Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah menciptakan manusia beberapa fasa masa yang melibatkan manusia. Alam roh atau alam azali adalah alam pra kehidupan di dunia. Alam rahim adalah peringkat kandungan ibu. Alam dunia adalah sementara. Alam barzakh adalah alam perantaraan. Akhir sekali alam akhirat, iaitu alam yang berpanjangan selama-lamanya tidak ada penghujungnya.
Alam akhirat pula merentasi:
1. Hari-hari kebangkitan (yaumul ba'ath).
2. Hari-hari dihalau untuk berhimpun (yaumul mahsyar).
3. Hari-hari pengadilan (yaumul 'adl).
4. Hari-hari pertimbangan (yaumul mizan).
5. Hari-hari penitian (yaumul sirat).
6. Hari-hari kesudahan (yaumul akhirat). - balasan syurga atau neraka
Tiap peringkat hari-hari itu adalah ribuan tahun.
Dengan itu ternyata nanti kehidupan dunia dirasai hanya beberapa jam sahaja berbanding satu hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia, samaada diratapi dengan penyesalan atau disyukuri kerana beroleh keuntungan.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Seolah-olah hari mahsyar kelak mereka baru dapat rasakan hidup di dunia hanya antara semalam dan hari ini atau sehari semalam."
(Surah An-Naziat ayat 46)
Semasa ajal Nabi Nuh a.s. tiba, malaikat bertanya, "Wahai Nabi yang terlalu panjang usia, bagaimana kamu rasa umurmu yang panjang?"
Jawab Nabi Nuh a.s., "Seumpama sebuah rumah, saya masuk ke dalamnya dari pintu depan, dan keluar melalui pintu belakang!"
Maksud jawapan Nabi Nuh itu menunjukkan masa hidup sembilan ratus lima puluh tahun itu terlalu singkat berbanding hidup dihari akhirat.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Dua nikmat yang sering disia-siakan manusia, iaitu nikmat sihat dan masa lapang."
Didalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Rebutlah lima sebelum datang lima :
1.Masa kamu hidup sebelum kamu mati.
2.Masa kamu sihat sebelum kamu sakit.
3.Masa kamu lapang sebelum kamu sibuk.
4.Masa kamu muda sebelum kamu tua.
5.Masa kamu senang sebelum kamu susah."
Ini bermakna ada lima masa penyesalan, setelah mati, sakit, tua, sibuk dan mati. Setiap penyesalan itu ada harapan tipis kecuali mati. Bila sudah mati dan masuk di alam barzakh tidak berguna penyesalan, hanya amalan-amalan yang baik yang ditinggalkan didunia akan dapat membantu iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya.
Lazimnya ada tiga kecenderungan manusia memenuhi usianya berdasarkan hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Tiga perkara mukmin mudah cenderung, berbekal untuk akhirat atau lengkapkan peralatan rumahnya atau bersedap-sedap dengan makanan yang tidak haram."
Hadis ini mengisyaratkan bahawa dalam keadaan seorang itu mukmin pun masih kerehatan rumah dan terlalu mengutamakan makanan boleh mengalihkan tumpuan kepada memburu akhirat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Orang yang cerdik ialah yang pandai menilai diri dan bekerja untuk selepas mati. Yang lemah ialah yang menurut hawa nafsu dan berangan-angan (mendapat sesuatu) dari Allah."
Berangan-angan mendapat tempat istimewa di sisi Allah, sambil menganggap Allah akan mengampuninya, membuat setengah di kalangan kita meringan-ringankan usaha merebut akhirat.
Dengan kekuatan iman serta memiliki ilmu Islam yang luas seorang muslim boleh manfaat sepenuhnya kehidupan yang singkat ini. Apa sahaja yang dilakukan membawa kebaikan akhirat.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Sungguh menghairankan hal mukmin, semua urusannya membawa kebaikan.Kebaikan seumpama itu tidak diperolehi kecuali mukmin. Jika dia diberi kesenangan dia bersyukur, maka menjadi kebaikan. Jika ditimpa musibah dia bersabar, juga kebaikan buat dirinya."
Dengan kekuatan iman dan ilmu juga kita dapat mengelak dari tipu daya dunia.
Firman Allah SAW. yang bermaksud :
"Pemuda yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah, dan dari mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang hati dan pengelihatan akan goncang." (Surah An-Nur ayat 37)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu perlulah kita sedar dan insaf bahawa hidup kita di dunia hanyalah sementara, di akhiratlah kehidupan yang sempurna dan kekal abadi. Disinilah (hari akhirat) merupakan matlamat hidup yang sebenarnya dan segala amalan soleh di dunia adalah saham yang akan dapat kita nikmati hasilnya ketika kita berada di hari akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment