Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 6 membincangkan mengenai persoalan fadilat solat berjemaah, syarat-syarat untuk menjadi imam dan makmm dalam solat berjemaah, solat yang dikerjakan diluar waktu kerana tertidur, cara-cara sujud syukur, adab-adab menziarahi orang sakit , sifat berburuk sangka dan aurat wanita ketika solat.
Solat Berjemaah
101.Soalan: Apakah kelebihan jika saya solat berjemaah berbanding solat bersendirian?
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardu Jumaat ialah dua orang. Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadilat pahalanya.
Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)
102.Soalan: Kenapakah Rasulullah SAW begitu menekankan umatnya untuk solat berjemaah di masjid?
Rahsianya, adalah kerana masjid adalah asas utama dan terpenting bagi pembentukan masyarakat Islam. Masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan adanya komitmen terhadap sistem, akidah dan anjuran Islam. Hal ini hanya dapat di tumbuhkan dengan semangat masjid. Tidak hairanlah kalau sahabat berlumba-lumba mendekatkan dirinya di masjid. Mereka tidak rela satu pun kesempatan solat jemaah berlalu begitu sahaja. Malah, sebahagian sahabat Ansar yang tinggal jauh, ramai yang ingin memindahkan rumahnya berhampiran masjid.
Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).
103. Apakah tertib seorang imam dan makmum ketika solat berjemaah dilakukan?
Sebelum memulai solat dengan makmumnya, seorang imam setelah muazin selesai mengumandangkan azan dan qamat (iqamah), maka imam berdiri paling depan dan menghadap makmum untuk mengatur barisan terlebih dahulu. Jika sudah lurus, rapat dan rapi imam menghadap kiblat untuk mulai ibadah solat berjemaah dengan khusyuk.
Dalam kita mengerjakan solat berjemaah untuk lelaki saf yang paling baik adalah saf yang paling hadapan sekali dan untuk wanita adalah saf yang di barisan paling belakang sekali.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197).
104.Soalan: Apakah syarat syarat untuk menjadi imam ketika solat berjemaah?
Syarat Untuk Menjadi Imam Solat Berjamaah :
1. Lebih banyak mengerti dan faham masalah ibadah solat.
2. Lebih banyak hafal surah-surah al-Quran.
3. Lebih fasih dan baik dalam membaca bacaan-bacaan solat.
4. Lebih tua daripada ahli jemaah lainnya.
5. Tidak mengikuti gerakan solat orang lain.
6. Lelaki. Tetapi jika semua makmum adalah wanita, maka imam boleh wanita.
Bacaan dua rekaat awal untuk solat Zuhur dan Asar pada surah al-Fatihah dan bacaan surah pengiringnya dibaca secara perlahan (sirran yang hanya boleh didengar sendiri, orang lain tidak jelas mendengarnya). Sedangkan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh dibaca secara nyaring yang dapat didengar makmum. Untuk solat Jumaat, Aidulfitri, Aiduladha, Gerhana, Istiqo, Tarawih dan Witir dibaca nyaring, sedangkan untuk solat malam dibaca sedang, tidak nyaring dan tidak perlahan.
105.Soalan: Apakah pula syarat syarat untuk menjadi makmum ketika solat berjemaah?
1. Niat untuk mengikuti imam dan mengikuti gerakan imam.
2. Berada satu tempat dengan imam.
3. Lelaki dewasa tidak sah jika menjadi makmum imam wanita.
4. Jika imam batal, maka seorang makmum maju ke depan menggantikan imam.
5. Jika imam lupa jumlah rekaat atau salah gerakan solat, makmum mengingatkan dengan membaca subhanallah dengan suara yang dapat didengar imam. Untuk makmum wanita dengan cara bertepuk tangan.
6. Makmum dapat melihat atau mendengar imam.
7. Makmum berada di belakang imam.
8. Mengerjakan ibadah solat yang sama dengan imam.
9. Jika datang terlambat, maka makmum akan menjadi masbuk yang boleh mengikuti imam sama seperti makmum lainnya, namun setelah imam salam masbuk menambah jumlah rakaat yang tertinggal. Jika berhasil mulai dengan mendapatkan rukuk bersama imam walaupun sebentar maka masbuk mendapatkan satu rakaat. Jika masbuk adalah makmum pertama, maka masbuk menyentuh belakang imam untuk mengajak solat berjemaah.
106.Soalan: Apakah kedudukan yang betul jika kita hendak melakukan solat berjemaah?
Kedudukan Imam Dan Makmum Dalam Solat Jemaah.
1. Jika terdiri dari dua lelaki atau dua wanita saja, maka yang satu menjadi imam dan yang satu menjadi makmum berada di sebelah kanan imam agak ke belakang sedikit.
2. Jika makmum terdiri dari dua orang atau lebih maka kedudukan makmum adalah membuat barisan sendiri di belakang imam. Jika makmum yang kedua adalah masbuk, maka masbuh menepuk bahu makmum pertama untuk melangkah kebelakang membuat barisan tanpa membatalkan solat.
3. Jika terdiri dari makmum lelaki dan makmum wanita, maka makmum lelaki berada dibelakang imam, dan wanita dibelakang makmum lelaki.
4. Jika ada anak-anak maka anak lelaki berada di belakang makmum lelaki dewasa dan disusul dengan makmum anak-anak perempuan dan kemudian yang terakhir adalah makmum perempuan dewasa.
Solat Di luar Waktu.
107. Soalan: Saya terlambat bangun ketika mahu menunaikan solat subuh. Adakah saya boleh menunaikan solat subuh ketika matahari sudah terbit?
Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, iaitu melalui firmanNya yang bermaksud : "Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah an-Nisaa' (4) ayat 103).
Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qada. Secara lebih mendalam, qada didefinasikan sebagai - "Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan."
Sebab-sebab Membolehkan Solat di Qada.
Al-Quran dan as-Sunah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syariat tersebut, iaitu:
1. Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.
2. Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.
3. Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.
4. Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.
Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardu lalu kemudian diqadakannya di lain waktu. Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Anas Bin Malik: "Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim (Misykat al- Masabih 3/181/046)
108. Soalan. Apabila kita solat Asar baru mendapat satu rekaat tiba-tiba azan Magrib di laungkan. Adakah kita boleh teruskan solat Asar tersebut?
Boleh diteruskan solat Asar tersebut kerana berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari, maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari, maka sempurnalah solatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sujud Syukur
109.Soalan: Adakah kita boleh sujud tanda bersyukur atas khabar berita yang diterima?
Sujud Syukur adalah amalan sunah Rasulullah SAW apabila mendapat berita gembira mengenai kejayaan sesuatu urusan atau dikurniakan rezeki yang tiada disangka-sangka.
Dari Abu Bakrah: Apabila Rasulullah SAW. menemukan sesuatu yang menggembirakan baginda atau disampaikannya kepada baginda sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).
110.Soalan: Apakah sujud syukur mempunyai syarat syarat seperti syarat sah solat?
Adapun cara mengerjakan sujud syukur itu tidak berbeza sepertimana sujud tatkala solat. Hanya syarat-syarat yang diwajibkan dalam mengerjakan solat, seperti harus mempunyai wuduk (air sembahyang), menghadap qiblat, pakaian yang bersih daripada najis dan lain-lain, itu semua adalah tidak disyaratkan didalam sujud syukur.
Juga tidak disyaratkahn untuk dilakukan ditempat-tempat tertentu seperti masjid/surau, tetapi dibolehkan dilakukan disetiap tempat, asalkan tidak ditempat-tempat yang kotor, seperti tandas dan lain-lain. Boleh ianya dilakukan di tepi jalanan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai, dan sebagainya.
Dalam pada itu, tidak ada bacaan-bacaan yang khusus pada waktu melakukan sujud syukur itu. Menurut penjelasan Jumhur Ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan takbir lebih dahulu, kemudian sujud, sesudah itu bangkit dari sujud dan terus memberi salam. Ada juga sebahagian ulama yang berpendapat bahawa sujud syukur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi ianya cukup dengan bersujud sahaja, kemudian bangikit dan duduk kembali.
111.Soalan: Apakah kebaikan jika kita melakukan sujud syukur ini?
Sebagai seorang mukmin yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT perlulah zahirkan tanda kesyukuran kita apabila mendapat sahaja berita baik yang mengembirakan atau kejayaan sesuatu urusan yang kita usahakan.
Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dengan melimpahkan nikmat yang lebih baik.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat Ku. ” (Surah al-Baqarah, ayat 152)
Sekiranya kita sentiasa bersyukur kepada Allah SWT maka Dia akan memberi tambahan nikmat di jalan yang tidak disangka-sangka. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).
Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.
Bertaubat.
112.Soalan: Saya insaf atas kesilapan yang saya lakukan dan ingin bertaubat. Bagimanakah caranya boleh saya lakukan?
Sekiranya seorang mukmin itu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya nescaya doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Allah SWT cukup cinta dan kasih kepada para hamba-hamba-Nya yang bertaubat hingga menitiskan air mata penyesalan.
Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Syarat-syarat bertaubat adalah seperti berikut :
1. Meninggalkan dosa tersebut.
2. Mengakui akan dosa yang dikerjakan dan menyesali akan perbuatannya yang terlanjur.
3. Berazam tidak akan mengulagi dosa-dosa tersebut.
4. Keluar daripada suasana lama dan tinggalkan rakan-rakan lama dan kembali kepada suasana baru dan rakan-rakan baru yang soleh.
5. Jika dosa tersebut melibatkan sesama manusia dan telah mengambil hak orang lain maka pulangkan kembali yang punya hak syarat taubat itu di terma.
Perbezaan Pendapat Dengan Suami.
113.Soalan: Saya sering bertelagah dengan suami dalam membuat suatu keputusan. Apakah cara terbaik yang dituntut dalam Islam?
Cara terbaik yang dituntut oleh Islam adalah berbincang dengan jujur dan ikhlas dengan rasa hormat menghormati dan kasih sayanag. Jangan terlalu taksub dengan pendapat sendiri dan cubalah menghormati pendapat orang lain seboleh-bolehnya cuba buangkan perasan ego dan tinggi diri.
Sekiranya kita sentiasa bermusywarah (bermesyuarat) di dalam semua urusan yang penting nescaya Allah SWT akan berikan pertolongan-Nya dan ditunjuki jalan kebenaran.
Al-Hasan Al-Bashri mengatakan: "Tidaklah sebuah kaum bermusyawarah di antara mereka kecuali Allah akan tunjuki mereka kepada yang paling utama dari yang mereka ketahui saat itu." (Ibnu Hajar mengatakan: "Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad dan Ibnu Abi Hatim dengan sanad yang kuat." Lihat Fathul Bari, 13/340)
Allah perintahkan Nabi SAW untuk bermusyawarah dengan sahabat-sahabat baginda padahal baginda sudah cukup dengan bimbingan dari Allah. Hal ini dalam rangka memberi contoh kepada umatnya sehingga mereka mengikuti baginda ketika dilanda suatu masalah, dan ketika mereka bersepakat dalam sebuah perkara, maka Allah akan memberikan taufiq-Nya kepada mereka kepada yang paling benar. (Tafsir Ath-Thabari, 4/152-153 dengan diringkas)
Jika puan rasa pendapat suami kurang tepat berilah sebab musababnya dengan penuh hikmah dan alasan-alasan yang konkrit dan bernas.
Menziarahi Orang Sakit dan Kepentingan Solat Kepada Pesakit
114.Soalan: Apakah hukum jika kita menziarahi orang yang sakit?
Salah satu hak muslim yang wajib ditunaikan adalah jika saudara sakit maka hendaklah kita menziarahinya. Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan di tuntut oleh Islam. Mengunjungi muslim yang sedang sakit adalah suatu kewajiban ke atas muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat dan sahabat handai sendiri. Mengunjungi orang sakit termasuk salah satu amal soleh yang sangat afdal. Rahmat Allah SWT senantiasa menaungi diri pesakit dan orang yang mengunjunginya.
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)
115.Soalan: Apakah wajib pesakit menunaikan solat fardu?
Sudah menjadi perkara lumrah ramai pesakit muslim yang tinggal di hospital tidak melakukan solat. Sedangkan solat wajib dikerjakan samaada secara duduk, berbaring, mengiring atau isyarat mata kerana tidak mampu mengerakkan anggotanya. Islam tidak mengizinkan solat ditinggalkan walaupun pesakit terpaksa memakai lampin kerana penyakit yang dialami.
Islam hanya membenarkan solat ditinggalkan dalam beberapa keadaan sahaja iaitu ketika terlupa atau dalam keadaan tertidur. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu , Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda maksudnya : "Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solahnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solah yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solah untuk mengingati Aku.” (Hadis Riwayat Muslim)
116.Soalan: Apakah hukum jika seseorang itu lalai dan meninggalkan solatnya?
Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengiktikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat.
Nabi SAW bersabda maksudnya, "Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama."
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)
117.Soalan: Apakah peranan keluarga apabila menziarahi ahli keluarga yang sakit untuk mengingatkan tentang solat?
Sebahagian daripada pesakit sedang berada dalam keadaan tenat dan sedang menunggu saat kematian. Alangkan ruginya sekiranya di saat-saat akhir hayatnya tidak menunaikan solat dan memandang ringan kewajipan solat, ahli keluarga dan pelawat yang menziarhi pesakit perlu mengingatkan pesakit supaya sentiasa mengerjakan solat mengikut kemampuan mereka. Ahli keluarga yang menjaga pesakit haruslah membantu pesakit berwuduk, utamakan solat lebih daripada perkara yang lain. Di haruskan menjamakkan solat ketika sakit yang serius kerana kesukaran mengambil wuduk dan keuzuran fizikal.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Persoalan pertama yang akan ditanya dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat, ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), maka akan diterima seluruh amalnya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), akan ditolak seluruh amalnya." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berburuk Sangka
118.Soalan: Apakah hukumnya jika kita berburuk sangka terhadap orang lain?
Allah ‘Azza wa-Jalla telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota jemaah Islam. Apabila sikap buruk ini terdapat di kalangan anggota jemaah ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.
Pengharaman ini telah ditegaskan oleh Nabi SAW. seperti sabdanya yang bermaksud : Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Aurat Wanita Ketika Solat
119.Soalan: Apakah dibenarkan dalam Islam seorang wanita bersolat dengan tidak memakai telekung tetapi hanya cukup menutup aurat dengan berjubah dan memakai tudung yang menutupi dada?
Islam membenarkan seorang muslimah memakai pakaian menutup aurat dengan mengerjakan solat walau pun tidak memakai telekong seperti amalan masyarakt Islam sekarang. Aurat wanita sama ketika di dalam solat atau di luar solat.
Kewajipan menutup aurat adalah berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf ayat 31)
Menutup aurat adalah salah satu syarat sah solat yang mana aurat yang bahagian tubuhnya wajib ditutup ketika bersolat. Jadi pakaian yang memenuhi syarat maka solatnya sah tidak kira berjubah atau berbaju kurung asalkan tudungnya labuh hingga menutup dada mereka dan kainnya labuh sehingga boleh menutupi aurat kaki. (sebaik-baiknya memakai sarung kaki).
120.Soalan: Saya bersolat tetapi memakai seluar jeans, t-shirt dan bertudung. Adakah dengan berpakaian begini solat saya diterima?
Islam melarang wanita berpakaian ketat samaada ketika solat atau pun ketika luar solat. Wanita yang memakai seluar jeans, berbaju kemeja t, tudung tiga segi yang nipis (tidak memutup dada mereka) masih dikira belum sempurna menutup aurat ketika di luar begitu juga ketika solat. Jika pakaian seperti ini dipakai ketika solat dikhuatiri solatnya tidak diterima kerana pakaiannya tidak memenui syarat sempurna menutup aurat.
Oleh itu pakailah pakaian yang sempurna dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan samaada ketika solat atau pun ketika diluar solat ketika berhadapan dengan masyarakat . Malulah kita kepada Allah SWT ketika berhadapan dengan-Nya semoga Dia menerima solat kita yang dikerjakan semata-mata mencari keredaan dan rahmat daripada-Nya.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
assalamualaikum, sy nk brtnya mana lbh utama bg seorg lelaki yang musafir yg sudah smpai di destinasi spt di kg hlaman utk solat berjemaah di masjid atau mlksnakn jmk n qasar di rmh?
Post a Comment