Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya pemeriksaan
amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu
diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat
pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tiada seorangpun di antara kamu
melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam) (yang demikian) adalah
satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu."
(Surah Mariam ayat 71)
As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud
jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang
dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya
menuju ke Syurga.
Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim
menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di
atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.
Orang Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang
mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban
ke dalamnya.
Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang memimpin umat lain.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Dan direntangkan Sirat di antara
dua jurang Neraka Jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya
bersama umatku yang lulus.”
Tahap kelajuan seseorang Mukmin
meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal
masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, semakin laju menuju
titian itu.
Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW
bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau
pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui
kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abi Said Al-Khudriy r.a
berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa ianya (As-Sirat) lebih halus dari
rambut dan lebih tajam dari pedang” (Hadis Riwayat Muslim)
Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa “Sesungguhnya Allah
menciptakan Sirat yang berada diatas Neraka, iaitu Jambatan
ditengah-tengah Neraka Jahanam yang sangat licin dan menggelincirkan.
Jambatan ini mempunyai tujuh sekatan, dan setiap sekatan jaraknya sama
dengan perjalanan 3000 tahun. Dalam 3000 tahun itu, 1000 tahun merupakan
tanjakan yang tinggi, 1000 tahun merupakan dataran, dan 1000 tahun
merupakan lereng yang curam. Ia lebih kecil dari rambut, lebih tajam
dari pedang dan lebih gelap berbanding malam yang pekat. Setiap sekatan
mempunyai 7 cabang, dan setiap cabang bentuknya seperi panah yang
hujungnya tajam. Maka, duduklah setiap hamba diatas setiap sekatan
tersebut dan ditanya tentang perintah-perintah Allah SWT”
Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :
Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain.
Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah
ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan
aqidah ini terdapat syirik kepada Allah SWT dan telah rosak aqidahnya
maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan
ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.
Firman Allah SWT
yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik
dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia
kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia
telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)
Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.
Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun
tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas
waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya
akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di
periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat
fardu tersebut.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari
kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadan.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa
yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk
sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi
Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis
Riwayat Bukhari)
Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.
Jika puasa Ramadannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa
sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat
melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.
Sekatan Keempat : Mengenai zakat.
Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya
cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan
perjalanan ke sekatan kelima.
Terdapat hadis Nabi SAW yang
menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat. Sabda
baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak
melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada
hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya
dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta
simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta
simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka
ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar
darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka
ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan
makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)
Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.
Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi
menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak
berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat
disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya
mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak
akan diterima oleh Allah SWT
Sekatan Keenam : Mengenai wuduk dan mandi hadas besar.
Jika diperiksa wuduknya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wuduknya
tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga
mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan
berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.
Sekatan Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan
hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim
yang dilakukan kepada orang lain).
Imam al-Ghazali
meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan
paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas
manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak
kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua
ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama
Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.
Manusia yang dizalimi akan menuntut haknya kepada Allah SWT maka
seseorang yang pernah melakukan kezaliman tidak akan mudah melepasi
sekatan ketujuh ini walaupun ia terlepas daripada sekatan pertama hingga
keenam.
Cepat atau lambat meniti sirat juga bergantung kepada
cepat atau lambatnya seseorang itu berlumba untuk mencapai keredhaan
daripada Allah SWT.
Semasa melintasi Titian Sirat (Siratul
Mustaqim), terdapat pelbagai jenis manusia. Manusia pertama menjejakkan
kakinya di Sirath adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda akan memimpin
kumpulan-kumpulan umatnya menjadi 10 bahagian untuk melintasi Jambatan
tersebut.
* Kumpulan Pertama – melintasi bagai cahaya kilat memancar
* Kumpulan Kedua – melintasi bagai angin yang kencang
* Kumpulan Ketiga – melintasi bagai kuda yang baik
* Kumpulan Keempat – melintasi bagai burung yang pantas
* Kumpulan Kelima – melintasi dalam keadaan berlari
* Kumpulan Keenam – melintasi dalam keadaan berjalan
* Kumpulan Ketujuh – berdiri dan duduk
* Kumpulan Kelapan – menarik muka mereka dengan rantai
* Kumpulan Kesembilan dan kesepuluh – tertinggal diatas Sirat dan
tidak diizinkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa mereka.
Keadaan-keadaan semasa kumpulan melintasi jambatan Sirath:
Kumpulan Ketujuh – Mereka berdiri dan duduk akibat kepenatan dan
dosa-dosa terpikul dibelakang mereka. Nabi Muhammad SAW berhenti diatas
Sirat. Setiap kali, Nabi Muhammad SAW. melihat seorang dari umatnya
bergelayut di atas Sirat, kemudian ia akan menarik tangannya dan
membangunkan dia kembali.
Kumpulan Kelapan – mereka menarik
muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa
mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru; “Wahai Muhammad!”, dan
Nabi Muhammad s.a.w. akan berkata; “Tuhan! Selamatkanlah mereka! Tuhan!
Selamatkanlah mereka!”
Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan
hadis di atas dan kisah yang jelas mengenai Titian Sirat sedarlah kita
bahawa setiap daripada kita tidak akan terlepas melaluinya sebelum
memasuki Syurga Allah SWT. Perlulah kita muhasabah kita akan berada
dikumpulan mana?
Sekiranya kita termasuk di dalam kumpulan
pertama hingga keenam akan terselamat daripada tergelincir dan terhumban
ke dalam Neraka Jahanam, jika kita termasuk dalam kumpulan ketujuh dan
kelapan akan selamat sampai juga dengan pertolongan Nabi SAW tetapi
dalam keadaan yang amat azab.
Minta dijauhilah masuk ke dalam
kumpulan kesembilan dan kesepuluh kerana kumpulan ini akan tertinggal di
pertengahan jalan dan tunggu masa untuk tergelincir ke dalam Neraka
Jahanam, na'uzubillahiminzalik.
Marilah kita pertingkatkan amal
ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan kebajikan dan tinggalkan semua
dosa, maksiat dan kemugkaran kepada Allah s.w.t. untuk kita dapat
menyelamatkan diri kita nanti di hari akhirat. Alangkah ruginya kita
bila bertemu Allah SWT nanti tidak ada amalan yang dapat membantu dan
menyelamatkan kita dengan siksaan yang dahsyat iaitu siksaan Neraka
Jahanam.
Hanya jiwa yang beriman dan bertakwa sahaja akan
terselamat daripada azab yang pedih ketika meniti Sirat dan terselamat
daripada azab Neraka Jahanam.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment