Sunday, August 29, 2010

Berdo'alah Kepada Allah Supaya di Jauhi Su'ul Khatimah (Penyudah Yang Buruk)

Sahabat yang dikasihi,
Seorang yang meninggal dunia mendapat husnul khatimah (penyudah yang baik) adalah orang yang berjaya dan berbahagia, sebaliknya jika seseorang  pula mendapat su'ul khatimah dalam akhir hayatnya maka kecelakaan dan keburukanlah yang akan menantinya dialam barzakh dan hari akhirat.

Su’ul khatimah (penyudahan yang buruk) adalah meninggal dalam keadaan berpaling dari Allah, berada di atas murka-Nya serta meninggalkan kewajiban dari Allah. Su’ul khatimah ialah apabila sewaktu akan meninggal dunia seseorang dikuasai oleh perasaan was-was yang disebabkan keragu-raguan atau keras kepala atau mencintai keterlaluan terhadap kehidupan dunia yang akibatnya ia harus masuk ke Neraka secara kekal jika tidak diampuni oleh Allah s.w.t.

Sebab-sebab su’ul khatimah secara ringkas antara lain adalah perasaan ragu dan sikap keras kepala yang disebabkan oleh perbuatan atau perkara dalam agama yang tidak pernah dilaksanakan dan sentiasa membelakangkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, menunda-nunda taubat, banyak berangan-angan tentang kehidupan duniawi, senang dan membiasakan maksiat, bersikap munafik dan bunuh diri.

Sahabat yang dimuliakan, 
Tidak diragukan lagi, demikian ini akhir kehidupan yang menyedihkan, selalu dikhawatirkan oleh orang-orang yang bertaqwa. Semoga Allah menjauhkan kita darinya. Terkadang nampak pada sebahagian orang yang sedang sakaratul maut, tanda-tanda yang mengisyaratkan su’ul khatimah, seperti: menolak mengucapkan syahadah, justeru mengucapkan kata-kata buruk dan haram, serta menampakkan kecenderungan padanya dan lain sebagainya.


Kita diperintahkan untuk beramal soleh, amal ibadah dan melaksanakan ketaatan kepada Allah. Sebab siapa saja yang bertaqwa dan beriman, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju bahagia. Dan tentu saja kita juga harus menjauhi amal-amal buruk agar Allah menghindarkan kita dari jalan yang celaka. Oleh itu, manusia hendaklah berusaha mendapatkan husnul khatimah pada penghujung kehidupannya.


Kisah yang dibawakan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah dalam kitabnya, al Jawaabul Kaafi, bahawa ada seseorang saat sakaratul maut, dia diingatkan, “Ucapkanlah Laa ilaha illallah.” Lalu orang itu menjawab, “Apa gunanya bagiku, aku pun tidak pernah mengerjakan solat kerana Allah, meskipun sekali,” akhirnya ia pun tidak mengucapkannya. 

Salah satu contoh su'ul khatimah adalah jenazah seorang yang hidupnya sentiasa berjudi dan menikam nomber ekor, wajahnya bertukar menjadi hitam seperti arang, tanda Allah s.w.t murka kepadanya.
 
Al Hafizh Rajab rahimahullah dalam kitab Jami’ul ‘Ulum wal Hikam, menukil dari salah satu ulama, ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Rawwad, beliau berkata: “Aku menyaksikan seseorang, yang ketika hendak meninggal diajarkan mengucap ‘Laa ilaha illallah’. Akan tetapi, ia mengingkarinya pada akhir ucapannya.”
 
Kemudian Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bertanya kepadanya tentang orang ini. Ternyata ia seorang peminum arak ( minuman keras). Selanjutnya Syaikh ‘Abdul Aziz berkata: “Takutlah kalian terhadap perbuatan dosa, kerana perbuatan dosa itu yang telah menjerumuskannya.”

 Hal serupa juga diceritakan oleh al Hafizh adz Dzahabi rahimahullah, ada seorang yang bergaul dengan peminum arak, maka saat ajal akan tiba, dan ada seseorang yang datang untuk mengajarinya syahadah, ia malah mengatakan, “Minumlah dan beri aku minum,” kemudian ia meninggal.
 
Al ‘Alamah Ibnul Qayyim rahimahullah bercerita mengenai seseorang yang diketahui gemar musik dan mendendangkannya. Tatkala wafat menjemputnya, dia diingatkan, katakanlah : Laa ilaha illallah (tetapi) dia justeru mulai mengigau dengan lagu sampai kemudian mati tanpa mengucapkan kalimat tauhid.
Beliau rahimahullah juga berkata, “Sebahagian pedagang mengkhabarkan kepadaku tentang karib kerabatnya yang hampir meninggal, sementara mereka disisinya. Mereka mentalkinkan ‘Laa ilaha illallah’, namun ia mengigau “ini murah, ini barang bagus, ini begini dan begitu,” sampai ia meninggal dan tanpa boleh melafazkan kalimat tauhid.”
 
Keterangan Ibnul Qayyim rahimahullah yang menyebutkan kisah-kisah di atas. Beliau rahimahullah berkata, “Subhanallah, betapa banyak orang yang menyaksikan ini mendapatkan pelajaran? Apabila seorang hamba, pada saat sedar, kuat, serta memiliki kemampuan, dia boleh dikuasai syaitan, ditunggangi perbuatan maksiat yang diinginkannya, mampu membuat hatinya lalai dari mengingat Allah s.w.t., menahan lisannya dari zikir, dan (begitu pula) anggota badannya dari mentaati-Nya, lalu bagaimana kiranya ketika kekuatannya melemah, hati dan jiwanya kacau kerana sakitnya nazak (tercabutnya nyawa) yang sedang dia alami? Sementara saat itu, syaitan mengerahkan seluruh kekuatan dan konsentrasinya, dan menghimpun semua kemampuannya untuk mencuri kesempatan. Sesungguhnya ini adalah kemuncaknya. Saat itu, hadir syaitan yang terkuat, sementara si hamba dalam keadaan paling lemah. Siapakah yang selamat?”
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.” 
(Surah Ibrahim, ayat 27)
Maka, orang yang dilalaikan hatinya dari mengingat Allah, (selalu) menurutkan nafsunya dan melampaui batas, bagaimana mungkin diberi petunjuk agar mendapat husnul khatimah? Orang yang hatinya jauh dari Allah , lalai dari-Nya, mengagungkan nafsunya, menyerahkan kepada syahwatnya, lisannya kering daripada zikir, serta anggota badannya terhalang dari ketaatan dan sibuk dengan maksiat, maka mustahil diberi petunjuk agar akhir kehidupannya baik (husnul khatimah).
 
Su’ul Khatimah mempunyai dua tingkatan :
  1. Tingkatan terbesar dan terburuk – iaitu orang yang hatinya penuh dengan keraguan dan penentangan saat sakaratul maut, kemudian ia mati dalam keadaan seperti ini, Maka hal ini akan menjadi penghalang antara dia dan Allah.
  2. Tingkatan yang lebih rendah – iaitu orang yang hatinya cenderung kepada urusan dunia atau keinginan syahwatnya, lalu keinginan ini tergambar di dalam hatinya saat sakaratul maut.

Biasanya, seseorang meninggal dalam keadaan yang biasa dia lakonkan pada kehidupan nyatanya. Jika buruk, maka akhirnya juga akan nampak buruk. Semoga Allah melindungi kita dari keduanya.

Sebab-sebab Su’ul Khatimah
Dari huraian ini, maka nampak jelas, bahawa penyebab su’ul khatimah adalah lawan dari penyebab husnul khatimah yang telah disebutkan. Penyebab utamanya adalah kerosakan aqidah. Di antara penyebabnya juga adalah rakus terhadap dunia, mencarinya dengan cara-cara haram, berpaling dari jalan kebaikan, serta terus-menerus melakukan perbuatan maksiat.

Terdapat beberapa faktor penyebab seseorang itu tergolong dalam golongan yang mendapat su’ul khatimah:
  1. Mengabaikan ibadat sembahyang (solat fardhu)
  2. Tidak mengeluarkan zakat bagi membersihkan hartanya
  3. Derhaka kepada ibu bapa
  4. Minum arak
  5. Menyakiti orang Islam
  6. Suka memecah-belah kaum muslimin
  7. Suka mengurangi takaran dan timbangan
  8. Suka menipu kaum muslimin
  9. Menyusahkan dan mengelincirkan mereka
  10. Suka mengaku-ngaku sebagai wali Allah atau juga mengingkari para wali-Nya
  11. Melakukan perkara-perkara yang keji dan lain-lainnya
Selain itu mereka adalah para ahli bid’ah dalam agama, yang menanamkan rasa ragu-ragu kepada Allah dan Rasul-Nya serta keberadaan hari akhirat. Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, kerana jika Allah s.w.t. berkehendak ilmu itu difahami, di yakini. diamalkan dan disampaikan kepada orang lain, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang kita mampu.
 
Berkata Abu Laith - Barangsiapa yang ingin selamat dari seksa kubur maka haruslah ia melazimi 4 perkara dan meninggalkan 4 perkara:
  1. Menjaga solat fardu lima waktu
  2. Banyak bersedekah
  3. Banyak membaca Al Quran
  4. Banyak bertasbih dan berzikir.
 Dan hendaklah ia meninggalkan:
  1. Meninggalkan dusta
  2. Meninggalkan sifat khianat
  3. Meninggalkan sifat mengadu-domba
  4. Menjaga kencing.
Sahabat yang dihormati,
Mukmin sejati peroleh nikmat ‘kehidupan’ di alam kubur “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” 

Kerana itu kita jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia ini sehingga lalai dan lupa akan akhirat, sedangkan akhirat itulah tempat kekal abadi. Sebenarnya tanda-tanda orang yang mati dalam husnul khatimah itu boleh dilihat semasa hayat atau hidup seseorang itu, iaitu mereka taat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya, mengamalkan perkara berkebajikan dan menjauhi kemaksiatan.
 
Alam barzakh adalah satu alam lain yang pasti akan ditempuh dan dihuni manusia selepas kehidupan dunia ini. Manusia tetap berada di alam barzakh sehinggalah kedatangan hari kiamat sebagai tanda berakhirnya dunia. Mukmin yang baik dan beramal soleh akan berada di alam barzakh dalam keadaan aman sentosa kerana memperoleh nikmat kubur hasil amalan kebaikan mereka semasa di dunia seperti solat, puasa, zakat, haji dan sedekah. Allah s.w.t kurniakan untuk orang-orang Mukmin dialam barzakh seperti taman-taman Syurga.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Yang akan mengikuti mayat (semasa dihantar ke tanah perkuburan) tiga perkara (iaitu): kaum keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang (kembali ke rumah) iaitu keluarga dan harta. Satu (saja) yang tinggal (yang ikut bersamanya ke alam barzakh) iaitu amalannya.” 
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
 
Merenung sabda Baginda s.a.w. itu menjadikan kita insaf bahawa nikmat kehidupan ini terlalu mahal harganya. Manusia hanya bernilai di sisi Allah jika keseluruhan kehidupannya diisi ibadah dan amal soleh kerana hanya amal soleh bekalan terbaik menghadap Allah nanti. Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit.
 
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).” 
(Surah al-A’raf, ayat 34)
 
Hakikatnya, kehidupan adalah kesempatan berbuat baik dan satu-satunya modal untuk mencapai kebahagiaan serta keselamatan sesudah mati. Jika nikmat kehidupan di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, maka rugi nanti bilamana seseorang dipertanggungjawabkan dengan apa yang diperbuat di hadapan pengadilan Allah.

Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud, “Apakah tidak Kami panjangkan sudah umur kamu, dalam waktu di mana kamu boleh mengingat bagi mereka yang mahu ingat. Dan sudah datang kepadamu yang memberikan teguran dan perhatian.” 
(Surah Fatir, ayat 37)
 
Seseorang yang dikurniakan umur sehingga 60 tahun namun masih belum menyedari erti kehidupan, hatinya tidak tergerak melakukan ketaatan dan bertaubat kepada Allah, maka tipislah harapan untuk meraih santunan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidaklah Allah menerima uzur terhadap seseorang yang sudah diberikan tempoh hidupnya sampai 60 tahun.”
 
Sayyidina Ali k.w.  pernah mengungkapkan (bermaksud): “Dunia ialah pasar akhirat yang mana orang Mukmin adalah saudagarnya, amal soleh keuntungannya, dosa kerugian, manakala panjang usia modalnya.”

Alam barzakh (kubur) adalah satu pengalaman atau tempat singgah pertama dan sementara yang akan dialami seseorang sesudah mati, sebelum tibanya hari akhirat. Itulah tempat yang akan menjadi Taman Syurga bagi orang-orang yang beriman, tetapi menjadi lubang Neraka bagi orang-orang yang jahat yang ingkar perintah Allah s.w.t. dan yang menyekutukan-Nya.

Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Sayyidina Uthman bin Affan apabila berada di kawasan perkuburan, beliau menangis tersedu-sedu sehingga basah seluruh janggutnya.
Seseorang bertanya kepada beliau, “Tuan ingat Neraka, tuan tidak menangis. Tetapi tuan menangis kerana melihat kubur, mengapa demikian? Saidina Uthman menjawab: Saya menangis kerana takutkan peringatan daripada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: 'Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka jika seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudian lebih mudah lagi, dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).” 
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
 
Selagi umur kita masih ada dan Allah s.w.t. memberi waktu hidup, bersegeralah rujuk kepada Allah s.w.t. dan bertaubat jika terlanjur berbuat dosa, patuhi perintah, jauhi tegahan-Nya serta jadikan taqwa sebaik-baik bekalan. Andainya maut datang secara mengejut, kita sudah mempunyai persiapan untuk pulang ke pangkuan Ilahi.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda, “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi).” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
 
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada puteranya: “Wahai anakku, bersegeralah kamu bertaubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba, dan apabila malaikat maut datang, dia tidak memberitahumu terlebih dulu.”

Sahabat, 
Semoga Allah menlindungi kita dari su’ul khatimah. Seseorang yang amalan lahirnya baik, serta batinnya juga senantiasa bersama Allah, jujur dalam perkataan dan perbuatan, maka dia tidak akan mengalami su’ul khatimah. Sebaliknya, su’ul khatimah akan dialami oleh orang yang aqidahnya rosak, amalan lahirnya rosak, berani melakukan dosa-dosa besar, bahkan mungkin ia melakukan itu sampai ajal menjemput tanpa sempat bertaubat. 

Oleh itu jauhilah perbuatan-perbuatan haram, dan didiklah hati, lisan serta anggota badannya untuk mengingati Allah dan tetap kepada Allah di mana pun berada.

 "Ya Allah, jadikanlah amal terbaik kami sebagai penutup amal kami. Jadikanlah umur terbaik kami sebagai akhirnya. Dan jadikanlah hari terbaik kami sebagai hari kami menjumpai-Mu. Ya Allah, berilah taufik kepada kami untuk melaksanakan berbagai kebaikan dan menjauhi semua kemungkaran. Amiin."
 


No comments: