya, rasa seronok dan tenang sekali kerana dalam solat terbina hubungan hati kita dengan Allah SWT.

Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas’ud: “Apakah amalan yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya. Kemudian Ibnu Mas’ud bertanya lagi:
Selepas itu, apa pula? Jawab Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya ‘tepat pada waktunya’ sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan seorang muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup secara tertib dan berperaturan.

Fungsi solat juga sebagai penawar ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang kekotoran.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati baginda. Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun perkataan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam.

Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan wajahnya ke arah tempat sujud.

Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam.

Ibadat solat jika dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji.

Nabi SAW sentiasa melaksanakan solat tahajud hingga bengkak-bengkak kaki baginda kerana seronoknya baginda bersolat .

Sungguh Nabi SAW  solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi SAW.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari)

Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah SAW. ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan amat kurang sekali melakukan ibadah kepada Allah SWT untung nasib belum dipastikan samada syurga atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?

Salah satu ciri-ciri orang mukmin adalah dia merasakan cukup seronok apabila masuk waktu solat dan dia akan solat berjemaah di masjid atau disurau sebagaimana seronoknya Nabi SAW terhadap ibadah solat.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita mengikut sunah dan kesukaan Nabi SAW dia atas tiga perkara di atas. Kita cinta kepada wanita iaitu isteri kita, kita berikan sepenuh cinta dan kasih sayang, beri nafkah yang cukup dan memberi pendidikan Islam sehingga menjadi isteri solehah , kita suka memakai wangi-wangian yang harum setiap masa dan menjadikan solat itu sebagai amalan harian yang menyeronokkan hati kita samaada solat fardu atau sunat dan kerjakannya hingga merasa khusyuk kepada Allah SWT.






No comments: