Sunday, August 9, 2009

Balasan Allah Kerana Menghina Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perjuangan Rasulullah SAW  berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesukaran. Terutama sekali tentangan dari kafir Quraisy Makkah. Lebih mengharukan apabila Rasulullah SAW  turut dibenci dan dimusuhi bapa saudaranya sendiri Abu Lahab.

Walhal sebelum itu Abu Lahab tidak pernah memarahi atau membenci Rasulullah SAW. Bahkan hubungan kekeluargaan sangat erat, perkahwinan dua anak lelakinya Utbah dan Utaibah dengan dua orang puteri Rasulullah SAW  iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kaltsum.

Tetepi selepas baginda SAW diangkat menjadi Rasul, Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah SAW. Dia juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah SAW, "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah SAW. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah SWT. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Suatu masa , Utaibah mengikut satu kafilah dagang yang hendak pergi berniaga ke negeri Syam. Ditengah perjalanan rombongan itu terserempak dengan seekor harimau yang sangat besar.

Sangat menghairankan kerana harimau itu hanya merenung ke arah Utaibah seorang. Ia seperti tidak menghiraukan peserta kafilah yang lain. Dengan bantuan rakan-rakan Utaibah terselamat daripada di ganggu oleh harimau tersebut.

Tetapi harimau itu tidak lari jauh. Tanpa disedari semua peserta rombongan, rupa-rupanya mereka sedang diekori. Sampai menjelang tengah malam semasa rombongan berhenti rehat, harimau itu masih memerhatikan mangsanya.

Apabila semua peserta rombongan sudah lena dalam keletihan masing-masing, haiwan pemangsa itu pun menyerang Utaibah dan membahamnya, dia tidak sempat hendak menyelamatkan dirinya di tengah-tengah malam yang gelap gelita.

Demikianlah balasan Allah kepada orang yang derhaka. Utaibah bukan sahaja tidak mahu beriman, bahkan dia turut menghina Rasulullah SAW. Akhirnya Allah SWT pun membalas kejahatan Utaibah didunia ini lagi sebelum membalasnya di akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Pengajaran yang boleh kita dapati daripada kisah di atas adalah :

1. Sesiapa yang cuba menghina Nabi SAW atau menghina Islam akan mendapat kutukan dan bala (balasan) daripada Allah SWT di dunia lagi. Contoh yang jelas berlaku kepada Mustafa Kamala Ataturk yang telah menukar sistem perundangan Islam di Turki kepada sistem sekular barat akhirnya sebelum mati di seksa dengan demam yang terlampau panas hingga menjerit-jerit kesakitan dan apabila jenazahnya hendak dikebumikan bumi menolaknya dan tidak mahu menerima jenazah yang derhaka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

2. Dalam kita berdakwah dan menyeru kepada Islam perlulah kepada sifat sabar yang tinggi kerana yang akan menentang dakwah kita bukan sahaja orang luar tetapi berlaku dikalangan ahli keluarga sendiri.


No comments: