Saturday, December 17, 2011

Tafsir Surah Al -Fajr Ayat 27 - 30

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
 
 Firman Allah SWT maksudnya :

"Wahai jiwa yang tenang. (QS. 89:27)
   
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. (QS. 89:28)

Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku (QS. 89:29)

dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (QS. 89:30)
 
(Surah al-Fajr (89) ayat 27-30)

 Tafsirannya :

 "Wahai jiwa yang tenang" 

Asbabun Nuzul Surah al-Fajr ayat 27.
Buraidah r.a menerangkan, bahawa ayat ini ditujukan kepada Saidina Hamzah r.a yang gugur sebagai syuhada di Perang Uhud." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim. Lihat Ibnu Katsir ; 6/312)
 
Bagaimana Allah SWT memanggil kepada jiwa dengan panggilan yang lembut iaitu wahai jiwa yang tenang. Roh para syuhada adalah jiwa yang tenang dan diredai oleh Allah SWT. Saidina Hamzah r.a telah mati syahid di dalam Perang Uhud, dalam hadis ada menceritakan keistimewaan roh para syuhada Uhud sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan roh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Ketika mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat dari Surah Ali-Imran ayat 169-171).(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)
 
Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahuallah dalam tafsir Fi Zilalil Quran Surah al-Fajr ayat 27-30 menyatakan :
"Di tengah-tengah suasan kiamat yang ngeri dan ditengah-tengah suasana penyeksaan dan pembelengguan yang dahsyat dan diluar segala kefahaman itu, tercetuslah suara panggilan dari al-Mala'ul- A'la menyeru orang yang beriman :
 
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh kepuasan dan mendapat keredaan dari-Nya. Dan silalah masuk ke dalam jamaah para hamba kesayangan-Ku. Dan silalah masuk ke dalam syurga-Ku."

Demikian ia diseru dengan penuh mesra dan lemah lembut. "Wahai" ia diseru dengan ciri kerohaniah dan penuh penghormatan. "Wahai jiwa" ia diseru dengan memberi sanjungan dan ketenangan. 
 
 "Wahai jiwa yang tenang"
 
Dan ditengah-tengah suasana belenggu dan ikatan itu muncul kebebasan kesenangan dan kemewahan. 
 
 "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan kepuasan dan mendapat keredaan dari-Nya"
 
Yakni kembali kepada asal mulanya setelah berpisah dengan bumi dan bercerai dengan dunia. Pulanglah kepada Tuhanmu kerana di antara Dia dan engkau terdapat hubungan dan perkenalan yang kukuh. Kembalilah :
 
"Dengan kepuasan dan mendapat keredaan-Nya."
 
Ia diseru demikian lembut yang membuat suasana seluruhnya diselubungi kemesraan yang timbul balik, kepuasan dan keredaan.
 
"Dan silalah masuk ke dalam jamaah para hamba kesayangan-Ku"
Iaitu para hamba-Ku yang muqarrabin yang dipilih untuk mendapat darjat ini.

"Dan silalah masuk ke dalam syurga-Ku."

Di bawah naungan dan rahmat-Ku.

Jelas terbayang rasa kasih mesra Ilahi yang mengusap jiwa-jiwa penghuni syurga iaitu jiwa yang tenteram terhadap Allah dan jalan hidupnya, terhadap qadak dan qadar di dalam kesenangan dan kesusahan, sama ada dalam keluasan atau kesempitan, sama ada ia dikurniakan atau ditahan kurnia, ia selama-lamanya tetap tenang, tenteram, tidak ragu-ragu, tidak menyeleweng dan tidak teragak-agak di tengah jalan dan tidak gentar pada hari kiamat yang ngeri.

Kemudian ayat-ayat itu berlalu berturut-turut menyelubungi seluruh suasana dengan keamanan, kepuasan , ketenteraman dan irama kata-kata yang lemah-lembut di sekeliling pemandangan yang membayangkan rasa kemesraan, hubungan yang dekat dan rasa ketenangan. Itulah syurga dengan hembusan-hembusan bayunya yang nyaman dan menyegar menjenguk di celah-celah ayat ini, dan di atasnya muncul tajali wajah ar-Rahman Yang Mulia Maha Gemilang."

Sahabat yang dikasihi,
Jiwa orang-orang mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT, yang beramal soleh ketika di dunia dengan mendapat rahmat Allah SWT  adalah termasuk di dalam jiwa yang tenang dan bersih yang layak memasuki syurga Allah SWT seperti jiwa para syuhada.

Oleh itu beramal solehlah kita, jauhi maksiat dan dosa supaya kita termasuk dikalangan mereka yang rahmati-Nya dan mempunyai jiwa yang tenang atau nafsu mutmainnah dan akan dijemput untuk memasuki dan menikmati syurga Allah SWT di hari akhirat nanti.





No comments: