Friday, March 15, 2013

Tafsir Surah Al-Jumu'ah Ayat 9-11

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (9) 

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
(Surah Al-Jumu'ah (62)  ayat 9)

Tafsirannya :

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa apabila muazin mengumandangkan azan pada hari Jumaat, maka hendaklah kita meninggalkan perniagaan dan segala usaha dunia serta bersegera ke mesjid untuk mendengarkan khutbah dan melaksanakan solat Jumaat, dengan cara yang wajar, tidak berlari-lari, tetapi berjalan dengan tenang sampai ke mesjid, sebagaimana sabda Nabi SAW. 

إذا أقيمت الصلاة فلا تأتوها وأنتم تسعون وأتوها وأنتم تمشون وعليكم السكينة والوقار فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا 

Maksudnya : "Apabila solat telah diiqamatkan janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan tergesa-gesa, tetapi datangilah dalam keadaan berjalan biasa penuh ketenangan dan rasa mengagungkan(Nya). Apa yang engkau capai (dalam solat jemaah) kerjakanlah dan apa yang luput dari kamu sempurnakanlah sendiri. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah) 

Tidaklah sah transaksi jual beli yang dilakukan oleh orang yang berkewajiban untuk melaksanakan ibadah Jumat setelah azan berkumandang.

Mazhab Maliki dan Hambali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar. Ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat al-Quran, semasa hayat baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (Rujuk Al-Iqna’, Al-Khatib, 1/151: Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/39).

Cara yang demikian itu seandainya seseorang mengetahui betapa besar pahala yang akan diperoleh orang yang mengerjakan solat Jumaat dengan baik, maka melaksanakan perintah itu (memenuhi panggilan solat dan meninggalkan jual beli) adalah lebih baik dari pada tetap di tempat melaksanakan jual beli dan meneruskan usaha untuk memperoleh keuntungan dunia, sebagaimana firman Allah SWT: 

والآخرة خير وأبقى 

Maksudnya : "Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal." 
(Surah Al-A'la ayat 17)

Firman Allah SWT :

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (10) 

Maksudnya : "Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung." (Surah Al-Jumu'ah (62)  ayat 10)

Tafsirannya :

Pada ayat ini, Allah SWT menerangkan bahawa setelah selesai melakukan solat Jumaat boleh bertebaran di muka bumi melaksanakan urusan duniawi, berusaha mencari rezeki yang halal, sesudah menunaikan yang bermanfaat untuk akhirat. Hendaklah mengingat Allah SWT sebanyak-banyaknya di dalam mengerjakan usahanya dengan menghindarkan diri dari kecurangan, penyelewengan dan lain-lainnya, kerana Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, yang tersembunyi apalagi yang nampak nyata, sebagaimana firman Allah SWT: 

عالم الغيب والشهادة العزيز الحكيم 

Maksudnya : "Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taghabun ayat 18) 

Dengan demikian tercapailah kebahagiaan dan keuntungan di dunia dan di akhirat. 

Dianjurkan kepada siapa yang telah selesai solat Jumaat, berdoa dengan doa ini: 

اللهم إني أجبت دعوتك وصليت فريضتك وانتشرت كما أمرتني فارزقني من فضلك وأنت خير الرازقين 

Maksudnya : "Ya Allah! Sesungguhnya aku telah mengerjakan panggilan-Mu, dan aku telah melaksanakan solat Jumaat yang Engkau wajibkan, dan aku telah bertebaran (di muka bumi) sebagaimana Engkau perintahkan kepadaku maka berilah aku rezeki dari karunia-Mu dan Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki".

Firman Allah SWT : 

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (11) 

11 Dan apabila melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhotbah). Katakanlah:` Apa yang di sisi Allah adalah lebih baik daripada permainan dan perniagaan `, dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezki.(Surah Al-Jumu'ah (62) ayat 11)

Tafsirannya :

Pada ayat ini, Allah SWT mencela perbuatan orang-orang mukmin yang pada waktu rombongan unta kafilah dagang tiba dan mereka menyambut secara beramai-ramai, mereka pergi menjemputnya dan meninggalkan Nabi SAW. dalam keadaan berdiri berkhutbah. 

Ayat ini ada hubungannya dengan peristiwa waktu Dihyah Al Kalby tiba dari Syam (Suriah), bersama rombongan untanya membawa barang dagangannya seperti tepung, gandum, minyak dan lain-lainnya. Sebagai kebiasaan apabila rombongan unta dagangan tiba, wanita-wanita muda keluar menyambutnya dengan menabuh gendang, sebagai pemberitahuan atas kedatangan rombongan itu, supaya orang-orang datang berbelanja membeli barang dagangan yang dibawanya.

Di dalam suatu hadis diriwayatkan oleh Jabir disebutkan sebagai berikut: 

بينما النبي صلى الله عليه وسلم يخطب يوم الجمعة قائما إذ قدمت عير فابتدرها أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم حتى لم يبق إلا اثنا عشر رجلا أنا فيهم وأبو بكر وعمر فأنزل الله تعالى: وإذا رأوا تجارة أو لهوا إلى آخر السورة 

Maksudnya : "Tengah Nabi SAW. berdiri berkhutbah pada Jumat, tiba-tiba datanglah rombongan unta (pembawa dagangan), maka cepat-cepatlah sahabat Rasulullah SAW. mengunjunginya sehingga dada yang tinggal tekun (mendengarkan khutbah) kecuali 12 orang. Saya (Jabir), Abu Bakar dan Umar termasuk mereka yang tinggal, maka Allah Taala menurunkan ayat: Wa iza ra'au tijaratan au lahwan sampai akhir surat.) 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan Turmuzi dari Jabir bin Abdullah) 

Selanjutnya Allah SWT memerintahkan Nabi-Nya supaya menyampaikan nasihat kepada mereka yang mengutamakan harta dunia berbanding nilai akhirat (khutbah Nabi SAW  dan solat Jumaat) kerana di sisi Allah yang bermanfaat bagi akhirat jauh lebih baik daripada keuntungan dan kesenangan dunia yang diperolehnya, kerana kebahagiaan akhirat itu kekal, sedangkan keuntungan dunia akan lenyap. 

Ayat 11 ini ditutup dengan satu penegasan bahwa Allah SWT bahawa Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Oleh kerana itu kepada-Nyalah harus kita arahkan segala usaha dan ikhtiar untuk memperoleh rezeki yang halal mengikuti petunjuk-petunjuk-Nya dan reda-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita patuhi semua arahan Allah SWT yang terdapat di dalam ayat-ayat di atas supaya bersegera mengingati Allah SWT dan tinggalkan jual beli semasa azan berkumandang di hari Jumaat. Sesungguhnya arahan ini adalah hukumnya wajib. Jika kita perhatikan terdapat ramai dikalangan umat Islam samaada orang dewasa atau remaja meninggalkan kefardua solat Jumaat.


Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah wajib, fardu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaanNya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah, pintu hatinya lama kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah dan menjadikan mereka semakin sesat dan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk" (Hadis riwayat Abu Daud)


Jika seorang lelaki Islam tidak melakukan solat Jumaat, maka ia dianggap sebagai dosa besar.  Lelaki Islam yang tidak dapat menunaikannya haruslah menggantikannya dengan solat Zuhur. Akan tetapi, ia hanya diterima jika ia kerana sebab-sebab berikut; jika terlalu sakit, jika terpaksa jaga orang yang sakit tenat, jika terdapat ribut taufan yang besar atau jika dalam keadaan bermusafir.




No comments: