Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 38 adalah menjawab persoalan sifat-sifat riyak, sum'ah, sombong, takbur, hasad dengki, iri hati, ujub dan bakhil.
481. Soalan : Apakah dia sifat riyak dan sum'ah? Bagaimana sifat ini boleh merosakkan amal seseorang?
Riyak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riyak." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Riyak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: "Tentu". Baginda bersabda: "Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sum’ah merupakan amalan yang diperdengarkan kemudian menceritakan perbuatannya (sudah dikerjakan dengan penuh keikhlasan, namun pada akhirnya mengharapkan pujian yang sifatnya duniawi).
Kata sum’ah berasal dari kata samma’a (memperdengarkan).Contoh : Malam solat tahajud pada siang harinya menceritakan kepada rakannya bahawa malam tadi dia telah melaksanakan solat tahajud supaya rakannya tahu bahawa dia seorang yang alim.
Perbedaan riyak dan sum’ah ialah: Riyak adalah amalan yang dilakukan untuk diperlihatkan kepada orang lain, sedangkan sum’ah beramal supaya diperdengarkan kepada orang lain.
Riyak berkaitan dengan indra mata, sedangkan sum’ah berkaitan dengan indra telinga.
Dalam al-Quran Allah SWT telah mengingatkan kepada kita mengenai sifat riyak dan sum'ah ini:
يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُواْ لاَ تُبْطِلُوْا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْاَذَى كَالَّذِىْ يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ …
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia…” (Surah al-Baqarah ayat 264).
482. Soalan : Sifat sombong dan takbur adalah sifat yang dibenci oleh Allah SWT, minta ustaz huraikan ciri-ciri seseorang boleh termasuk dikalangan orang yang sombong.
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."
Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)
Sombong adalah penyakit berbahaya, dimana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk berbuat dosa yang akan menjauhkannya dari Syurga dan mendekatkan ke Neraka.
Sombong adalah sebuah penyakit yang akan menjadi penghalang bagi pelakunya dari syurga dan keselamatan. Sombong ibarat racun yang berada di dalam hati, jiwa dan perasaan. Di mana racun itu akan menyerap dalam jiwa, harta, kedudukan, kekuatan, kemampuan dan ilmu seseorang. Racun dalam jiwa manusia yang tidak akan boleh lepas dari was-was syaitan dan beranggapan bahawa ia adalah orang yang paling penting atau mempunyai kedudukan tinggi.
Sombong adalah sifat mazmumah (buruk), manusia yang sombong adalah mereka yang menolak kebenaran dan tidak menghargai kebolehan atau kelebihan orang lain. Lazimnya orang yang sombong suka berdusta dan bercakap bohong.
483. Soalan : Salah satu sifat mazmumah adalah sifat hasad dengki dan iri hati.Bagaimana sifat ini boleh menghapuskan amala-amal kebaikan yang kita lakukan?
Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.
Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: "Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama. (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).
Hasad dengki hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.
Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (Surah Ali-Imran ayat 120).
Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (Surah al-Falaq ayat 5).
Rasulullah SAW memperingatkan dalam hadisnya yang bermaksud: "Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering. (Hadis Riwayat Imam Abu Daud).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW juga melarang sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Janganlah kalian saling dengki" (Hadis Riwayat Muslim)
484. Soalan : Apakah ciri-ciri seseorang itu mempunyai sifat ujub ?
Ujub terjadi apabila seseorang itu merasa kagum akan kelebihan dan kebolehan yang diberikan llahi kepada dirinya, di mana kebiasaaanya kelebihan dan kebolehan itu menjadikan dia kelihatan istimewa jika dibandingkan dengan orang lain. Dirinya merasa hebat dengan apa yang diberikan Allah lantas terpesona dengan kelebihan dan kebolehannya itu sendiri.
Samaada kelebihan tersebut dibidang agama atau duniawi. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kelulusan akademik, kedudukan dalam masyarakat, keturunan, kekayaan dan lain-lain.
Penyakit ujub ini merupakan penyakit yang merbahaya kepada manusia dan bertindak menghapuskan kebaikkan (silent killer) yang telah dilaksanakan oleh seseorang hamba.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri)," (Hadis Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)
Berdasarkan hadis diatas bahawa salah satu hal yang membinasakan adalah sifat ujub. Kerana ujub adalah umpama api dalam sekam yang akan membakar dan menghapuskan amal soleh seorang manusia.
485. Soalan : Salah satu sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT adalah sifat bakhil atau kedekut. Minta ustaz huraikan balasan yang akan diterima oleh seseorang yang bersifat bakhil atau kedekut.
Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :"Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa salah satu sifat tercela yang menyebabkan seseorang tidak dapat masuk ke syurga adalah sifat bakhil.
Sifat bakhil muncul diakibatkan kecintaan yang berlebihan terhadap dunia, tidak adanya keyakinan tentang kemuliaan yang ada di sisi Allah, tamak dan kagum kepada diri sendiri serta sebab-sebab lainnya.
Sudah sepatutnya bagi hamba-hamba yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya untuk menjauhi sifat yang tercela ini, agar tidak menyesal kelak di kemudian hari.
Bakhil adalah sifat yang tercela kerana sifat ini terlahir dari godaan syaitan. Bakhil dijadikan oleh syaitan sebagai jalan untuk menuju jalan ke neraka. Definisi bakhil adalah perbuatan seorang hamba untuk menahan harta yang ada pada kepemilikannya tanpa menunaikan hak dan kewajiban yang sepatutnya di tunaikan dengan harta tersebut. Dalil yang melarang dari perbuatan bakhil di antaranya adalah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا هِيَ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالشُّحُّ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ»
Maksudnya : “Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wa salam telah bersabda, ‘Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian.’ Lalu (shahabat) bertanya, ‘Apakah itu wahai Rasulullah?’ Lalu baginda menjawab, ‘Menyekutukan Allah, kikir (bakhil), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai)
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment