Thursday, June 17, 2010

Sentiasalah Bersyukur Kepada Allah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, semoga kita menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain.
 
Perkara terbesar yang sangat diharapkan daripada kita ialah tumpuan seluruh matlamat hidup semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.. Inilah sahaja yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Serta inilah juga yang akan memastikan kita menjadi insan yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta agama dan negara. 

 
Untuk menjadi hamba Allah yang diredhai-Nya, kita mestilah menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur. Bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kita. Segala nikmat yang telah di perolehi daripada Allah s.w.t terlalu banyak dan tidak dapat dihitung, sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu membayarnya biar pun kita beribadah seluruh hidup  pasti tidak mampu membalasnya. 

 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad) 

 
Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
(Surah Ibrahim ayat 7) 

 
Sahabat yang dihormati,
Sifat qanaah ialah berpuas hati dan bersyukur dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu :
1. Kemuliaan pada ketaatan,
2. Kehinaan pada maksiat,
3. Kehebatan pada ibadat malam,
4. Hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan
5. Kekayaan pada sifat qanaah (puas hati dan bersyukur dengan rezeki yang ditentukan Allah)



Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t. dan sentiasa bertawakkal kepada-Nya.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)



Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu :
1.Mengurus urusan dunianya dengan qanaah,
2.Urusan akhiratnya dengan bersegera,
3.Menuntut ilmu dan bersungguh-sungguh.”



Allah berfirman yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.”
(Surah al-Nahl, ayat 97)



Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.(bersyukur dan redha dengan ketentuan Allah)”
 ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah
1. Berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan.
2. Percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.”
 (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Maksud hadis di atas untuk melahirkan sifat qanaah dan bersyukur kita dikehendaki melihat betapa orang-orang yang dibawah kita lebih susah, miskin, menderita, kecacatan fizikal dan kurang berilmu dan sebagainya. Dari sinilah akan melahirkan keinsafan dalam hati bahawa Allah s.w.t. masih mengurniakan banyak nikmat-Nya kepada kita.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya. Allah s.w.t akan menambahkan rezeki-Nya dijalan yang tiada di sangka-sangka.



Tanda kita bersyukur diatas nikmat rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t. kita laksanakan zakat, sedekah dan amal jariah. Tanda kita bersyukur diatas nikmat kesihatan tubuh badan dan akal fikiran kita melaksanakan ibadah dan amalan soleh dan sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. dan tanda kita bersyukur diatas nikamat ilmu pengetahuan yang kita peroleh adalah kita pergunakan ia untuk menegakkan Islam dan melaksanakan peraturan hidup yang diturunkan Allah s.w.t. kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.


Ingatlah! Bahawa Syurga di disediakan oleh Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah terdiri daripada mereka-mereka yang sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t ketika di dunia ini dan sentiasa memperhambakan diri kepada-Nya.
















 

No comments: