Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang yang beriman akan diuji oleh Allah SWT samaada dia hendak bersyukur atau tidak di atas nikmat rezeki yang dikurniakan-Nya. Sesiapa yang bersyukur dan reda dengan takdir Allah SWT akan terselamat daripada ujian-Nya dan sesiapa yang kufur tidak bersyukur dan tamak haluba akan mendapat kemurkaan Allah SWT dan azab yang akan ditimpakan ke atasnya.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Bahawa sesungguhnya ada tiga orang daripada Bani Israil yang masing-masing mempunyai kekurangan. Seorang daripadanya berpenyakit sopak , seorang botak dan yang seorang lagi buta. Allah menguji mereka , dengan mengutuskan malaikat.
Malaikat itu datang kepada si sopak dan bertanya :
“Apakah sesuatu yang paling engkau inginkan?”
Si sopak menjawab , “Saya menginginkan paras yang tampan dan kulit yang cantik, serta hilang penyakit yang menyebabkan orang jijik untuk mendampingiku.”
Maka malaikat itu lantas mengusap si sopak dan kemudian hilangkan penyakit yang menjijikan itu serta ia di beri paras yang tampan, dan kulit yang cantik.
Malaikat itu bertanya lagi, “Harta apa yang paling engkau mahukan?”
Si sopak menjawab , “Saya ingin menjadi usahawan penternak unta yang berjaya.”
Kemudian dia di beri unta yang sedang bunting sepuluh bulan, dan malaikat tadi berkata :
“Semoga Allah memberi berkah dan rahmat atas apa yang kau terima”
Kemudian malaikat itu pergi kepada si botak dan bertanya :
“Apakah yang paling kau inginkan?”
Si botak menjawab : “ Rambut yang rapi dan hilangnya penyakit yang menjadikan orang jijik kepadaku ini.” Malaikat lantas mengusap si botak dan selepas itu hilanglah penyakit dan tumbuhlah rambut yang cantik rapi di kepalanya. Malaikat bertanya lagi, “Harta apa yang paling kau inginkan?” si botak menjawab, “Saya ingin menjadi usahawan penternak lembu yang maju.” Kemudian dia diberikan lembu yang sedang bunting dan malaikat tadi berkata, “Semoga Allah memberi berkah dan rahmat atas apa yang kau terima.”
Kemudian malaikat pergi pula kepada si buta dan bertanya, “Apakah sesuatu yang paling kau inginkan?” si buta menjawab, “Allah mengembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat.” Malaikat lantas mengusap si buta dan Allah mengembalikan penglihatan si buta. Malaikat itu bertanya lagi, “Harta apa yang paling engkau mahukan?” si buta menjawab, “Saya ingin menjadi penternak kambing.” Kemudian dia diberikan kambing yang sedang bunting.
Lama-kelamaan unta, lembu dan kambing milik mereka berkembang biak sehingga memenuhi satu kawasan. Lantas datanglah malaikat sebagai ujian daripada Allah. Malaikat itu menyamar sebagai seorang yang berpenyakit sopak seperti keadaannya dulu sambil berkata, “Saya seorang miskin dan telah kehabisan bekal di tengah perjalanan dan tidak menggantung harap kecuali kepada Allah s.w.t. kemudian kepadamu. Saya benar-benar meminta pertolongan kepadamu dengan izin Allah yang telah memberi engkau paras yang tampan dan kulit yang halus serta kekayaan. Saya meminta kepadamu seekor unta untuk bekal melanjutkan perjalanan saya.”
Si sopak berkata,”saya tidak dapat memberikan apa-apa kepadamu.” Malaikat itu berkata,”Kalau tidak salah saya, saya penah kenal denganmu, bukankah kamu dulu orang yang mempunyai sakit sopak dan orang-orang jijik kepadumu, dan bukankah kamu dulu orang miskin lalu Allah memberi rahmat kepadamu? “ si kaya yang sebelumnya sopak itu berkata, “Sesungguhnya saya mempunyai harta kekayaan ini daripada nenek moyang saya.” Malaikat berkata, “Jika kamu berdusta maka semoga Allah s.w.t. mengembalikan kamu seperti keadaanmu semula.”
Kemudian malaikat datang kepada si botak dengan menyerupai orang yang berpenyakit botak sepertinya dahulu dan berkata seperti apa yang diperkatakan kepada si sopak. Si botak menjawab seperti si sopak. Kemudian malaikat itu berkata, “Jika kamu berdusta,semoga Allah menjadikan kamu seperti keadaan asalmu.”
Malaikat meneruskan perjalanannya ke tempat si buta dengan menyerupai orang buta seperti keadaan si buta dan berkata, “Saya seorang msikin dan telah kehabisan bekalan. Saya benar-benar minta pertolonganmu dengan izin Allah yang telah mengembalikan penglihatanmu, iaitu saya meminta satu ekor kambing untuk bekalan dalam melanjutkan perjalanan saya.”
Si buta menjawab, “Saya dulu juga seorang yang buta kemudian Allah mencelikkan penglihatan saya. Dan dulu Allah memberi kekayaan seperti ini, maka ambillah apa yang kau inginkan. Demi Allah, saya tidak akan menghalangmu daripada mengambil apa jua yang kau kehendaki kerana Allah.” Mendengar jawapan ikhlas itu, malaikat itu berkata, “Peliharalah harta kekayaanmu, sebenarnya kamu hanyalah diuji dan Allah benar-benar redha terhadap kamu dan Allah telah memurkai kedua-dua kawanmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Kisah yang di ceritakan oleh Rasulullah SAW ini adalah pada zaman Bani Israil bagaimana Allah SWT. telah menguji umat terdahulu. Pengajaran dan moral dari kisah ini adalah untuk kita semua mengambil iktibar sebagai umat Rasulullah SAW Ujian Allah SWT tetap berlaku kepada setiap hamba-hamba Allah SWT yang mengaku beriman Allah SWT dan rukun-rukun Iman yang lain. Ujian Allah SWT. ini datang dalam berbagai bentuk bergantung sejauh mana hubungan hati kita dengan Allah SWT.
Apabila Allah SWT memberikan kekayaan dan kemewahan harta benda di jalan yang tiada di sangka-sangka , adakah kita tetap menjadi hamba Allah SWT yang bersyukur?
Apabila Allah SWT menguji kita dengan kesempitan hidup dan tidak mempunyai harta, adakah kita akan menjadi hamba Allah SWT yang tenang dan bersabar?
Apabila Allah SWT. menguji kita dengan kesakitan (penyakit) adakah kita redha dengan ketentuanNya , dan berusaha dan berikhtiar untuk mencari ubatnya ?
Jawapannya ada pada diri kita sendiri, “ tepuk dada tanya iman”. Kita kena melatih hati dan pemikiran kita supaya positif setiap masa dan ketika dan sentiasa baik sangka dengan Allah SWT . Meyakini bahawa setiap peristiwa yang berlaku semuanya menggandungi ikhmah dan kebaikan, segala ujian Allah SWT. ini adalah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita pada Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran-pengajaran yang boleh di perolehi daripada kisah di atas adalah seperti berikut :
1. Anjuran untuk berlemah lembut dan memuliakan orang-orang yang lemah dan miskin, memenuhi keperluan mereka, tidak melukakan hati mereka dan tidak menghina mereka.
2. Allah SWT. pasti menguji hamba-hambaNya untuk mengetahui antara mereka siapa yang bersyukur dan kufur nikmat, siapa yang soleh dan ingkar.
3. Kita wajib bersyukur dengan nikmat Allah SWT dan dilarang kufur serta mengingkari nikmat.
4. Malaikat mampu datang dan menyamar sebagai manusia dan lainnya.
5. Kisah ini menjelaskan keutamaan bersedekah.
6. Bakhil dan kedekut adalah perbuatan yang di cela oleh Islam.
No comments:
Post a Comment