Tuesday, November 29, 2011

Carilah Keberkatan Dalam Hidup Supaya Berbahagia di Dunia dan Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sering mendengar sejak kecil lagi ibu bapa kita ada memberi nasihat jangan buat dosa dan jangan tinggalkan solat nanti kita akan mendapat keberkataan daripada Allah SWT dalam hidup ini.

Firman Allah SWT maksudnya :"Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al-A'raf ayat 96)

Sekiranya seseorang manusia itu beriman dan bertakwa maka Allah SWT akan melimpahkan kepada mereka barakah (berkat) daripada langit dan bumi. Tetapi jika seseorang itu kufur kepada Allah SWT maka Dia akan menurunkan azab-Nya .

Apakah itu berkat?
Berkat diambil daripada perkataan Arab iaitu “ BARAKAH ~ بركة “ . Dan perkerjaan “ mengambil berkat “ pula dikenali sebagai “ TABARRUK ~ تبرك “.Oleh itu “ berkat “ ini ialah : BAHAGIA, BERUNTUNG, BERTAMBAH DAN BERKEMBANG .

Ar-Raghib Al-Isfahani mendefinasikannya sebagai :

البركة : ثبوت الخير الإلهي في الشيء

Maksudnya : “ Keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu “.

Maka jelaslah “ MENGAMBIL BERKAT “ pula ialah : “ Mengharapkan datangnya kebaikan daripada Allah SWT dari sesuatu yang dipercayai mempunyai nilai-nilai keberkatan “.

Sebenarnya banyak alim ulama telah memberikan penjelasan tentang makna “Berkat” ini. Supaya senang di fahami berkat bermakna “Kebaikan yang bertambah, berterusan dan berpanjangan”. Contoh yang paling mudah kita perhatikan firman Allah SWT dalam Surah Ali
 Imran ayat 96 berbunyi ;


Maksudnya : "Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia." (Surah Ali Imran ayat 96)

Allah SWT. memberitahu kepada kita bahawa Baitullah (Masjidil Haram) itu adalah tempat yang berkat. Keberkatannya dapat dilihat dengan kebaikan yang semakin hari semakin bertambah dimana manusia mengunjunginya dari dahulu sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. sehingga kini kunjungan manusia sentiasa berterusan dan berpanjangan.

Kalau dilihat kepada kehidupan seharian kita, bagaimana kita dapat melihat bahawa Allah SWT telah mengurniakan keberkatan kepada kehidupan kita? Adakah yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT itu kebaikannya bertambah, kebaikannya berpanjangan dan berterusan?

Kalau dilihat kepada keberkatan rezeki, Allah SWT mengurniakan kepada seseorang itu harta benda. Semakin banyak harta bendanya maka semakin banyak dia membuat kebajikan, semakin banyak dia bersedekan dan semakin bertambah takwa dia kepada Allah SWT. Hidup dia dirahmati Allah SWT dan dijauhi dari segala bala bencana di dunia dan azab di akhirat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : "Iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla."

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila kita beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, Dia akan mengurniakan lapan (8) keberkatan yang akan menghiasi hidup kita. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga.

Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah SWT dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak-anak.

Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat. Hidup bertambah bahagia dan terhindar daripada masaalah hutang yang membebankan kehidupan. Jika berhutang pun akan ada cara dan jalan untuk menyelesaikannya.

Kedua : Keberkatan pada kesihatan.

Allah SWT selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi SAW bersabda :

صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات

Maksudnya : "Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan." (Hadis Riwayat at-Tabrani, al-Haitahami : sanadnya Hasan)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ada juga penyakit yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah untuk menambahkan pahala dan menghapuskan dosa orang yang diberikan-Nya penyakit dengan syarat dia bersabar dan tenang dan tidak merungut dan menyalahkan takdir.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.

Ketiga : Keberkatan pada harta, rezeki dan makan-minum.

~ Rezeki itu daripada sumber yang tidak haram dan tidak syubhat.

~ Rezeki itu sedikit dirasa, tetapi mencukupi keperluan.

~ Rezeki itu dengannya kita mampu membiayai keluarga dan menjaga kebajikan mereka menurut neraca syariat.

~ Rezeki itu tidak “ menggelapkan hati “ daripada cahaya Allah SWT.

~ Rezeki itu tidak menyebabkan kita jauh daripada hidayah Allah SWT.

~ Rezeki itu menyemarakkan lagi semangat untuk beribadat.

