Sunday, August 29, 2010

Berdo'alah Semoga Kita Mendapat Husnul Khatimah (Penyudah Kehidupan Yang Baik)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mengalami kematian, samaada cepat atau lambat adalah bergantung kepada suratan amal dan masa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).”
(Surah al-A’raf, ayat 34)

Marilah sama-sama kita mengingati kematiaan kerana dengan mengingati kematian membuatkan kita sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Pelbagai persediaan harus kita lakukan setiap masa dan ketika untuk menghadapi kematian, agar kematian yang kita ingini insya Allah tercapai, iaitu husnul khatimah (penyudahan yang baik).

Husnul khatimah bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Keadaan seseorang saat tutup usia memiliki nilai tersendiri, kerana balasan baik dan buruk yang akan diterimanya bergantung pada keadaan ketika saat tutup usianya.
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : “Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan selainnya)

Oleh sebab itulah, seorang hamba Allah yang soleh sangat risau akan kesudahan hidupnya. Mereka melakukan amal soleh berterusan, merendahkan diri kepada Allah agar Allah memberikan kekuatan untuk tetap istiqamah sampai meninggal dunia dunia. Mereka berusaha merealisasikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takqa dan janganlah kalian mati melainkan dalam keadaan Muslim (berserah diri).”
(Surah ali-‘Imran, ayat 102)

Dari Abdullah bin ‘Amr bin Ash radhiallahu anhu, dia mengatakan, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w.bersabda: ‘Sesungguhnya kalbu-kalbu keturunan anak Adam berada di antara dua jari dari jari-jari Allah laksana satu hati, Allah membolak-balikkannya sesuai kehendak-Nya,’ kemudian baginda s.a.w. berdoa: ‘Ya Allah, Dzat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu."
(Hadis Riwayat Muslim)

Itulah pentingnya keadaan yang menutupi penghujung usia. Sementara itu, keadaan seseorang pada detik-detik terakhir kehidupan ini, tergantung amal perbuatan pada masa lampau. Barangsiapa yang berbuat baik di saat waktu dan usianya memungkinkan, maka insya Allah akhir hidupnya baik. Dan jika sebaliknya, maka sudah tentu keburukan yang akan menimpanya. Allah s.w.t. tidak akan pernah menzaliminya, meskipun sedikit. Mengingat pentingnya masalah ini dan keharusan memperhatikannya, maka dengan memohon kepada Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Husnul Khatimah adalah pengakhiran yang baik, iaitu seorang hamba, sebelum meninggal, ia diberi taufik dan hidayah untuk menjauhi semua yang dapat menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t.. Dia bertaubat dari dosa dan maksiat, serta semangat melakukan ketaatan dan perbuatan-perbuatan baik, hingga akhirnya dia meninggal dalam keadaan ini. Ini berdasarkan hadis shahih dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hamba-Nya, maka Allah memanfaatkannya”. Para sahabat bertanya, “bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Allah akan memberikannya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan dishahihkan al Hakim dalam Mustadrak)

Husnul khatimah memiliki beberapa tanda, di antaranya ada yang diketahui oleh hamba yang sedang sakaratul maut, dan ada pula yang diketahui orang lain. Tanda husnul khatimah, yang hanya diketahui hamba yang mengalaminya, iaitu diterimanya khabar gembira saat sakaratul maut, berupa redha Allah sebagai anugerah-Nya. Allah Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Rabb kami ialah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan):’Janganlah kamu merasa takut dan jenganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.”
(Surah Fushshilat, ayat 30)

Khabar gembira ini diberikan saat sakaratul maut, dalam kubur dan ketika dibangkitkan dari kubur. Sebagai dalilnya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,“Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Dan barangsiapa tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun benci untuk bertemu dengannya”. Aisyah r.a. bertanya, “Wahai Nabi Allah! Apakah (yang dimaksud) adalah benci kematian? Kita semua benci kematian?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bukan seperti itu. Akan tetapi, seorang Mukmin, apabila diberi khabar gembira tentang rahmat dan redha Allah serta Syurga-Nya, maka ia akan suka bertemu Allah. Dan sesungguhnya, orang kafir, apabila diberi khabar tentang azab Allah dan kemurkaan-Nya, maka ia akan benci untuk bertemu Allah dan Allah pun membenci bertemu dengannya.”

Mengenai hadis ini, al Imam al Khatthabi mengatakan, “Maksud dari kecintaan hamba untuk bertemu Allah, iaitu ia lebih mengutamakan akhirat daripada dunia. Kerananya, ia tidak senang tinggal terus menerus di dunia, bahkan bersiap sedia meninggalkannya. Sedangkan makna kebencian adalah sebaliknya.”

Menurut Imam Nawawi pula, “Secara syari’at, kecintaan dan kebencian yang diperhitungkan adalah, saat sakaratul maut, saat taubat tidak diterima lagi. Ketika itu, semuanya diperlihatkan bagi yang sedang nazak (proses pengambilan nyawa), dan akan nampak baginya tempat kembalinya.”

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat tiga faktor terpenting penyebab husnul khatimah :

Pertama, iaitu melakukan ketaatan dan bertakwa kepada Allah. Intinya ialah merealisasikan tauhid, menjauhi hal-hal yang diharamkan, dan segera bertaubat dari perbuatan haram yang dilakukannya. Tindakan yang paling besar adalah syirik, baik syirik besar mahupun syirik kecil. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.”
 (Surah an-Nisaa’ ayat 48)

Keduanya, hendaknya berdoa kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh agar berakhirnya hayat kita dalam keadaan beriman dan bertakwa. Nabi s.a.w mengatakan do'a dapat mengubah Qadha' dan Qadar maka berdo'alah sesungguhnya Allah tidak akan menolak permintaan daripada hamba-hamba-Nya.

Ketiga, hendaknya mengerahkan segala kemampuan dalam memperbaiki diri, secara lahir dan batinnya, niat dan maksudnya diarahkan untuk memperbaiki diri.  Allah memberikan taufik kepada orang yang mencari kebenaran. Apabila niat kita baik  dan bersangka baik dengan Qadha' dan Qadar Allah maka Allah akan bersangka baik dengan kita.

Sahabat,
Sebaik-baik umur adalah yang dipanjangkan umur tetapi penuh dengan taat kepada Allah dan amal soleh. Seburuk-buruk umur adalah yang panjang umurnya tetapi penuh dengan dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t.. Orang yang akan selamat di alam akhirat adalah yang selamat di alam kubur. Orang yang selamat di alam kubur adalah orang yang selamat ketika di akhir hidupnya.

Akhir hidup yang baik sulit didapat jika kita sehari-harinya tidak taat kepada Allah dan taat kepada Rasul. Oleh kerana itu, supaya akhir hidup kita menjadi baik (husnul khatimah) maka mulai sekarang kita harus menjadi orang yang taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan selalu beramal soleh. Orang yang do'anya akan dimakbul oleh Allah adalah mereka yang beriman, taat, mengamalkan sunnah Rasul, banyak beramal saleh, banyak berjasa kepada orang lain dan menjauhi dosa dan maksiat kepada Allah. Mintalah kepada Allah untuk akhir hidup kita yang baik dengan do'a-do'a di bawah ini.

Di antara doa-doa yang perlu diamalkan adalah :

هَŰšْ لِي Ű­ُكْمًۧ وَŰŁَلْŰ­ِقْنِي ŰšِŰ§Ù„Ű”َّŰ§Ù„ِŰ­ِينَ

Hablii hukmaw wa al hiqniy bish shoolihiin

Maksudnya, “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh.
(Surah asy-Sy’araa, ayat 83)

Ű§Ù„Ù„Ù‡Ù… ۧۏŰčل ŰźÙŠŰ± ŰčÙ…Ű±ÙŠ ŰŁŰźŰ±Ù‡ و ŰźÙŠŰ± Űčملي ŰźÙˆŰ§ŰȘيمه و ŰźÙŠŰ± ŰŁÙŠŰ§Ù…ÙŠ يوم Ù„Ù‚Ű§ŰŠÙƒ

Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika Maksudnya, “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku yaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).”
(Hadis riwayat Ibnus Sunny)

Ű§Ù„Ù„Ù‡Ù… ۧ۟ŰȘم Ù„Ù†Ű§ ŰšŰ­ŰłÙ€Ù† Ű§Ù„ŰźŰ§ŰȘÙ…Ű© ÙˆÙ„Ű§ ŰȘŰźŰȘم ŰčÙ„ÙŠÙ†Ű§ ŰšŰłÙ€ÙˆŰĄ Ű§Ù„ŰźŰ§ŰȘÙ…Ű©

Maksudnya, “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk).”

Adab supaya dikurniakan Husnul Khatimah :

Sebaik-baik umur adalah umur yang panjang dan penuh dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk umur menurut Allah adalah yang panjang umurnya tetapi diisi dengan dosa dan maksiat kepada Allah.
  1. Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalan sehari-hari. Oleh kerana itu, isilah hari-hari kita dengan selalu meningkatkan iman dan amal soleh.
  2. Selain berusaha untuk selalu meningkatkan ibadah fardhu dan sunat, maka perlu memperbanyak amalan ihsan, iaitu amalan yang memberi kebaikan kepada orang banyak, baik berupa ajakan untuk kembali kepada Allah (dakwah ilallaah), menyebarkan ilmu, menyebarkan kasih sayang, menyebarkan amal saleh, dan selalu tawa shaubil wa tawaa shaubish-shabr.
  3. Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agamanya.
  4. Jangan sekali-kali berfikir untuk mengakhiri hidup dengan jalan pintas kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan jalan pintas (bunuh diri) tidak akan diterima amalnya dan dipastikan dia akan masuk Neraka.
  5. Ajal adalah sebuah misteri, merupakan rahsia Allah. Ia datang secepat kilat, tetapi tidak datang-datang walaupun telah dinanti-nantikan setiap saat. Namun jika ajal telah datang, tidak boleh ditunda atau dimajukan walaupun sedetik.
  6. Mengamalkan do'a untuk dijadikan orang yang husnul-khatimah pada setiap akhir solat fardhu.
  7. Selalu menumbuhkan perasaan khauf dan rajaa (takut dan harap), iaitu takut akan tidak diampuninya dosa-dosanya dan berharap bahawa Allah itu Maha Rahman dan Rahim yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya.
  8. Ketika sudah ada tanda-tanda akan dipanggil oleh Allah, perbanyaklah membaca kalimat thayyibah, Nabi s.a.w. ada menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah Laa Ilaaha illallah orang itu dijamin masuk Syurga.
Tanda-tanda kematian dalam husnul khatimah :

1. Meninggal dengan sempat mengucapkan dua kalimah syahadah menjelang kematiannya. Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang akhir ucapannya Laa Ilaaha illallaah, maka ia masuk Syurga.”
(Hadis riwayat al-Hakim)

2. Meninggal dalam keadaan berkeringat (berpeluh) di dahi (keningnya). Sabda Rasulullah s.a.w., “Bahawa matinya seseorang Mukmin itu dengan keluarnya peluh di dahi.”
(Hadis riwayat oleh Ahmad dan Tarmizi, dari Buraidah bin al Hashib r.a.)


3. Mati syahid di medan jihad (perang) kerana membela agama Allah. Bagi orang yang mati syahid ada 6 kelebihan:
  • Akan diampuni dengan serta merta dosanya serta diperlihatkan tempat duduknya di Syurga (kecuali mereka yang masih ada urusan hutang).
  • Diselamatkan dari seksa kubur.
  • Aman dari ketakutan yang teramat besar dan dahsyat.
  • Diperhiasi dengan iman.
  • Dikahwinkan dengan bidadari (semiskin-miskin ialah 49 bidadari).
  • Dapat memberi syafaat kepada 70 orang keluarganya. Riwayat oleh Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah.
4. Meninggal sebagai tentera di jalan Allah.

5. Meninggal kerana melahirkan anak. (Sahih Muslim)

6. Meninggal semasa hamil atau di dalam masa nifasnya (wanita) iaitu meninggal kerana melahirkan anaknya. Diriwayatkan Imam Ahmad dan selainnya, dengan sanad yang shahih dari ‘Ubadah bin ash Shamit r.a., sabda Rasulullah s.a.w., “Dan wanita yang dibunuh anaknya (kerana melahirkan) masuk golongan syahid, dan anak itu akan menariknya dengan tali pusarnya ke Syurga.”
(Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabrani)

7. Meninggal kerana penyakit taun. Sabda Rasulullah s.a.w., “Taun itu satu kematian syahid bagi setiap Mukmin. (Hendaklah ia sabar dan redha menganggungnya).”
(Hadis riwayat oleh Muslim).

8. Meninggal akibat sakit perut maka ia mati syahid, sabda Rasulullah s.a.w., “Dan barang siapa mati kerana sakit perut maka ia mati syahid.”
(Hadis riwayat oleh Muslim)

9. Mati tenggelam (lemas) dan tertimbus oleh bangunan. (Sahih Muslim)

10. Meninggal dengan sebab terbakar. (Riwayat At-Tabrani)

11. Meninggal dengan sebab sakit dzatul jambi (radang selaput dada). Rasulullah s.a.w. pernah menyebutkan macam-macam orang yang mati syahid, termasuk orang yang mati terbakar. Demikian pula orang yang meninggal lantaran menderita radang selaput dada, iaitu bengkak yang meradang, nampak pada selaput yang ada di bahagian dalam tulang-tulang rusuk. (Hadis diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya)

12. Meninggal kerana sakit TB. Sabda Rasullullah s.a.w., “Orang yang mati kerana menanggung penyakit kurus kering ia mati syahid.” (Hadis riwayat Tabrani)

13. Meninggal akibat luka perang di jalan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya, “Barangsiapa yang luka kerana perang di jalan Allah itu mati, maka bererti ia syahid, atau kena pijak oleh unta atau kudanya atau ia mati ditempat tidurnya (setelah berperang itu) dengan sebab apa-apa pun yang dikehendaki oleh Allah, maka sesungguhnya ia adalah mati syahid dan akan masuk Syurga.”
(Hadis riwayat Daud)

14. Meninggal dalam mempertahankan harta yang akan dirampas. (Riwayat Bukhari, Abu Daud dan an Nasai)

15. Meninggal kerana mempertahankan diri, jiwa, keluarga dan agamanya. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, “Barangsiapa yang terbunuh kerana membela hartanya, maka ia syahid. Barangsiapa terbunuh kerana membela keluarganya, maka ia syahid. Barangsiapa terbunuh kerana membela agamanya, maka ia syahid. Dan barangsiapa yang terbunuh kerana membela darahnya, maka ia syahid.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan an Nasai)

16. Meninggal dalam bersiap-siap untuk berperang di jalan Allah.

17. Meninggal sebagai murabith (pasukan yang berjaga di daerah/wilayah perbatasan) di dalam perang di jalan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w., “Berjaga-jaga sehari-semalam (di daerah perbatasan) lebih baik daripada puasa berserta solat malamnya selama satu bulan. Seandainya ia meninggal, maka pahala amalnya yang telah ia perbuat akan terus mengalir, dan akan diberikan rezeki baginya, dan ia terjaga dari fitnah.”

18. Meninggal ketika sedang beramal soleh seperti sedang menuntut ilmu (ilmu yang dibolehkan oleh Islam) di masjid atau sedang berdakwah. Sabda Rasulullah s.a.w., “Barangsiapa mengucapkan Laa ilaha illallah karena mencari wajah (pahala) Allah kemudian amalnya ditutup dengannya, maka ia masuk Syurga. Barangsiapa berpuasa kerana mencari wajah Allah kemudian amalnya diakhiri denganya, maka ia masuk Syurga. Barangsiapa bersedekah kemudian itu menjadi amalan terakhirnya, maka ia masuk Syurga.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan selainnya)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang laki-laki berjalan di sebuah jalan lalu dia menemukan sebuah ranting berduri ditengah jalan maka disingkirkannya ranting itu dengan bersyukur kepada Allah Ta'ala. Allah mengampuni dosanya kerana perbuatannya itu.” Baginda bersabda pula, “Para syuhada (orang-orang yang mati syahid) lima macam:

(1) Al Math'un orang-orang yang tewas kerana penyakit kolera (penyakit menular atau wabak)
(2) Al Mabthun - orang-orang yang ditewas kerana sakit perut atau melahirkan
(3) orang yang tewas kerana tenggelam
(4) Orang yang tewas kerana ditimpa tanah longsor atau pohon tumbang dan sebagainya
(5) Orang yang tewas dalam perang Fi Sabilillah.”
(Hadis Sahih Muslim)

Akhirkata, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita dimana kesalahan dan dosa yang sering kita lakukan kepada Allah s.w.t. Sentiaslah beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. di atas dosa-dosa kita supaya di penyudahan kehidupan kita dikurniakan Allah husnul khatimah. Tidak ada  kebaikan yang lebih besar yang kita miliki melainkan mendapat husnul khatimah dan di masukkan ke dalam Syurga di hari akhirat nanti.

No comments: