Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 4 membincangkan mengenai persoalan solat Duha, majlis kenduri kahwin, maafkan kesalahan orang lain, fidyah puasa dan jenis-jenis puasa sunat.
Kelebihan Solat Duha Dan Kunci Murah Rezeki dan Keberkatannya.
61.Soalan: Di pejabat saya mempunyai sahabat yang sering menunaikan solat Duha sebelum masuk waktu tengahari. Apakah kelebihan solat sunat ini?
Solat Duha adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda tidak pernah meninggalkannya kerana betapa besar akan fadilatnya. Solat Duha adalah solat sunat yang dituntut, dan tanda kesyukuran dan pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya yang memberi nikmat dan rezeki yang tidak putus-putus.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu Duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )
Solat Duha adalah solat sunat yang dikerjakan 28 minit selepas terbit matahari (selepas masuk waktu syuruk) dan sebelum masuk waktu zohor (waktu yang sesuai adalah diantara jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi). Soat Duha boleh dikerjakan 2, 4, 6, 8, 10 atau 12 rekaat.
Firman Allah SWT dalam hadis qudsi maksudnya : "Wahai anak Adam jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan 4 rekaat pada waktu permulaan siang (solat Duha) , nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya (Hadis Riwayat Hakim dan Thabrani)
Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Duha." (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).
62.Soalan: Apakah doa yang boleh kita amalkan ketika selesai menunaikan solat sunat Duha ini?
Sekurang-kurang solat Duha adalah dua rekaat, selepas salam Nabi S.A.W. mengajar kita berdoa seperti berikut (maksudnya) : " Ya Allah bahawasanya waktu Duha itu waktu Duha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu , kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu . Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh ."
Doa yang kita ucapkan cukup indah dan penuh pengharapan kepada Allah S.W.T. Sebagai hamba yang lemah yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T yang menguasai langit dan bumi dan yang menjaga rezeki dan perbendaharaan alam semesta.
Majlis Kenduri Kahwin (Walimatul Urus)
63.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan kenduri kahwin (walimahul urus) mengikut syariat Islam?
Kata walimah (الوليمة) diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya.
Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)
Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan bagi meraikan pernikahan pasangan pengantin baru.
64.Soalan: Adakah duit hantaran itu termasuk amalan umat Islam terdahulu dan adakah maskahwin diwajibkan semasa akad nikah ?
Hantaran belanja tidak termasuk dalam amalan yang dituntut dalam ajaran Islam dan bukan amalan umat Islam terdahulu (sahabat-sahabat Rasulullah SAW) kerana Islam tidak membebankan umatnya untuk mengadakan majlis walimatul urus dengan perbelanjaan yang besar. Tetapi jika pihak bakal pengantin lelaki bersetuju untuk memberikan hadiah (memberikan hantaran) sempena majlis perkahwinan mereka Islam tidak menghalangnya. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan dari al-Quran.
Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". (Hadis Riwayat Abu Daud ).
Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.
65.Soalan: Adakah hukum bersanding pengantin lelaki dan perempuan semasa majlis perkahwinan ?
Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat bersanding ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini
Apa yang berlaku semasa majlis bersanding ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.
Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.
66.Soalan: Apakah hukum amalan berinai yang dilaksanakan pada majlis tersebut?
Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra : "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai).”(Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa’i 5092)
Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
67.Soalan: Apakah hukum pengantin perempuan bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?
Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”
Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam "Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.
68.Soalan: Apakah tujuan mengadakan majlis kahwin (walimah) mengikut konteks Islam?
Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.
Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”
69.Soalan: Apakah hukum jika majlis walimah ini disertakan dengan hiburan?
Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."
Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”
Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan dan memuji-muja kecantikan wanita adalah dilarang.
Memaafkan Kesalahan Orang Lain
70.Soalan: Apakah perlu kita memaafkan kesalahan orang yang melakukan kesalahan kepada kita mengikut ajaran Islam?
Manusia biasa sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Sebaik-baik orang yang bersalah adalah perlu meminta maaf. Jika seseorang mengaku kesalahannya dan meminta maaf secara baik dan dia menyesal di atas keterlanjurannya maka kita sepatutnya memaafkannya. Sifat pemaaf adalah akhlak muslim yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan manusia termasuk orang yang bukan Islam yang menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).
71.Soalan: Apakah kelebihan seorang muslim yang mampu menahan marahnya?
Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Cara-cara Bayaran Fidyah Untuk Mereka Yang Meninggalkan Puasa
72.Soalan: Apakah pengertian fidyah dan sebab-sebab di kenakan fidyah?
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.
Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin atau pun digantikan dengan nilai mata wang masa kini. Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun .
73.Soalan : Banyak manakah sebenarnya ukuran secupak beras dan siapkan yang wajib membayar fidyah?
Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi tidak sampai satu kilo.Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.
Contoh kiraan : Sekiranya mengikut kiraan semasa 1kilo beras harganya bersamaan dengan rm 2.60.Jika kita ambil kiraan secupak beras (556gm) = 2.60 x 0.556 = rm 1.45. Oleh itu secara kasar harga untuk dibayar secupak beras adalah rm 1.50
(Harga beras dikira mengikut harga pasaran terkini)
Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:
1. Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.
2. Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.
3. Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.
4. Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.
5. Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.
6. Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.
7. Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.
8. Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.
9. Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.
10. Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.
11. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.
Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.
Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafie, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.
Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.
Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.
Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti hendaklah diutamakan.Sekarang ini terdapat masjid-masjid yang telah mengadakan kutipan wang fidyah untuk diberikan kepada fakir miskin. Cara ini amat memudahkan orang ramai yang ingin membayar fidyah (wang denda)
74.Soalan: Berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?
Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.
75.Soalan: Selepas membayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?
Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.
Contoh mudah :
1. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
2. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
3. Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
4. Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
5. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
6. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
7. Tinggal puasa 7 hari tahun lepas dan 7 hari 2 tahun lepas dan 7 hari 3 tahun lepas, (7 + 14 + 21) bayar 42 cupak.
Dalam kes ke 7, seseorang yang telah meninggalkan puasa selama 3 tahun adalah 21 hari, wajib diqadakan adalah 21 hari puasa qada dan wajib membayar fidyah sebanyak 42 cupak (42 x rm 1.50 = rm 63.00). Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya. Wallaulam.
Fadhilat-fadhilat Puasa-puasa Sunnat :
76.Soalan: Apakah fadilat atau kelebihan bagi orang yang berpuasa sunat enam hari dalam bulan syawal?
Fadilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Hadis Riwayat Muslim)
Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal.
Jika terdapat puasa qada sebaik-baiknya selesaikan dahulu puasa qada di dalam bulan Ramadan dengan di ikuti puasa enam. Sebahagian ulama menetapkan mengqada puasa Ramadan yang ketinggalan wajiblah berturut-turut, namun sebahagian yang lain mengatakan qada Ramadan tidaklah wajib disegerakan, boleh ditangguhkan sehingga bulan Syaaban samada uzur ataupun tidak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah ujarnya: "Atasku ada puasa dari bulan Ramadan, maka aku tidak mengqadanya sehingga datanglah bulan Syaaban tahun yang berikutnya".
77.Soalan: Apakah kebaikan bagi orang yang mengamalkan puasa sunat Puasa Hari Arafah?
Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji berpuasa sunat di Hari Arafah. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah SAW telah ditanya oleh sahabat mengenai Puasa Hari 'Arafah, sabdanya yang bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Hadis Riwayatkan oleh Muslim dan al-Tirmizi).
Menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Hadis Riwayat Muslim)
78.Soalan: Apakah fadilat berpuasa sunat pada Bulan Muharram?
Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam." (Hadis Riwayat Muslim)
Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Hadis Riwayat al-Tabrani)
79.Soalan: Apakah kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Hadis Riwayat Muslim)
80.Soalan: Apakah kelebihan yang boleh kita perolehi jika kita berpuasa pada hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
Ia disunatkan, namun Rasullullah SAW. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda SAW. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram." (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
Sebaik-baiknya dalam bulan Muharram kita berpuasa sunat dua hari iaitu 9 dan 10 Muharram. supaya puasa kita tidak menyamai puasa orang Yahudi kerana Yahudi akan berpuasa pada 10 Muharram sahaja. Wallaulam.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
Alhamdulillah..Terima kasih atas perkongsian ni ustaz...
Post a Comment