Wednesday, June 16, 2010

Hiasilah Akhlak Kita Dengan Sifat Warak

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap yang halal dan haram telah jelas dan nyata, tetapi di antara halal dan haram ada perkara-perkara syubhah. Sesiapa yang dapat menjauhi dari perkara syubahah maka ia telah menjaga agama dan kehormatan dirinya. Salah satu sifat mahmudah yang perlu dimiliki oleh setiap Mukmin adalah sifat warak.

Jiwa seorang Mukmin sentiasa berhat-hati di dalam kehidupan di dunia ini, sentiasa peka dan sensitif kalau-kalau ada perbuatan, percakapan dan niat dihatinya yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Dia bukankan saja meninggalkan yang haram tetapi dia juga meninggalkan perkara-perkara yang makruh , syubhah dan boleh mendatangkan fitnah. 

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa."
(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sifat warak. Sifat warak adalah sifat berhati-hati dalam menghindari larangan Allah s.w.t. Sifat ini amat jelas terdapat pada diri Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat baginda. Sikap warak pada masa itu telah menjadi suatu amalan yang di hayati oleh generasi awal. Sehingga kurun tersebut dianggap sebagai kurun terbaik dalam sejarah umat Islam. Apakah ciri-ciri atau panduan yang mereka guna dan amalkan sehingga mereka hidup subur dengan sifat tersebut?

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa panduan yang perlu kita amalkan supaya dapat kita memiliki sifat warak yang akan menghiasi akhlak kita.

1.Menghormati hak Allah s.w.t. :
Mengharamkan dan menghalalkan sesuatu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak boleh seseorang pun campur tangan dalam urusan-Nya. Sesungguhnya hanya hukum halal dan haram yang datang dari Al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w sahaja kita terima, dan menolak segala bentuk hukum yang datang dari ciptaan manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Ingat, setiap raja mempunyai kawasan larangan. Ingat, larangan Allah ialah apa sahaja yang diharamkan-Nya."

2. Menghormati hak manusia : 
Islam datang untuk mengangkat kembali darjat manusia ketempat yang sewajarnya. Islam menjamin hak-hak manusia seperti hartanya, keturunannya, kehormatannya dan nyawanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Siapa yang mengambil hak orang lain walau sejengkal tanah, akan dikalungkan hingga tujuh petala bumi. Barangsiapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpah palsunya, maka Allah telah mewajibkan baginya Neraka dan mengharamkan baginya Syurga." 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Menegakkan keadilan kepada diri sendiri dan orang lain : 
Allah s.w.t. memerentahkan manusia untuk berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri. Berlaku adil pada diri sendiri menyebabkan seseorang akan berlaku adil pada orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil kelak di sisi Allah di tempatkan di atas mimbar dan cahaya. Mereka itu ialah orang yang adil dalam menghukum terhadap keluarga dan apa sahaja yang diserahkan (diberi kuasa) kepada mereka."

4. Melangkah dengan ilmu pengetahuan : 
Seorang Muslim mesti mengetahui dan memahami tentang ketentuan dan larangan Allah s.w.t. terhadap mereka.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Janganlah kamu mengikuti suatu hal yang kamu tiada memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati kamu semuanya akan di minta pertanggungjawabkannya." 
(Surah al-Isra' ayat 36)

5. Mengasah kepekaan hati :
Kepekaan hati untuk mengenal perkara yang hak dan batil di sebut sebagai 'furqan' (pembeza). Jiwa yang memiliki 'furqan' akan segera mengesan dan membezakan antara yang hak dan yang batil. Seseorang yang hatinya terasah dengan baik akan mempunyai perasaan yang kuat. Hatinya akan menjadi sensitif terhadap kebatilan dan amat peka dengan kebenaran. 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Al-Birr (kebaikan) itu adalah akhlak yang baik manakala dosa itu segala sesuatu yang terasa tidak tenang dalan hati serta dikhuatiri diketahui oleh orang lain." 
(Hadis Riwayat Muslim).

6. Muhasabah setiap saat : 
Manusia memiliki sifat khilaf, lupa dan lalai. Sering mereka melakukan kesalahan dan kesilapan terhadap diri sendiri dan orang lain tanpa mereka sedari. Melalui kebiasaan menghitung dan menghisap diri sendiri (muhasabah) mereka akan segera menyedari kesilapan dan kekhilafan. Malah segera memperbaikinya serta tidak mengulanginya lagi.

7. Mempertimbangkan nasihat orang lain : 
Seseorang yang warak akan sentiasa berterima kasih atas nasihat orang lain. Walaupun nasihat itu datangnya dan teguran itu datangnya dari pihak lawan. Nasihat ini adalah bahan dan 'ramuan' penting untuk kita muhasabah diri yang disediakan oleh suasan sekeliling.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Agama itu nasihat." Tanpa nasihat, Islam tidak akan tertegak sebagai ajaran dalam sebuah masyarakat Islam yang mementingkan iman dan akhlak Islam.

8. Memperhitungkan risiko diri dan keturunan : 
Seorang yang warak akan sentiasa takut terhadap akibat yang akan di tanggung hasil dari perbuatan dosanya. Samaada menimpa dirinya atau keturunannya.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah s.a.w. pernah mengambarkan bahawa seseorang yang tidak akan diterima do'a-do'anya kerana apa yang dipakai dan dimakannya berasal dari barang-barang yang haram.

9. Khuatir akan azab Allah di hari akhirat : 
Seseorang yang warak pasti merasa cemas apabila diingatkan tentang risiko yang akan ditanggungnya di akhirat. Ia cenderung merasa berat dalam memikul kewajipan dan tugas di dunia kerana khuatir tidak melaksanakannya dengan baik.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang kami serahkan tugas amal, lalu menyembunyikan sekecil jarum atau lebih maka ia berupa ghulul (penghianatan) yang akan dipikul pada hari kiyamat." mendengar kata-kata ini, tiba-tiba berdiri seorang Ansar yang berkulit hitam, lalu berkata : "Wahai Rasulullah, terimalah kembali tugas yang tuan serahkan kepadaku itu." "Mengapa?" tanya Rasulullah s.a.w. "Kerana aku mendengar tuan berkata bagini dan begini, 'Dan kini aku berkata, 'Siapa yang kami serahkan tugas amal harus menyerahkan semuanya, sedikit atau banyak. Maka apa yang diberikan kepadanya boleh diambil dan yang tidak hendaklah ditinggalkan."

Sahabatku,
Akhirkata kata perlulah diperhatikan beberapa ciri-ciri di atas yang boleh mendidik kita untuk mengasah dan memiliki sifat warak. Sifat warak sebenarnya boleh menghampirkan diri kita dengan Allah s.w.t. dan melengkapkan kita dengan akhlak Islam dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.



No comments: