Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan seorang wali Allah. Beliau dilahirkan di Naif dalam daerah Jailani, Iran pada bulan Ramadan 470 Hijrah. Ayahnya bernama Salih. Beliau merupakan seorang yang bertakwa dan berketurunan Imam Hasan r.a, cucu pertama Rasulullah s.a.w. Semenjak kecil, Syeikh Abdul Qadir diasuh dengan sempurna. Sebelum ayahnya meninggal dunia dia berpesan supaya Syeikh Abdul Qadir meneruskan pengajiannya ke Baghdad.
Ketika berusia 18 tahun, beliau meminta izin daripada ibunya untuk ke Baghdad bagi menuntut ilmu agama. Sebelum berangkat ibunya berpesan supaya beliau tidak bercakap bohong. Ibunya membekalkan wang sebanyak 40 dirham dan diletakkan di dalam pakaian Syeikh Abdul Qadir. Berangkatlah beliau ke Baghdad bersama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.
Dalam perjalanan ke Baghdad, Syeikh Abdul Qadir dan rombongannya telah diserang oleh 60 orang penyamun. Kesemua harta kafilah dirampas tetapi barang milik Syeikh Abdul Qadir tidak diusik. Sangkanya Syeikh Abdul Qadir tidak mempunyai apa-apa. Bagaimanapun salah seorang penyamun bertanya kepada Syeikh Abdul Qadir apa yang dia miliki. Lalu Syeikh Abdul Qadir berterus terang yang dia mempunyai 40 dirham dalam pakaiannya. Tanpa belas kasihan, penyamun itu terus memotong pakaian Syeikh Abdul Qadir.
"Mengapa kamu bercakap jujur dengan kami?" tanya ketua penyamun
"Ibu berpesan agar jangan sekali-kali bercakap bohong. Apatah lagi aku hendak ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Sekiranya aku berbohong, ilmu yang aku perolehi tidak berkat dan tidak mendapat keredhan Allah s.w.t." beritahu Syeikh Abdul Qadir
Mendengar kejujuran dan keikhlasan Syeikh Abdul Qadir, ketua penyamun itu telah insaf dan sedar akan dosa dan kezaliman yang telah ia dan kawan-kawannya lakukan, dan telah memulangkan semua barang-barang yang dirampas dan berjanji tidak akan menjadi penyamun lagi.
Sahabat yang dikasihi,
Bagaimana akhlak yang mulia iaitu bercakap benar yang ditunjukkan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan izin Allah SWT telah membuka pintu hati ketua perompak tersebut . Kerana kejujurannya boleh membuka pintu hati seorang yang ahli maksiat yang bergelumangan dengan dosa. Oleh itu sifat ini perlulah kita hayati pada diri kita dan ajarkan sifat jujur dan benar ini kepada isteri dan anak-anak kita, jiran tetangga dan sahabat handai.
Rasulullah SAW bersabda kepada Sayyidina Ali r.a yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermenfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermenfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari. Wahai Ali ! Barangsiapa yang banyak dosanya, maka hilanglah kehormatannya.
Wahai Ali ! Jagalah selalu kejujuran ucapan dan jagalah pula perbicaraanmu. Jagalah amanat, peliharalah kemurahan hati serta kesucian batin (hati)."
Pengajaran yang boleh kita ambi daripada kisah di atas :
1.Sifat jujur dan bercakap benar adalah sifat mahmudah yang mana Allah akan memberikan rahmat dan pertolongan-Nya kepada sesiapa saja yang memiliki sifat ini.
2.Menuntut Ilmu agama adalah fardu ain, sesiapa saja yang keluar rumah semata-mata untuk menuntut ilmu adalah seperti keluar berjihad fisabilillah dan para malaikat menaungi dan mendoakan akan kesejahteraan mereka.
3.Ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan didikan Islam supaya mereka menjadi insan yang beriman dan berguna pada masyarakat.
No comments:
Post a Comment