skip to main |
skip to sidebar
Soal Jawab Agama Siri 37 (Syarat dan Rukun Puasa, Membatakkan Pahala Puasa, Doa Malaikat dan Lain-lain lagi)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 37 adalah menjawab persoalan syarat dan rukun puasa, membatalkan pahala puasa, doa malaikat dan kelebihan bulan Ramadan.
476. Soalan : Minta ustaz terangkan mengenai puasa iaitu hukum, syarat wajib, rukun , syarat sah , sunat, makruh dan membatalkan puasa secara ringkas?
Puasa ialah menahan diri dari makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Pertama : Hukum puasa terbahagi kepada tiga iaitu :
1. Wajib – Puasa pada bulan Ramadan.
2. Sunat – Puasa pada hari-hari tertentu.
3. Haram – Puasa pada hari-hari yang dilarang berpuasa.
Kedua : Syarat Wajib Puasa
1. Beragama Islam.
2. Baligh (telah mencapai umur dewasa)
3. Berakal
4. Berupaya untuk mengerjakannya.
5. Sihat
6. Tidak musafir
Rukun Puasa :
1. Niat mengerjakan puasa pada tiap-tiap malam di bulan Ramadan(puasa wajib) / niat pada malam pertama untuk niat selama sebulan. Waktu berniat adalah mulai daripada terbenamnya matahari sehingga terbit fajar. Untuk puasa sunat boleh berniat waktu malam atau pagi hari sebelum makan atau minum sekiranya hendak berpuasa pada hari tersebut.
2. Meninggalkan sesuatu yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga masuk matahari.
Syarat Sah Puasa :
1. Beragama Islam
2. Berakal
3. Tidak dalam haid, nifas dan wiladah (melahirkan anak) bagi kaum wanita
4. Hari yang sah berpuasa.
Sunat Berpuasa :
1. Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman
2. Melambatkan bersahur
3. Meninggalkan perkataan atau perbuatan keji
4. Segera berbuka setelah masuknya waktu berbuka
5. Mendahulukan berbuka daripada sembahyang Maghrib
6. Berbuka dengan buah tamar, jika tidak ada dengan air
7. Membaca doa berbuka puasa
Perkara Makruh Ketika Berpuasa :
1. Selalu berkumur-kumur
2. Merasa makanan dengan lidah
3. Berbekam kecuali perlu
4. Mengulum sesuatu
Hal yang membatalkan Puasa :
1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.
2. Muntah dengan sengaja.
3. Bersetubuh atau mengeluarkan mani dengan sengaja
4. Kedatangan haid atau nifas
5. Melahirkan anak atau keguguran
6. Gila walaupun sekejap
7. Mabuk ataupun pengsan sepanjang hari
8. Murtad atau keluar daripada agama Islam.
477. Soalan : Apakah yang membatalkan pahala puasa Ramadan?
Untuk puasa Ramadan kita diterima oleh Allah SWT maka perlulah diiringi dengan melakukan amalan-amalan soleh dan meninggalkan perbuatan dan perkataan buruk (mazmumah) yang boleh mendatangkan dosa dan membatalkan pahala puasa . Kita tidak mahu puasa kita hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Boleh jadi seorang yang berpuasa, bagiannya dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga" (Hadis Sahaih Riwayat Ibnu Hibban)
Para ulama ada menyatakan terdapat 12 amalan buruk yang boleh membatalkan pahala puasa.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1: Berdusta
2: Suka mengumpat
3: Suka memfitnah
4: Mengadu domba
5: Memberikan sumpah palsu
6: Berkata kasar, menghina atau merendahkan orang lain
7: Melihat dengan syahwat
8: Menyentuh wanita bukan mahramnya
9: Marah tanpa alasan yang jelas
10: Berkelahi
11: Menampakan aurat
12. Makan rezeki haram, baik barang itu daripada barang yang diharamkan atau cara mencarinya (mendapatkan rezeki).
478. Soalan : Saya pernah mendengar seorang penceramah membaca sepotong hadis mengatakan Nabi SAW pernah mengaminkan doa Malaikat Jibril terhadap 3 golongan manusia yang mendapat kecelakaan kerana kesalahan tidak melaksanakan amal soleh ketika di dunia. Minta ustaz jelaskan terjemahan hadis tersebut?
"Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar kemudian pada langkah pertama mengatakan : "amin", pada langkah kedua mengatakan :"amin" sampai pada langkah ketiga mengatakan : "amin".
Para sahabat bertanya."Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, sedangkan kami tidak melihat seorang pun wahai Rasulullah?"
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:"Telah datang malaikat Jibril yang naik mimbar didepanku dan berkata : ' Wahai Muhammad. aku berkata :' Labbaika wasa'daik. dan ia berkata' : 'Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin! maka kukatakan, ‘Amin’ ".Kemudian pada langkah kedua Jibril berkata lagi. Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal tidak diampuni dosanya dan masuk neraka dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.Kemudian pada langkah ketiga Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’." (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis tersebut menjelaskan bahawa tiga golongan yang akan mendapat kecelakaan (kerugian) di sebabkan kesalahannya tidak melakukan suruhan agama :
1. Seseorang yang tidak dapat masuk syurga kerana tidak berbakti kepada kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya semasa mereka masih hidup di dunia.
2. Seseorang yang hidup dan berpuasa dibulan Ramadan tetapi Allah SWT tidak ampunkan dosa-dosanya hingga dia masuk ke neraka.
3. Seorang yang mendengar nama Nabi SAW di sebut tetapi tidak berselawat keatas baginda SAW.
479. Soalan : Apakah kelebihan ibadah puasa berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain di sisi Allah SWT?
Puasa adalah ibadah paling istimewa. Keistimewaan puasa ini dikatakan Allah dalam hadis qudsi-Nya yang bermaksud : “Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa. Itu milik-Ku dan Aku yang membalasnya kerana ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ganjaran besar akan diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT sehinggakan malaikat pencatat amal manusia tidak dapat memberikan jumlah pahala seperi amal-amal soleh yang lain. Dan malaikat menyerahkan kepada Allah SWT untuk memberi ganjaran pahala kepada mereka yang berpuasa.
480. Soalan : Boleh ustaz jelaskan salah satu kebaikan bulan Ramadan adalah pintu syurga di buka dan pintu neraka di tutup dan syaitan diikat?
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Kalau datang bulan Ramadan terbuka pintu syurga, tertutup pintu neraka, dan syaitan-syaitan terbelenggu.“(Hadis Riwayat Muslim).
Di dalam hadis sahih riwayat Muslim menyatakan bahawa dengan kehadiran bulan Ramadan pintu-pintu syurga akan terbuka dan pintu-pintu neraka akan tertutup dan syaitan-syiatan akan diikat. Ini adalah rahmat Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Allah SWT adalah pemilik syurga dan neraka.
Dia akan membuka pintu syurga maksudnya keampunan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa dan memohon ampun kepada-Nya dan dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Jaminan Allah SWT bahawa sesiapa yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT akan di ampunkan semua dosa-dosanya yang telah lalu dan akan dimasukkan ke dalam syurga.
Allah SWT menutup pintu neraka kerana neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali dan tidak akan masuk ke dalamnya melainkan orang yang paling rugi di sisi Allah SWT. Di bulan Ramadanlah peluang mereka yang melakuakan banyak dosa dan maksiat agar kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan memohon kepada-Nya agar di jauhi daripada seksaan api neraka.
Syaitan di belenggu adalah kerana kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang sedang berpuasa dan beribadaah supaya dapat menumpukan sepenuh masa tanpa gangguan daripada makhluk ghaib yang jahat yang penuh tipu daya. Jika masih ada manusia yang melakukan maksiat di bulan Ramadan itu adalah kerana nafsu manusia yang telah sebati dengan sifat syaitan dan sukar untuk di ubati.
No comments:
Post a Comment