Nabi SAW  bersabda  :

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها

Maksudnya : "Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad - Hadis Hasan)

Harta yang tidak berkat adalah bila seseorang melakukan maksiat dan dosa dan mendapat rezeki daripada sumber yang haram.

Tetapi sebaliknya orang yang diberkati Allah SWT apabila dia dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai 'qana'ah'  iaitu 'berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus berusaha untuk memperbaiki diri dan kerja.'

Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah SWT untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah SWT yang disebut di dalam Surah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai 'ayat seribu dinar'

Firman Allah SWT :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا  وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya : "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya  rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Talaq ayat 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang perlu bertakwa dahulu  sebagai jalan dibuka dan jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat takwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, takwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas  menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)

Nabi SAW bersabda :
لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً

Maksudnya : "Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang."

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik  kepada Allah.

Terdapat harta yang berkat tetapi ditimpa musibah dan bencana, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah SWT dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.Justeru, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita  tidak tahu hakikat sebenarnya. Semua kebaikan hanya di dalam ilmu Allah SWT.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah SWT, maka Dia akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Keempat : Keberkata sekeliling yang baik

Dipermudah oleh Allah SWT untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

Kewujudannya menjadi pendorong kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah hadis daripada Nabi SAW :

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه

Maksudnya : "Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Hadis Riwayat Ibn Majah , hadis sahih )

Kelima : Keberkatan di dalam amal dan ibadah :

~ Amalan yang diamalkan itu sesuai dengan kehendak Allah  dan Rasul-Nya.

~ Amalan itu ikhlas kerana Allah SWT.

~ Amalan itu membuahkan hasil yang selari dengan kehendak Islam.

~ Terasa manisnya beribadat.

~ Lahirnya ibadat itu setelah mempelajari Sunah Nabi SAW.

Keenam : Keberkatan pada masa:

Terdapat banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menceritakan keberkatan masa dan saat untuk berdoa yang mustajab di sisi Allah SWT. Mukmin yang diberkati Allah SWT akan mampu menfaatkan saat yang mustajab berdoa untuk dia berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.

~ Berdoa di saat menjelangnya Subuh ( 1/3 daripada malam ).

~ Makbulnya doa di antara Azan dengan Iqamah.

~ Makbulnya doa di antara Azan Jumaat dengan selesainya khutbahnya.

~ Makbulnya doa khasnya di bulan Ramadan dan terutamanya di 10 hari-hari terakhirnya.

~ Makbulnya doa ketika melakukan Ibadah Haji khasnya ketika melakukan Wuquf di Arafah.

Ketujuh : Keberkatan pada usia :

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada orang yang menjalin silaturrahmi, yang sisa umurnya tinggal tiga tahun, kemudian Allah menambah umurnya menjadi tiga puluh tahu. Dan ada orang yang memutuskan silaturrahmi, yang sisa umurnya masih tiga puluh tahun, kemudian Allah menjadikan umurnya tiga tahun. Kemudian beliau membacakan firman Allah swt: ‘Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nyalah terdapat Ummul Kitab’.” Ar-Ra’d/13: 39. (Safinah Al-Bihar 1: 514).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :"Sebaik-baik diantara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya". (Hadis Riwayat Tarmidzi).

Keberkatan usia atau umur seseorang adalah apabila hidupnya sentiasa buat kebaikan, menyambungkan silaturahim dan beramal soleh.

~ Usia yang ada dimanfaatkan untuk menegakkan perjuangan Islam.

~ Usia sedikit, tetapi mendatangkan manfaat yang besar – contohnya ulama silam, mereka mampu menghasilkan kitab-kitab yang berjumlah beratus-ratus jilid dan judul walaupun mereka tidak mampu hidup lama.

~ Usia itu memenuhi persoalan : “ Untuk apa kita datang, apakah tujuan kita dilahirkan ke dunia ini dan kemana akan kita pergi selepas kematian? “.


Kelapan : Keberkatan menuntut ilmu :

 عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah SAW. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan lain-lainnya).

~ Sedikit yang dipelajari dengan ikhlas kerana Allah SWT, membuahkan lagi ilmu-ilmu lain.

~ Sesuai dengan ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya

~ Ianya membuahkan amal seterusnya iman.

~ Ianya merangsangkan lagi minat beribadat.

~ Ilmu yang dimiliki dapat difahami, diamalkan dan dikembangkan pula kepada orang lain.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT, melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya semoga kita mendapat keberkatan datangnya daripada langit dan bumi yang akan dikurniakan oleh Allah SWT.







No comments: