Wednesday, August 12, 2009

Umat Kini di Ambang Kebinasaan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW. mengingatkan umatnya tentang perkara-perkara yang apabila dilakukan boleh menyebabkan Allah SWT menurunkan bala seperti angin merah, angin panas dan gempa bumi, permusuhsn dan peperangan yang tidak berkesudahan di antara manusia.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Apabila hasil negara diagih-agihkan kepada orang-orang tertentu sahaja, amanah dijadikan tempat mengumpul kekayaan, zakat sebagai denda, ilmu dipelajari bukan kerana Allah, seseorang itu mengikut kata isteri (queen control), dan derhaka kepada ibu-bapa, lebih dekat dengan kawan jauh daripada ayahnya, berlaku bising dalam masjid, suatu umat atau kaum dipimpin oleh yang fasik di kalangan mereka, ketua-ketua mereka tidak berakhlak dan rendah peribadi, seseorang di muliakan kerana ditakuti kejahatannya, lahir ramai penyanyi dan banyak alat muzik, arak di minum di sana sini, generasi kemudian mencerca generasi yang lalu, maka tunggulah angin merah (angin panas), akan berlaku gerak gempa, gerhana, berlaku keburukan, tuduh menuduh dan berbagai-bagai tanda akan datang bertalu-talu umpama satu rantai yang putus talinya."

Marilah kita perhatikan hakikat yang di ingatkan oleh Rasulullah SAW didalam hadis diatas dan lihat pula hakikat yang berlaku didalam realiti masyarakat hari ini untuk dijadikan iktibar dan panduan bagi mengelakkan bala Allah SWT. kepada kita.

Perkara-perkara yang disebut oleh Rasulullah SAW. benar-benar berlaku dalam masyarakat hari ini antaranya ialah :

1. Kekayaan tidak diagihkan secara seksama.

2. Amanah yang diberikan telah menjadi tempat merebut peluang mengumpul kekayaan sebanyak mungkin.

3. Zakat dibayar sebagai cukai atau denda, bukan dikeluarkan dengan rasa perhambaan kepada Allah bagi melaksanakan perintah-Nya.

4. Ilmu syarak dipelajari atau dituntut bukan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

5. Didalam rumah tangga ramai sekali suami yang mengikut kata isteri secara membuta tuli.

6. Anak-anak ramai yang menderhaka kepada ibu-bapa.

7. Orang kini lebih senang mencurahkan rahsianya kepada rakannya daripada berunding dengan kedua ibu-bapanya.

8. Masjid dipenuhi dengan suara bising iaitu suara orang berborak-borak kosong selepas menunaikan solat sambil merokok ditepi-tepi beranda masjid.

9. Pemimpin umat dipilih daripada orang-orang yang fasik iaitu mereka yang tidak berakhlak dan rendah peribadi, keadaan ini berlaku kerana masyarakat berpegang pada keputusan majoriti.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, bukan kerana kefahaman dan iltizamnya dengan Islam serta berakhlak tinggi.

11. Penyanyi lelaki dan wanita muncul dengan ramainya, mereka menjadi idola dan ikutan para remaja dan makin meningkatkan gejala sosial dan keruntuhan akhlak kerana pergaulan bebas lelaki dan wanita.Mereka lebih suka menyanyai daripada membaca Al-Quran dan berzikir.

12. Alat muzik wujud dalam beranika jenis dan hiburan dalam berbagai bentuk semuanya melalaikan dan melemahkan daya pemikiran umat.

13. Amalan minum arak juga berlaku disana sini, dijual dengan harga yang murah di pasaran terbuka tanpa cukai dan tanpa kawalan.Penjualan dan bekalan arak mudah didapati dikedai-kedai serbanika dan pasaraya mengakibatkan remaja dan umat Islam yang lemah iman sudah mula meminum arak yang jelas diharamkan oleh Islam tanpa segan silu dan takut terhadap azab Allah.

14. Generasi terakhir mencaci generasi terdahulu, menganggap generasi awal (generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW.) mundur dan ketinggalan zaman dan sebagainya.

Apabila empat belas perkara berlaku didalam masyarakat kita maka bala dan bencana berupa angin merah (angin panas), berlaku gempa bumi disana sini, gerhana , berlaku keburukan, fitnah, tuduh menuduh dan penyakit-penyakit baru yang tidak pernah kita dengar sebelum ini telah berlaku dan melanda masyarakat dengan mengakibatkan kematian yang tinggi.contoh yang jelas adalah penyakit selsema babi, demam dengi, HIV (hingga sekarang masih belum ada penawarnya) dan lain-lain lagi.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita pertingkatkan iman dan amal kita, sentiasa berdoa kepada Allah SWT. semuga Dia selamatkan diri kita, keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya daripada bala bencana dan musibah.Teruskanlah usaha-usaha dakwah dan tarbiah untuk menyelamatkan umat daripada mendapat kemurkaan Allah Azzawajalla.

No comments: