Monday, April 27, 2015

Hukum Berselawat dan Berzikir Dengan Gendang, Muzik dan Tarian

1. Imam Asy-Syafei (wafat 204H) . Bagi mazhab asy-Syafei sendiri dinyatakan bahawa: “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang saling dilagakan bagi menghasilkan bunyi), gendang, serunai dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Dibolehkan duff (kompang) bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau seumpamanya. Nyanyian jika tanpa alat muzik, hukumnya makruh (dibenci) dan jika dengan diiringi alat-alat muzik hukumnya adalah haram.” [Lihat perbahasannya dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Faz al-Minhaj, Kitab asy-Syahadat karya Imam Muhammad bin Ahmad bin al-Khathib asy-Syarbini].

2)    Imam Ahmad apabila ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Bid'ah.” [Riwayat Al Khallal. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 163].

 3)    Al-Qadhi Abu at-Toyib al-Tobari (wafat 450H), seorang tokoh ulama' Syafie yang telah menyatakan bahawa: “Kumpulan yang menyanyi untuk ibadah ini telah menyalahi jamaah muslimin kerana telah menjadikan nyanyian sebagai agama dan ketaatan. Iklan-iklan mereka terdapat di masjid-masjid, jami’ah dan semua tempat mulia.” [Mas’alah as-Sama’, Ibnu al-Qayyim].

4)   Imam At-Tartusyi (wafat 520H), tokoh ulama’ Maliki dari kota Qurtubah; telah  ditanya tentang satu kelompok di suatu tempat yang membaca Al-Quran, lalu seseorang di antara mereka menyanyikan sya'ir, kemudian mereka menari dan bergoyang. Mereka juga memukul rebana dan memainkan seruling. Apakah menghadiri majlis mereka itu halal atau tidak?

Beliau menjawab: “Jalan mereka itu adalah batil dan sesat. Islam itu hanyalah kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Adapun menari dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah), maka yang pertama kali mengada-adakannya adalah kawan-kawan Samiri (pada zaman Nabi Musa). Iaitu ketika Samiri membuatkan patung anak lembu yang boleh bersuara untuk mereka, lalu mereka datang menari di sekitarnya dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah). Tarian itu adalah agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.

Adapun majlis Rasulullah SAW dan para sahabatnya penuh ketenangan, seolah-olah di atas kepala mereka dihinggapi burung. Maka seharusnya pemerintah dan wakil-wakilnya melarang mereka menghadiri masjid-masjid dan lainnya (untuk menyanyi dan menari, Pen). Dan bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidaklah halal menghadirinya. Tidak halal membantu mereka melakukan kebatilan. Demikian ini jalan yang ditempuh oleh (Imam) Malik, Asy-Syafei, Abu Hanifah, Ahmad dan lainnya dari kalangan imam-imam kaum muslimin.” [Tafsir Al-Qurtuba 11/238 Syamilah. Lihat Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 168-169].

 5) Imam Al-Hafiz Ibnu As-Solah (wafat 643H), imam terkenal penulis kitab Muqaddimah 'Ulumil Hadis. Beliau juga ditanya tentang orang-orang yang menghalalkan nyanyian dengan rebana dan seruling, dengan tarian dan bertepuk-tangan. Mereka menganggapnya sebagai perkara halal dan qurbah (perkara yang mendekatkan diri kepada Allah), bahkan (katanya sebagai) ibadah yang paling utama.

فتاوى ابن الصلاح (2/ 499): مَسْأَلَة أَقوام يَقُولُونَ إِن سَماع الْغناء بالدف....

Kesimpulan jawapan beliau ialah: “Mereka telah berdusta atas nama Allah Ta'ala. Dengan pendapat tersebut, pandangan ini masyhur di kalangan golongan batiniyyah  yang Mulhidin (menyimpang). Mereka juga bertentangan dengan ijma'.
Sesiapa yang menentang ijma', (ia) terkena ancaman firman Allah:

{وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيرًا }

{Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam. Dan Jahanam itu seburuk-buruknya tempat kembali.} [An-Nisa:115]”. [Fatawa Ibnu As-Solah, 2/499- Syamilah. Lihat: Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 170].

5)   Syeikh Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiah rahimahullah berkata: “Dan telah diketahui secara pasti dari agama Islam, bahawa Nabi SAW tidak mensyariatkan kepada orang-orang soleh dan para ahli ibadah dari umat Baginda, agar mereka berkumpul dan mendengarkan bait-bait yang dilagukan dengan bertepuk tangan, atau pukulan dengan kayu (stik), atau rebana. Sebagaimana Baginda  tidak membolehkan bagi seorangpun untuk tidak mengikuti Baginda, atau tidak mengikuti apa yang ada pada Al-Kitab dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Baginda tidak membolehkan, baik dalam perkara batin atau zahir, untuk orang awam atau untuk orang tertentu.” [Majmu' Fatawa, 11/565. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 165].

6)    Fatwa Imam as-Suyuthi rahimahullah (wafat 911H):

“Dan di antaranya adalah menari, menyanyi di dalam masjid, memukul kompang (atau gendang) atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola), atau selain itu dari jenis-jenis alat-alat muzik.

Maka sesiapa yang melakukan perkara yang tersebut di dalam masjid maka dia adalah mubtadi’ (pelaku bid’ah), sesat, perlu dihalau dan boleh dipukul, kerana dia meremehkan perintah Allah untuk memuliakan masjid. Allah SWT berfirman: “Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan (iaitu menggagungkannya) dan disebut nama-Nya di dalamnya.” [An-Nur, 24: 36]. Iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.

Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, sya’ir, nyanyian dan tarian di dalamnya. Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bid’ah, sesat dan menyesatkan, dan berhak dikenakan hukuman.” [Jalaluddin as-Suyuti, Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’, m/s. 30 – Al-Maktabah Asy-Syamilah].

Bagi orang Malaysia pula, Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:
Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.

Ibadah. Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.

Keputusan:

(a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.

Status Penwartaan:  Diwartakan

Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012

Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: Melaka.

(Artikal ini di petik daripada tulisan Abu Anas Madani - Hukum Berselawat dan Berzikir Dengan Gendang, Muzik dan Tarian )

No comments: