Saturday, June 19, 2010

Sifat Amanah adalah Sifat Yang diTuntut Oleh Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat amanah adalah salah satu daripada sifat yang  dituntut oleh Islam . Amanah bermaksud melaksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab, boleh dipercayai, jujur dan ikhlas. Maksudnya seseorang itu boleh melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa melakukan sebarang unsur-unsur penyelewengan dan tipu helah.

Pentingnya amanah kepada umat Islam bolehlah diperhatikan kepada maksud hadis berikut, daripada Ali r.a katanya, kami duduk bersama Rasulullah s.a.w , lalu muncul seorang daripada keluarga al-Aliyah dan bertanya kepada Rasulullah : "Wahai Rasulullah !, beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang palling berat dalam agama dan apakah yang ringan?". Maka jawab Rasulullah s.a.w: "Yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah syahadat,dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah."
(Hadis Riwayat al-Bazar at-Tabrani)

Hadis tersebut menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab untuk melaksanakan amanah, hingga baginda menyatakan tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah.Tanggungjawab amanah itu menjadi serangkai atau bergandingan dengan agama. Seterusnya dari Insan r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :
"Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad,al-Bazar at-Tabrani)

Kalau diperhatikan daripada kedua-dua hadis yang dibacakan tadi, tentulah dapat dibuat kesimpulan berhubung dengan keadaan yang berlaku ditengah-tengah masyarakat kita hari ini. Bagaimana dengan kedudukan orang yang terlibat dengan kes rasuah, kes pecah amanah yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit sebagaimana yang dipaparkan oleh media cetak, dituntut dan didengar melalui media elektronik.Tidakkah menunjukkan mereka tidak amanah? Sedangkan amanah itu sendiri sangat dituntut dalam ajaran Islam?. Di samping itu, marilah kita perhatikan pula kepada insiden-insiden tidak amanah yang dalam masyarakat kita, apakah tindak-tanduk kepada mereka yang diamanahkan kuasa benar-benar melaksanakan amanahnya dengan penuh tanggungjawab?.

Ingatlah! Orang-orang yang tekah melakukan perbuatan khianat atau tidak amanah akan diisyaratkan dihadapan semua makhluk pada hari pembalasan, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a dari Nabi s.a.w sabdanya yang bermaksud : "Setelah Allah mengumpulkan semua makhluk dari awal hingga akhirnya, akan dikibarkan bendera hati setiap pengkhianat lalu dikatakan : "Inilah pengkhianatan sipulan bin sipulan".
(Hadis Riwayat Muslim).

Justeru, mahukah kita kalau di hari pembalasan nanti diisyaratkan sebagai pengkhianat sebagaimana yang disebutkan dalam maksud hadis tadi? Atau kita bersedia untuk menghindarkan diri daripada terjerumus kedalam golongan yang dimaksudkan itu?.Bagi menghindarkan diri seseorang daripada diisyaratkan sedemikian rupa dihari pembalasan kelak, maka tunaikanlah apa yang diamanahkan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum dan syariat serta janganlah mengkhianatinya.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : 
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum diantara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat".
(Surah An-Nisa' ayat 58)

Setiap umat Islam dianjurkan berpegang teguh dengan kemuliaan sifat amanah hinggakan terhadap orang yang mengkhianatinya sekalipun, kita dinasihatkan supaya tidak bertindak balas dengan cara khianat.Tegasnya sifat amanah adalah menjadi tunggak kepada kemuliaan akhlak umat Islam.

Sahabat yang dihormati,
Setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya merupakan amanah. Seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk memimpin umat adalah amanah. Sekiranya ia tidak menjalankan hukum-hukum Allah di dalam pemerentahannya maka sebenarnya ia telah menghianati Allah dan tidak amanah. Inilah bentuk amanah yang paling penting sekali kerana dengan tertegaknya hukum-hukum Allah maka akan sempurnalah kehidupan manusia. Membuat ihsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah amanah. Memberikan hak kepada yang berhak adalah amanah. Melaksanakan ibadah dengan ikhlas adalah amanah. Demikianlah luasnya pengertian amanah yang perlu kita tunaikan.

Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab melaksanakan amanah umpamanya sebagai suami mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap isterinya malah sebagai ketua dalam keluarga tersebut, sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang berat untuk melaksanakan amanah terhadap isteri-isteri, anak-anak, ahli-ahli dibawah peliharaan dan jagaannya. Seorang anak bertanggungjawab menyara kedua ibu bapanya yang telah tua adalah amanah.

Demikian juga bagi seorang isteri ada tanggungjawab berat terhadap suami dan mengekalkan hubungan akrab dengan ibu bapa dan keluarga suami. Apabila telah menjadi ibu, tanggungjawabnya pula semakin bertambah untuk melaksanakan amanah Allah yang telah mengurniakan anak kepadanya dan mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Sebagai seorang pekerja samaada bekerja dengan kerajaan atau swasta, bekerja dengan tekun dan jujur, tidak 'curi tulang' adalah amanah.

Jelaslah bahawa amanah merupakan tanggungjawab besar yang mesti dipelihara,samada berbentuk fizikal atau kebendaan seperti barangan, wang dan sebagainya atau moral seperti bekerja dengan amanah juga menuntut pelaksanaan kerja yang cekap, layanan yang ramah dan mesra, menepati masa dan janji ditunaikan.

Sifat amanah yang menampilkan kemuliaan akhlak serta kesempurnaan peribadi seseorang Muslim. Dari Ubadat bin As-Samir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Berikanlah padaku enam jaminan dari diri kamu, aku menjamin Syurga untuk kamu: 
Pertama : Benar bila berkata.
Kedua : Menepati janji.
Ketiga : Menunaikan amanah.
Keempat : Pejamkanlah mata kamu daripada yang ditegah (tidak melihat perkara maksiat)
Kelima : Peliharalah faraj (kemaluan) kamu. (tidak berzina)
Keenam : Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis sesuatu berita fitnah)
(Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Akhirkata, marilah kita bersifat amanah kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama. Tunaikanlah semua tugas samaada besar atau kecil dengan m amanah. Semuanya akan dinilai oleh Allah s.w.t. dan diharapkan kita akan ditempatkan dihari akhirat nanti bersama-sama para Nabi dan Rasul dan orang-orang soleh kerana dapat melaksanakan amanah ketika di dunia ini.



No comments: