1) Adakah kita akan tetap diseksa atas dosa-dosa yang lalu walaupun kita telah bertaubat kepada Allah.?
2) Sekiranya kita pernah terambil barang orang lain disebabkan iman yang goyah kemudian berniat dan tersedar atas kesilapan dan ingin memulangkanya tetapi tidak tahu barang yang kita telah ambil kepunyaan siapa..Bagaimana cara untuk menyelesaikannya agar terlepas dari dosa lampau.?
Jawapan :
1. Dosa ada dua jenis iaitu dosa iaitu :
i. Dosa dengan Allah SWT :
Dosa dengan Allah SWT apabila kita bertaubat akan diampunkan oleh Allah SWT.
Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.” (Hadis Riwayat At Tabrani)
ii. Dosa sesama manusia.
Dosa dengan manusia kena selesaikan di dunia seperti maki hamun, mengumpat, memfitnah, memukul manusia, merampas hak orang, mencuri, hutang yang tak dibayar, tipu harta orang lain, ambil rasuah, mengsihir orang lain, membunuh orang dan lain-lain lagi.
Jika tidak selesai akan dibawa dimahkamah Allah di akhirat.nanti.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antata satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).
Jambatan (qanthrah) disini, bukan sirat yang letaknya di atas Neraka Jahannam. Jambatan ini dibentangkan setelah orang mukmin berjaya melewati sirat yang berada di atas Neraka Jahannam.
2. Jika terambil atau mencuri barang orang lain jika jumpa tuan punya yang lama kena pulangkan semula,tetapi jika tidak jumpa nilaikan harta tersebut dan gantikan dengan wang dan sedekahkan untuk amal jariah dan niatkan untuk orang yg kita ambil harta tadi.
Rasulullah SAW. bersabda, “Barang siapa telah melakukan kezaliman kepada saudaranya, baik menyangkut harga diri/kehormatan atau harta, maka pada hari ini hendaklah ia meminta dibebaskan (dihalalkan) sebelum datang hari di mana tidak berguna lagi dinar dan dirham. Apabila (orang yang berbuat zalim itu) mempunyai amal kebaikan/kesolehan, maka kesolehannya akan diambil untuk saudaranya sebesar kezalimannya kepadanya. Dan apabila ia tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa amal buruk saudaranya itu akan ditimpakan kepada.” (Hadis Riwayat Bukhari).
No comments:
Post a Comment