Thursday, August 13, 2009

Banyakkan Berselawat Kepada Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam sehari semalam berapa kalikah kita perlu berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w? Sebagai umat Nabi s.a.w. kita diminta untuk sentiasa berselawat kepada baginda tanda kita cinta dan kasih, selain berusaha untuk mencontohi akhlak dan sunnah Nabi s.a.w.

Al-Imam Syahid Hasan al-Banna menyatakan sekurang-kurangnya kita hendaklah berselawat kepada Nabi s.a.w sebanyak sepuluh kali pada waktu pagi dan sepuluh kali pada waktu petang.Lebih banyak kita berselawat adalah lebih baik.

Berkat daripada satu selawat yang selalu kita bacakan itu, akan mendapat sepuluh limpahan rahmat daripada Allah s.w.t. dan dicatat dengan sepuluh kebajikan. Di akhirat kelak orang yang banyak berselawat kepada Nabi s.a.w. akan mendapat kedudukan yang utama untuk diberi syafaat oleh baginda.
Saidatina Aisyah r.ha sedang menjahit pada suatu dinihari. Tiba-tiba jarumnya terjatuh ke lantai. Tidak sempat dia hendak mengambil semula jarum itu, api pelita yang sedang menerangi terpadam ditiup angin. Dalam keadaan yang gelap dapatkah Saidatina Aisyah mengambil jarum yang jatuh?

Dapat iaitu tidak lama kemudian sebaik sahaja Nabi SAW melangkah masuk, cahaya dari tubuh Nabi SAW  menerangi ruang yang gelap itu. Saidatina Aisyah merasa kagum dengan kebesaran Allah SWT. yang memberikan kemuliaan dan kelebihan yang sangat luar biasa kepada baginda.

"Subhanallah! Adakah di kalangan umatmu orang yang tidak dapat melihat cahayamu ini wahai Rasulullah?" tanya Saidatina Aisyah r.ha.

"Ada" jawab Nabi SAW. "Iaitu mereka yang apabila namaku disebut dia tidak mahu berselawat kepadaku."

Kata-kata Nabi SAW itu membenarkan apa yang pernah diberitahu oleh Malaikat Jibril a.s. kepada Nabi SAW.

Kata Malaikat Jibril, "Celakalah orang yang apabila namamu (Nabi) disebut dia tidak berselawat keatasmu."

Jadi apabila kita mendengar orang menyebut 'Sallallahu 'alaihi wasallam' di hujung sebutan nama Nabi, hendaklah kita menyebut 'Sallallahu 'alaihi wasallam'.

Tahukah saudara siapakah orang yang paling kedekut sekali? Itulah mereka yang malas berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat banyak kebaikan berselawat ke atas Nabi SAW iaitu :

1. Rasulullah SAW. akan membalas dengan 10 selawat untuk setiap selawat daripada umatnya ke atas baginda.

2.  Allah SWT akan mengangkat 10 darjat untuk setiap selawat daripada hamba-Nya.
3.  Malaikat juga akan turut membacakan selawat ke atas orang yang berselawat.
4.  Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan oleh Allah SWT.
5.  Mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah SAW. pada hari kiamat.
6.  Allah akan menggandakan limpah kurnia dan rahmat-Nya pada mereka yang berselawat.
7.  Terselamat dan terpelihara daripada segala yang mendukacitakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.
8.  Allah akan meluas dan melapangkan rezeki daripada sumber yang tidak diketahui.

No comments: