Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t telah ditetapkan rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah s.w.t yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.
Manusia diminta untuk berusaha, berdo'a dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah s.w.t. dimuka bumi ini.
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Taqwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir dengan Allah s.w.t. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi taqwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah s.w.t. Orang yang bertaqwa adalah orang Mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah s.w.t., malahan semua yang harus pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.
Allah s.w.t. akan membantu orang-orang yang bertaqwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah s.w.t. Bukan setakat ini saja, malahan Allah s.w.t. akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan, yang sedikit diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan.
Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
"Jika sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh."
Orang-orang yang bertawakkal ialah mereka yang yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah s.w.t. dan mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat nanti.
Diceritakan bahawa ada seorang pencuri kain kafan yang ingin bertaubat. Ia datang ke hadapan Abu Yazid Al-Bustami. Maka Abu Yazid bertanya kepada orang itu :
"Syukur engkau telah bertaubat, tetapi apakah sebabnya engkau ingin bertaubat?"
Ia menjawab, "Lebih kurang seribu kuburan telah aku gali, semua muka mereka itu berpaling dari arah kiblat, hanya ada dua mayat yang tetap mukanya menghadap kiblat."
Maka Abu Yazid berkata, " Kasihan mereka! Kerana ragu-ragu tentang rezeki sehingga menyebabkan muka mereka berpaling dari arah kiblat."
Sesiapa yang tidak yakin rezeki datang daripada Allah s.w.t. dan lebih yakin pada manusia atau usahanya sendiri sebenarnya ianya telah syirik kepada Allah s.w.t itu sebabnya 998 orang wajahnya lari daripada kiblat (ragu-ragu dengan rezeki datangnya daripada Allah) dan hanya dua orang sahaja yang menghadap kiblat, masya Allah.
Oleh itu, sebagai orang yang beriman, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.
Tawakkal atau berserah diri dalam perkara rezeki, bukanlah bererti penyerahan diri secara lahiriah dengan hanya duduk berpangku tangan tanpa bekerja. Yang dimaksudkan disini ialah kita harus yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah telah menjamin rezeki bagi segala makhluk yang telah diciptakan-Nya. Untuk mendapat jaminan tersebut, manusia mestilah berusha dan berikhtiar untuk mendapatkannya, melainkan orang-orang tertentu diberi kelebihan oleh Allah s.w.t.
Dalam persoalan tawakkal ini, kita juga harus beringat agar tidak melakukan syirik kepada Allah. Contohnya, apabila kita memperolehi sesuatu setelah berusaha dan kita merasai bahawa dengan kepandaian kitalah menyebabkan kita perolehi keuntungan yang besar dan berlagak sombong maka sebenarnya kita telah lari daripada tawakkal kepada Allah s.w.t.. Yakinilah bahawa dengan izin Allahlah berlakunya sesuatu perkara.
Sahabat yang dikasihi,
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah s.w.t hanya berada ditangan-Nya dan Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa berwudhu', menghubungkan silaturahim, solat dhuha, solat tahajjud , berzikir dan membaca al-Qur'an. Amalan-amalan soleh ini jika diamalkan akan membina jambatan hati kita dengan Allah s.w.t. dan apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan do'a kita dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.
Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakkal kepada Allah dengan hakikat tawakkal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini.
Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah.
No comments:
Post a Comment