Sunday, September 30, 2012

Orang Mukmin Sentiasa Berdoa Kepada Allah SWT Semoga Di Kurniakan Husnul Khatimah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mengalami kematian, samaada cepat atau lambat adalah bergantung kepada suratan amal dan masa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).”
(Surah al-A’raf, ayat 34)

Akhir hidup yang baik (husnul khatimah) sukar diperolehi jika seorang manusia itu sehari-harinya tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya , dan sentiasa melakukan dosa dan maksiat. Bagaimana doanya di terima oleh Allah SWT untuk mendapat husnul khatimah sedangkan hati dan jiwanya kotor dengan dosa?

Husnul khatimah bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Keadaan seseorang saat tutup usia memiliki nilai tersendiri, kerana balasan baik dan buruk yang akan diterimanya bergantung pada keadaan ketika saat tutup usianya.

Sabda Nabi SAW. maksudnya : “Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan selainnya)

Orang yang doanya akan dimakbul oleh Allah SWT adalah mereka yang beriman, taat, mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, banyak beramal soleh, banyak berjasa kepada orang lain dan menjauhi dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Mintalah kepada Allah SWT untuk akhir hidup kita yang baik dan dijauhi su'ul khatimah.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebaik-baik umur adalah umur yang panjang dan penuh dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk umur menurut Allah SWT adalah yang panjang umurnya tetapi diisi dengan dosa dan maksiat kepada Allah.

Para ulama telah merumuskan bahawa terdapat sembilan perkara perlu dilakukan oleh seorang mukmin itu supaya di akhir hayatnya mereka dikurniakan husnul khatimah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalan sehari-hari. Oleh kerana itu, isilah hari-hari kita dengan selalu meningkatkan iman dan amal soleh.

Kedua : Selain berusaha untuk selalu meningkatkan ibadah fardu dan sunat, maka perlu memperbanyak amalan ihsan, iaitu amalan yang memberi kebaikan kepada orang ramai, baik berupa ajakan untuk kembali kepada Allah (dakwah ilallaah), menyebarkan ilmu, menyebarkan kasih sayang, menyebarkan amal soleh, dan selalu berpesan-pesan kepada yang hak dan berpesan -pesan pada kesabaran .

Ketiga : Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agamanya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Jangan sekali-kali berfikir untuk mengakhiri hidup dengan jalan pintas kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan jalan pintas (bunuh diri) tidak akan diterima amalnya dan dipastikan dia akan masuk neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud,"...Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Surah Yusuf ayat 87)

Kelima : Ajal adalah sebuah misteri, merupakan rahsia Allah. Ia datang secepat kilat, tetapi tidak datang-datang walaupun telah dinanti-nantikan setiap saat. Namun jika ajal telah datang, tidak boleh ditunda atau dimajukan walaupun sedetik.Buatlah persiapan sebaik mungkin sebelum meninggalkan dunia ini. Persiapan sebelum kematian adalah sentiasa beristighfar, sentiasa minta maaf sesama manusia, selesaikan semua hutang-hutang, jaga solat fardu berjemaah dimasjid, sedekah jariah, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan melahirkan anak-anak yang soleh.

Keenam : Mengamalkan doa untuk dijadikan orang yang husnul-khatimah pada setiap akhir solat fardu.

Di antara doa-doa yang perlu diamalkan adalah :

هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Hablii hukmaw wa al hiqniy bish shoolihiin

Maksudnya, “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh."
(Surah asy-Sy’araa, ayat 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika Maksudnya, “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku yaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).” (Hadis riwayat Ibnus Sunny)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Maksudnya, “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk).”

Ketujuh : Selalu menumbuhkan perasaan khauf dan rajaa (takut dan harap), iaitu takut akan tidak diampuninya dosa-dosanya dan berharap bahawa Allah SWT itu Maha Rahman dan Rahim yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya.

Kelapan : Ketika sudah ada tanda-tanda akan dipanggil oleh Allah SWT perbanyaklah membaca kalimat toyyibah, Nabi SAW ada menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah Laa Ilaaha illallah orang itu dijamin masuk syurga.

Kesembilan : Sentiasa memperbanyakkan sedekah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Dia sentiasa merahmati hidup kita, di murahkan rezeki dan dikurniakan husnul khatimah dan dijauhi su'ul khatimah. Hanya hamba Allah SWT yang terpilih sahaja akan mendapat husnul khatimah dan dapat mengucap kalimah la ilaha illAllah - لا اله الا الله) di akhir hayat. Amalkanlah sembilan perkara di atas untuk mendapat husnul khatimah.


No comments: