Thursday, October 4, 2012

Memahami Sirah Melengkapkan Kefahaman Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,



Dalam konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting dipelajari. Apatah lagi mempelajari sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat atau dalam istilah khususnya disebut sebagai sirah. Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, peringkat yang dilalui oleh baginda untuk mencapai matlamat dakwah. Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh baginda terhadap orang tawanan dan pesanan-pesanan Rasulullah SAW kepada panglima perang.

Pendek kata, semua golongan masyarakat daripada petani sehinggalah kepada ketua negara perlu mempelajari sirah untuk meningkatkan lagi personaliti dan prestasi pekerjaan mereka masing-masing.

Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang muslim memperolehi gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. sesudah ia difahami secara konsepsional sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya ialah:

Pertama: memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahtu dan taufik dariNya.

Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.Tidak diragukan lagi, betapapun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah SAW secara jelas dan sempurna.

Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang beermaksud : “ Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21)

Ketiga: ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah SAW ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah SAW. dan sikapnya.

Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.

Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah SAW. seorang dai, pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa periode dakwahnya.

Satu perkara yang menjadikan sirah ini cukup relevan sehingga hari ini ialah kerana seluruh kehidupan baginda mencakupi seluruh aspek sosial dan kemanusiaan yang ada pada manusia baik sebagai peribadi ataupun sebagai anggota masyarakat yang aktif. Kehidupan Rasulullah SAW memberikan kepada kita kehidupan yang mulia, baik sebagai seorang pemuda Islam yang lurus perilakunya atau sebagai pendakwah kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, yang mengerahkan segala kemampuan untuk menyempurnakan risalah Islam.

Juga sebagai ketua negara yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana, sebagai suami teladan dan seorang ayah yang penuh kasih sayang, sebagai panglima perang yang mahir, sebagai negarawan yang pandai dan jujur, dan sebagai muslim secara keseluruhannya dapat melakukan secara seimbang antara kewajipan beribadat kepada Allah dan bergaul dengan keluarga dan masyarakat dengan baik.

Maka kajian sirah nabi adalah untuk melahirkan aspek-aspek kemanusiaan ini secara keseluruhan yang tercermin dalam qudwah yang paling sempurna dan terbaik. Umpamanya, jika anda seorang pembuka kota negara, ambillah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas kemenangan di Badar, Hunain dan pembukaan Mekah dan jika anda mengalami kegagalan ambillah pengajaran perang Uhud yang mana baginda berada di antara sahabatnya yang telah syahid dan mengalami kecederaan. Jika anda seorang guru lihatlah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di Suffat dalam masjid nabawi dan jika anda seorang pelajar maka gambarkanlah anda berada di antara Jibrail yang menyampaikan wahyu kepada nabi. Jika anda sebagai hakim, ikutilah penyelesaian Rasulullah SAW dalam meletakkan hajarul Aswad.

Ustaz Uthman El-Muhammady menyebutkan bahawa sejarah timbulnya Nabi Muhammad SAW. di dunia adalah merupakan peristiwa yang paling penting dalam sejarah keagamaan dan kehidupan manusia. Kedatangan membawa kebenaran daripada ilahi dan juga contoh kesempurnaan kehidupan mengikut kehendak Ilahi merupakan bimbingan yang tidak ternilai harganya untuk manusia sejagat dan membawa rahmat ke seluruh alam ini. Oleh kerana kedudukan dirinya yang sedemikian tinggi dan sempurna dan juga oleh kerana kesan terhadap hidup manusia sedemikian besar, serta pula oleh kerana kesedaran keagamaan dan rohaniyyah, maka umat Islam dalam masa awal Islam mengunakan masa, tenaga dan kemahiran mereka untuk mempelajari serta meneliti ilmu berkenaan dengan kehidupan dan pengajaran (sirah) nabi SAW. Ramai ahli sejarah dan pengarang-pengarang riwayat hidupnya dan juga riwayat hidup para sahabat r.a. mengumpulkan maklumat-maklumat yang sangat memberi pertolongan dalam memahami peribadi Baginda dan juga mereka yang terdidik olehnya pada zaman itu.

Secara umum sumber dan rujukan sirah ada tiga iaitu:
al-Quran, al-Sunnah nabawi yang sahih dan kitab-kitab sirah.

Al-Quran merupakan rujukan utama untuk memahami sifat-sifat umum Rasulullah SAW. dan mengenal tahap-tahap umum dari sirah yang mulia ini. Al-Quran mengunakan dua pendekatan dalam mengemukakan sirah nabi ini iaitu dengan mengemukakan sebahagian kejadian dari kehidupan dan sirahnya seperti ayat-ayat yang menjelaskan tentang perang badar, perang uhud serta ayat-ayat yang mengisahkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsyi. Kedua mengomentarikan peristiwa-peristiwa yang terjadi untuk menjawab masalah-masalah yang timbul, mengungkapkan masalah yang belum jelas atau nasihat yang terkandung di dalamnya. Semua itu berkaitan dengan salah satu aspek dari sirahnya. Tetapi perbicaraan al-Quran tentang semua itu disampaikan secara umum dan terputus-putus serta penyajian secara global. Demikianlah cara al-Quran dalam menyampaikan setiap kisah tentang para nabi dan umat-umat terdahulu.

Al-Sunah pula adalah rujukan kedua yang terkandung dalam kitab-kitab hadis yang muktabar walaupun pada permulaannya belum tersusun secara urutan dan sistematik kerana pada kebanyakan ulamak hadis menyusun kitab mereka berdasarkan bab-bab feqah. Di antara keistimewaan sumber kedua ini ialah bahawa sebahagian besarnya isi riwayatnya dengan sanad yang shahih yang bersambung dengan Rasulullah SAW seperti peristiwa haji al-Wada’ yang diriwayatkan secara terperinci. Antara buku rujukan terbaik dalam kategori ini ialah buku Asas fi Sunnah (Bahagian Sirah) oleh Said Hawa yang mana beliau telah menyusun hadis-hadis dan membahagikannya mengikut urutan masa hayat Rasulullah SAW dari kitab-kitab hadis yang muktabar.

Sumber ketiga ialah kitab-kitab sirah yang ditulis oleh pengkaji sirah nabi seperti Ibn Hisham yang terkenal dengan kitab sirah Ibn Hisham. Dalam kategori ini, terdapat kitab yang hanya membicarakan tentang peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW  seperti kitab Maghazi Urwah bin Zubir, kitab yang hanya membicarakan tentang mukjizat nabi seperti Dala’il al-Nubuwwah oleh Ibn Qutaibah, kitab yang hanya membicarakan akhlak nabi seperti Kitab al-Syama’il oleh al-Munziri.

Pada zaman sekarang, terdapat buku-buku berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulamak di sini atau terjemahan. Antaranya buku terjemahan sirah yang boleh didapati di pasaran ialah Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi. Kisah-kisah Nabi Muhammad telah tersebar luas ke alam Melayu dan kisah ini digubah kembali ke dalam bahasa Melayu dalam bentuk hikayat seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Cerita Nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi dan Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah. Kitab-kitab ini merupakan penyaduran, ringkasan dan terjemahan dari bahasa Arab dan bahasa Parsi.

Antara kepentingan sirah kepada kehidupan manusia dan pembinaan umat ialah kajian sirah dapat melengkapkan kefahaman tentang akidah kerana beriman kepada nabi menuntut supaya kita lebih memahami maklumat-maklumat diri Baginda SAW. Keduanya adalah menunaikan perintah Allah yang menyuruh supaya umat Islam mengikuti contoh teladannya.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan Rasulullah SAW. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudahkan lagi mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam. Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah SAW sentiasa menjadi qudwah mereka sepanjang hayat.

(Di petik daripada tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali)

No comments: