Sunday, September 22, 2013

Soal Jawab Agama Siri 89 (Anak Tidak Sah Taraf, Nafkah Batin, Najis Mughallazah, Ujian Hidup Dan Fadilat Sedekah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 89 adalah menjawab persoalan mengenai status anak tidak sah taraf, nafkah batin isteri, membasuh najis Mughallazah, mendapat dugaan hidup dan fadilat bersedekah akan digandakan oleh Allah SWT.

731. Soalan : Boleh ustaz tolong huraikan status anak luar nikah disisi Islam bukan disisi pandangan masyarakat?

Jawapannya :


Status anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor, sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah dan bersih tanpa dosa. Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu adalah pelakuan ibu bapanya dan bukan anak itu haram.

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tin ayat  4)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra ayat 70)

Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah :

صحيح مسلم ٤٨٠٣: حَدَّثَنَا حَاجِبُ بْنُ الْوَلِيدِ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَرْبٍ عَنْ الزُّبَيْدِيِّ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ

ثُمَّ يَقُولُا أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ

{ فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ }

الْآيَةَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى ح و حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ كِلَاهُمَا عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً وَلَمْ يَذْكُرْ جَمْعَاءَ

Abu Hurairah, dia berkata; "Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda: "Seorang bayi tidak dilahirkan (ke dunia ini) melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, atau pun Majusi -sebagaimana hewan yang dilahirkan dalam keadaan selamat tanpa cacat. Maka, apakah kalian merasakan adanya cacat? ' Lalu Abu Hurairah berkata; 'Apabila kalian mau, maka bacalah firman Allah yang berbunyi: '…tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan atas fitrah Allah.' (Surah Ar-Ruum (30) ayat 30).(Hadis Riwayat Muslim no. 4808)

Ketiga-tiga dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini. Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah. Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah SAW.

Jangan kita menghina anak tersebut dan meminggirkannya sehingga dirinya merasa hina disebabkan salah ibu bapanya. Dosa besar bagi orang yang menaburkan fitnah dan mengaibkan orang di atas segala dosa yang telah dilakukan oleh ibu dan bapanya. Dosa ibu bapanya yang lalu biarlah mereka dengan Allah SWT, kita sebagai umat Islam berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Dia mengampunkan segala dosa ketelanjuran mereka dahulu. Sebagai umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa atas kesalahan yang telah dilakukan, tetapi sepatutnya mengajak dan memberikan nasihat yang baik kepada mereka supaya mereka mengerti akan pelakuan mereka itu adalah salah di sisi syariat dan bersegeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah SWT menerima ampun bagi sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Anak luar nikah tidak dipertanggungjawabkan atas kelakuan ibu bapanya yang terlanjur dan tidak boleh kita menuding jari kepada anak tersebut, dia juga mempunyai perasaan dan mempunyai hati yang perlu dijaga oleh kita. Setiap amalan kejahatan dan kebaikan adalah merupakan tanggungjawab individu tersebut dan tidak dipertanggungjawabkan kepada orang lain.

Firman Allah yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Surah al-Qiyamah ayat 36)

Bagaimana jika anak luar nikah jadi imam di masjid atau di surau? Jawapannya solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas kelayakkannya, mengikuti krateria-krateria sebagai seorang imam, fasih bacaannya, sebutan jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi masalah dan solat jemaah tersebut sah.

Adakah boleh anak luar nikah jadi wali kepada adik-adiknya? Jawapannya menurut pendapat ulamak anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, kerana hubungannya dengan bapanya diluar ikatan perkahwinan yang sah. Anak luar nikah ini perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jadi jelas di sini, bahawa anak tersebut tidak dikira dari darah daging ayahnya. Anak luar nikah ini tidak boleh jadi wali kepada adik-adiknya.

Adakah bapa yang melakukan zina sehingga dia dilahirkan itu boleh jadi walinya? Jawapannya adalah tidak boleh sebab, menurut pendapat ulama bapak tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana mereka melakukan hubungan diluar ikatan perkahwinan yang sah. Maka anak tersebut boleh diwalikan oleh wali hakim (perkara ini boleh dirujuk kepada bahagian pembangunan keluarga Islam Jabatan Agama Islam mana-mana negeri dalam Malaysia. Wallahu a'lam.

732. Soalan : Rumahtangga saya sempurna kecuali kepuasan seks. Walaupun saya bekerja, saya mampu layan seks hari-hari jika diminta. Saya tak puas hati sebab selalu tak dapat kemuncak, suami sudah kemuncak dulu. Saya sudah cuba macam-macam cara untuk bantu suami. Dah berbincang, bagi tips, dah suruh bersenam/berurut, baca buku untuk tambah ilmu, ajak pegi kaunseling. Dia setuju untuk memperbaikinya tapi tak banyak beza pun sebab dia tak buat. Dia tak konsisten. Bagaimana pandangan ustaz untuk menyelesaikan masalah ini?

Jawapan :


Tanggung jawab suami wajib memberi  dua nafkah berikut iaitu :

1.Nafkah zahir yang meliputi ,makan dan minum,pakaian,tempat tinggal berdasarkan kemampuan,pendidikan dan bimbingan keagamaan,menjaga kesihatan pasangan dan anak-anak serta keperluan lain.

2.Nafkah batin meliputi, berjimak, belaian kasih sayang, mengambil/memberi perhatian kepada pasangan,pergaulan yang makruf/baik, sentuhan dan kaedah komunikasi.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, jika suami kurang tenaga seks, si isteri boleh membantu dengan cara pergi mendapatkan rawatan pakar lelaki yang banyak terdapat di negara ini, sama ada doktor kesihatn atau melalui rawatan ubatan tradisi.Teknik bersama suami mestilah   dimulai dengan pujuk rayu,membelai,kucupan/ciuman sehingga pasangan telah betul-betul bersedia bahrulah jimak dimulakan.Sebab itulah dalam soal jimak bukannya terus dilakukan kerana perlu ada mukadimahnya. Mukadimahnya banyak cara boleh dilakukan umpama rayuan,rabaan,gentelan,usapan,kucupan dan segala sudut bahagian badan yang boleh membangkit ghairah nafsu masing perlu diambil kira sebelum sampan didayung. 
Sebelum melakukan jimak, suami isteri haruslah mengikut cara-cara yang tertentu.

1. Mulakan dengan belaian lembut dan kata-kata manis yang memuji antara satu sama lain. Cubalah perhatikan bagaimana Rasulullah SAW telah mengajarkan mengenai aspek “cumbu-rayu” ini, sebagaimana tersirat dalam sabdanya yang berikut:

“Janganlah ada di antara kalian menggauli isterinya seperti laku binatang, melainkan hendaklah diadakan antara keduanya perantaraan. Dikatakan :`Apakah perantaraan itu, wahai Rasulullah?’ Jawab Rasulullah SAW: (iaitu) Ciuman dan kata-kata rayuan.” (Hadis Riwayat Ad Dailami)

2. Janganlah melakukan jimak dengan tergopoh gapah walaupun mungkin ketika itu masing-masing pasangan sudah bersedia melakukannya.

3. Lakukan pujuk rayu, ciuman mesra, sentuhlah tempat-tempat punca nafsu, seperti suami mencium pipi, leher, dahi , payau dara dan sebagainya.

4. Jangan melakukan jimak ketika perut terlalu kenyang atau terlalu lapar.

Itulah yang dikatakan nafkah batin yang sebenar. Justeru saya nasihatkan agar puan berdua bermuhasabah dan cuba belajar semula daripada kesilapan,mudah-mudahan segala kelemahan dapat di atasi dan memenuhi nafkah batin.

733. Soalan : Saya tidak faham mengenai bab sertu, soalan saya :

1. Apakah bezanya antara air bercampur tanah dan juga tanah lembab yang dibasahkan dengan hujan?

2. Bagaimana untuk menyediakan air becampur tanah?adakah dengan mengambil
tanah kering dan mencampurkan nya dengan air biasa di dalam baldi.

3. Sah atau pun tidak sah jika kita sertu tapak kasut terkena najis anjing sebagai contoh dengan hanya mengosok pada tanah lembab dan terus mencucinya dengan air biasa 6 kali selepas mengosok pada tanah lembab tadi..Adakah cara ini boleh digunakan? Sekian terima kasih...

Jawapan


Badan, pakaian dan tempat yang terkena Najis Mughallazah iaitu anjing dan babi hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali di mana basuhan pertama ialah dengan air tanah dan 6 kali air bilasan yang bersih. 


Untuk menjawab soalan saudara:

1. Perbuatan membasuh memerlukan cecair. Di sinilah letaknya perbezaan ciri antara air bercampur tanah dengan tanah lembab yang dibasahkan oleh hujan.

2. Cara menyediakan air tanah: Ambil tanah (kering atau basah) dan campurkannya dengan air mutlak. Banyak tanah dan air bergantung kepada keperluan. Air yang bercampur tanah ini adalah basuhan pertama. Selepas itu ambil air mutlak sebanyak 6 kali untuk dijirus ditempat yang terkena Najis Mughallazah.

Menerusi tariq Ibn `Aliyyah daripada Hisham daripada Ibn Sirin daripada Abu Hurairah, cara menyucikan bekas yang terkena jilatan anjing ialah dibasuh dengan tujuh kali, di mana kali pertamanya ialah dengan air bercampur tanah. [Musannaf Ibn Abi Shaybah, no. hadith 209, j. 1, h. 200].

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu dari Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bahawa baginda bersabda: "Jika seekor anjing minum pada bejana kalian maka buanglah isinya lalu cucilah sebanyak tujuh kali." Imam Muslim menambahkan: "Basuhan pertama dengan tanah." (Hadis Riwayat Bukhari I/44 dan Muslim I/234)

3. Cara membasuh tapak kasut yang terkena najis:

Mula-mula buangkan ain najis jika ada. Kemudian basuh kasut dengan air sebanyak tujuh kali di mana basuhan pertama ialah dengan air tanah. Dan diikuti dengan 6 kali bilasan air mutlak dijirus ke atasnya. Tidak sah menggantikan basuhan dengan air tanah dengan sekadar menggosokkan kasut pada tanah yang lembab. Wallahu a'lam.

734. Soalan : Yang bermain didalam fikiran saya, mengapa Allah SWT menguji hamba-Nya seperti saya dengan dugaan yang saya anggap berat dari segi rezeki. Dahulu mugkin saya tak pernah ingat pada Allah SWT dan sekarang alhamdullillah Allah SWT telah mambuka pintu hati saya, tapi rezeki saya masih berat lagi. Bila difikirkan mengapa Allah SWT murahkan rezeki orang lain yang tak pernah tunduk pada perintahnya? Allah SWT murahkan rezeki hamba-Nya yang tak pernah tunduk hingga hamba itu  berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, sedangkan saya Allah SWT beratkan rezeki saya.

Jawapan


Saya menasihatkan supaya saudara tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki. Yakinlah dengan qada' dan qadar Allah setiap orang ada rezekinya. Banyakkan berdoa di samping berusaha untuk mencari rezeki. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi yang saudara tidak mengetahuinya.

Allah SWT akan melimpahkan rezeki untuk hamba-hamba-Nya yang soleh. Setiap hamba yang beriman tidak dapat mengelak daripada menerima dugaan seperti ini seperti yang berlaku kepada orang-orang terdahulu yang tidak terkecuali daripada menerima ujian seperti ini .

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar ayat 53). Allah SWT melarang kita mengeluh dan berputus asa kerana rahmat Allah SWT sangat luas.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Walaupun sesuatu peristiwa itu yang berlaku di atas ketentuaan Allah tetap Allah SWT memberi pilihan manusia untuk berubah, berusaha, berikhtiar dan berdoa.

Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahumallah menyebutkan sebuah atsar dari al-Hasan al-Basri rahimahullah:
 ان رجلا شكى إليه الجدب فقال استغفر الله وشكى إليه آخر الفقر فقال استغفر الله وشكى إليه آخر جفاف بستانه فقال استغفر الله وشكى إليه آخر عدم الولد فقال استغفر الله ثم تلا عليهم هذه الآية
 
Maksudnya : “Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah.”

Kemudian datang pula orang lain mengadu  kepada beliau tentang kefaqirannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”


Kemudian datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”


Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.” 


Kemudian al-Hasan al-Basri pun membacakan surah ini (Surah Nuh (71) ayat 11-12) kepada mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)

Nabi Nuh ‘alaihis salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Quran:


فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
 
Maksudnya : “Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh (71) ayat 10-12).


Berdasarkan ayat ini saudara banyakkan beristighfar kepada Allah SWT insyaa Allah rezeki saudara akan dibukakan oleh Allah SWT seluas-luasnya dan di berikan-Nya di jalan yang tidak disangka-sangka.

735. Soalan : Bolehkah ustaz terangkan apakah bentuk amal soleh yang sangat di tuntut oleh Allah SWT dan amalan ini akan digandakan oleh Allah SWT di akhirat nanti. ?

Jawapan :


Hidup manusia di dunia ini perlulah kepada amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan, kerana kesemua amalan ini akan di beri ganjaran pahala oleh Allah SWT. Banyak sedikitnya pahala yang akan diterima oleh manusia adalah bergantung sejauhmana keikhlasannya  melakukan sesuatu amalan semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Dengan sifat Pemurah dan Penyayang Allah SWT sesuatu amalan itu boleh digandakan sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ”  (Surah al-Baqarah ayat 261)

Membelanjakan harta ke jalan Allah disimpulkan sebagai sebarang perbelanjaan yang disumbangkan mengikut jalan yang disuruh oleh Allah SWT samada memberi bantuan untuk jihad fisabilillah, membantu kepada orang-orang yang memerlukan, beri nafkah kepada anak dan isteri, menunaikan haji, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Ini semua mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga mencapai 700 kali ganda.

Daripada ayat ini juga, dijelaskan bahawa amal soleh yang dilakukan manusia beriman akan dilipatgandakan pahalanya sebagaimana Allah SWT menggandakan bijian yang kita tanam di permukaan bumi yang subur tanahnya. Jika tanah itu tak subur, benih itu akan mati atau hasilnya tidak seperti yang diharapkan, begitulah juga dengan amal soleh kita.
 

Seorang yang menderma beribu-ribu ringgit tanpa rasa ikhlas malah untuk menunjuk-nunjuk tidak mendapat apa-apa ganjaran berbanding seorang miskin yang menderma hanya beberapa ringgit yang dia ada.

Namun, ini tidak wajar untuk jadikan hujah bagi menahan diri kita daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar ke jalan yang diredai Allah SWT. Ikhlas itu perlu dididik dan ditanam ke dalam diri, bukannya untuk kita membuat keputusan menghadkan sumbangan tersebut. Jika amalan yang dilakukan disertai  dengan ikhlas akan membuahkan lebih banyak ganjaran 700 biji benih seperti yang disebutkan pada surah al-Baqarah ayat 261 di atas.

2 comments:

Anonymous said...

Salam ustad..soalan saya..mempunyai anak lelaki tak sah taraf.. hasil dari hubungan dgn bekas suami.. umur anak 22 tahun tak berkahwin dan telah meninggal dunia..bagaimana pemberian faraid harta peninggalannya..bekas suami masih hidup..saya mempunyai empat org anak yg sah taraf dgn bekas suami saya..dan empat anak yg tak sah taraf termasuk arwah ..hasil dgn bekas suami saya juga akibat kekeliruan.. semua anak2 saya dari bapa yg sama..diharap dpt penjelasan yg sewajarnya..teimakasih

Anonymous said...

Harap dpt penjelasan ustad sgt2 tentang pembahgian faraid dari anak bungsu yg meninggal...untuk anak2 yg masih ada.