Sunday, November 7, 2010

Hadis Muthahharah : Kesempurnaan Islam


 Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadis Riwayat Malik dalam Muwatha dan Hakim dalam Mustadrak - Hadis hasan)

Dan termasuk sunnah Rasul-Nya ialah mengikut sabda dan arahan Nabi  s.a.w. dalam segala tindakan dan amalan. Terdapat satu hadis yang panjang dan merangkumi kesempurnaan Islam yang perlu kita fahami dan hayati di dalam kehidupan kita.

Dari Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah s.a.w.  yang mana dia menyatakan tujuannya : Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat. Maka baginda s.a.w telah berkata kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang alim

Baginda S.A.W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim 

Dia berkata : Aku mau menjadi orang paling kaya

Baginda S.A.W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri engkau maka engkau akan jadi orang paling kaya 

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang adil

Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia 

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang paling baik

Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia 

Dia berkata : Aku mau menjadi orang yang istimewa di sisi Allah 

Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan zikrullah niscaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah 

Dia berkata : Aku mau disempurnakan imanku 

Baginda S.A.W menjawab : Perelokkan akhlakmu niscaya imanmu akan sempurna 

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik) 

Baginda S.A.W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin 

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang taat  

Baginda S.A.W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat 

Dia berkata : Aku mau berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa  

Baginda S.A.W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa niscaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa 

Dia berkata : Aku mau dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya  

Baginda S.A.W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya 

Dia berkata : Aku mau dikasihi oleh Allah pada hari qiamat  

Baginda S.A.W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain niscaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat 

Dia berkata : Aku mau dihapuskan segala dosaku  

Baginda S.A.W menjawab : Banyakkan beristighfar niscaya akan dihapuskan( kurangkan ) segala dosamu 

Dia berkata : Aku mau menjadi semulia-mulia manusia  

Baginda S.A.W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain niscaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia 

Dia berkata : Aku mau menjadi segagah-gagah manusia  

Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah niscaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia 

Dia berkata : Aku mau dimurahkan rezeki oleh Allah  

Baginda S.A.W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) niscaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu 

Dia berkata : Aku mau termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya  

Baginda S.A.W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh mereka 

Dia berkata : Aku mau diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat  

Baginda S.A.W menjawab : Jangan marah kepada orang lain niscaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya 

Dia berkata : Aku mau diterima segala permohonanku  

Baginda S.A.W menjawab : Jauhilah makanan haram niscaya segala permohonanmu akan diterimaNya 

Dia berkata : Aku mau agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat

Baginda S.A.W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain niscaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat 

Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa? 

Baginda S.A.W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan 

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?  

Baginda S.A.W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian ( bala ) 

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?  

Baginda S.A.W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan 

Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ?  

Baginda S.A.W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang 

Dia berkata: Apakah yang akan memadamkan api Neraka pada hari qiamat? Baginda S.A.W menjawab : sabar di dunia dengan bala dan musibah.

Telah berkata Imam Mustaghfirin : "Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat hadis ini"
 
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama amalkan hadis ini untuk membaiki akhlak kita dan melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Semoga semua amal-amal soleh dan kebaikan yang kita laksanakan akan mendapat kerdhaan Allah s.w.t.

1 comment:

Anonymous said...

maaf bertanya...status hadis ini sheikh?? (fuad)