Wednesday, June 6, 2012

Sifat Orang Mukmin Merasai Bimbang Ketika Bertemu Allah SWT Di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin perlulah merasa bimbang dan risau apakah kesudahan hidupnya samaada mendapat keredaan daripada Allah SWT atau pun tidak dihari akhirat nanti. Daripada jiwa yang bimbang inilah akan melahirkan pengharapan dan doa disertakan dengan penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan Rabbul 'alamin.

Saidina Umar al-Khattab r.a telah dijamin untuk masuk syurga oleh Rasulullah SAW tetapi beliau masih mengharapkan belas kasihan daripada Allah SWT untuk terselamat daripada azab neraka. Pada  suatu ketika, beliau telah melafazkan satu doa  ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Para Nabi-nabi yang telah dipilih menjadi kekasih Allah SWT tidak pernah lupa untuk berdoa agar mereka tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. 

Nabi Ibrahim a.s berdoa (maksudnya) : “Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)

Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim a.s. di dalam ayat di atas, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian untuk menjadi panduan kita bersama.

Pertama : Kebimbangan Nabi Ibrahim mengenai azab yang pedih pada hari akhirat. 

Sebagai seorang Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim a.s masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim a.s yang sewajarnya dicontohi.

Kedua : Tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. 

Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia.

Akan tetapi pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah SWT tidak mungkin dapat diminta kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan.

Ketiga : Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. 

Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau 'qalbun salim'.

Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia.

Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah.

Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah 'qalbun salim' ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna. 

1. Ibnu Katsir dan al-Alusi memberi tafsiran bahawa 'qalbun salim'  bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat. Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan.
2. 'Qalbun salim' bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya. Di dalam surah al-Baqarah terdapat tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun).

Golongan yang disebut sebagai al-munafiqun ini adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:  “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” 
(Surah al-Baqarah, ayat 10)

Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah SWT. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah yang lain.
3. 'Qalbun salim' adalah bermaksud hati yang mengenal Allah SWT iaitu iman dan takwa.
Memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Takwa itu di sini, dan baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal soleh. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain.

Hal ini, menurut Imam al-Razi, beliau berkata : "Apabila hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. "

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu perlulah kita banyak bermuhasabah dan bermurajaah akan amalan-amalan kita setiap hari dan melihatnya kembali adakah ianya cukup untuk berhadapan dengan Allah SWT di hari akhirat nanti. Perasaan bimbang, takut dan mengharap rahmat dan kasih sayang Allah SWT adalah sifat dan peribadi orang mukmin yang menguasai kehidupnnya dan cukup berhati-hati ketika meniti kehidupan setiap hari.

1 comment:

Anonymous said...

nabi Ibrahim dan Sayyidina Umar diredaksikan sebagai orang mukmin dan tidak dipungkiri lagi memang demikian, klo Rasul Muhammad, Nabi Isa, Sayyidina Ali gimana ketika bertemu Allah di Akherat??? mohon penjelasan trims