Saturday, December 4, 2010

Takut Kepada Allah Sifat Orang Mukmin.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam jiwa manusia hanya boleh menerima salah satu saja samaada jalan fujur (keburukan) atau jalan taqwa. Manusia boleh buat pilihan sendiri tanpa dipaksa-paksa.

Firman Allah s.w.t :
فَŰŁَلْهَمَهَۧ فُŰŹُÙˆŰ±َهَۧ وَŰȘَقْوَŰ§Ù‡َۧ
 "Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada fujur (kejahatan), dan yang membawanya kepada bertaqwa" (Surah Ash-Syams ayat 8)

Apabila seseorang itu memilih jalan fujur (kejahatan) maka manusia akan menanggung akibat daripada kesilapan ini  . Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya dia (akan merasakan) kehidupan yang sempit (di dunia), dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” (Surah Thaaha ayat 124).


Sebaliknya orang Mukmin akan memilih jalan taqwa kerana jalan ini boleh menyelamatkan kehidupannya di dunia dan akhirat.


Firman Allah s.w.t. maksudnya :
"Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas. (Surah al-Baqarah ayat 212)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"(Surah al-An'am ayat 32)

Sahabat yang dimuliakan,
Hati manusia yang memilih jalan fujur (kejahatan) sebenarnya ia mengundang syaitan hadir di hatinya, jiwanya akan dikuasai hawa nafsu amarah, matlamat hidupnya hanya untuk dunia semata-mata, jiwanya tidak pernah merasa puas dengan kemewahan hidup dan tidak pernah bersyukur. Demi untuk mengejar dunia yang mempersonakan tidak kira halal haram semuanya dikebas tanpa takut bahawa satu hari nanti ia akan bertemu dengan Allah s.w.t dan akan disoal hartanya darimana dia perolehi dan kemana pula dia belanjakan?

Berbeza pula dengan orang yang memilih jalan taqwa, hatinya sentiasa diisi dengan malaikat kerana banyaknya berzikir dan meningati Allah, banyak membaca al-Qur'an dan solat tahajjud, ia merasakan bahawa hidup di dunia adalah tempat sementara waktu dan di akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Di dunia adalah tempat ia bercucuk tanam dan  di akhirat adalah tempat memetik hasil-hasilnya.

Orang bertaqwa tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Ia terus gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah s.w.t.

Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam  memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, tidak akan dapat menikmati kesenangan. Orang bertaqwa  sekali-kali tidak akan terpengaruh dengan ajakan  syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita melihat satu kisah yang di ceritakan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin, menukilkan satu kisah teladan antara seorang guru dan beberapa orang muridnya. Di kalangan murid-murid itu ada seorang murid yang lebih di sayangi oleh guru. Sampailah suatu ketika mereka merasa tidak puas hati meluahkan perasaan kepada guru. "Kenapa dia lebih di sayangi daripada kami semua?" Guru tidak banyak menjawab, malah memberi satu tugas kepada semua muridnya termasuk murid yang tersayang.

Kata guru itu, " Ambillah tiap orang dari kamu seekor burung ini dan sembelih burung itu tanpa di lihat oleh sesiapa pun." Setelah melakukan tugas yang di beri oleh guru, kembalilah semua mereka dengan sembelihan masing-masing. Mereka begitu gembira kerana telah berjaya mencapai maksud guru supaya di sembelih burung tanpa di lihat oleh sesiapa pun. Anehnya, murid yang tersayang telah kembali tanpa menyembelih burung itu, Guru bertanya kepadanya di hadapan murid-murid lain, "Kenapa kamu tidak menyembelihnya?" Jawab murid berkenaan, " Puas saya mencari tempat yang tidak boleh di lihat orang. Ke mana jua saya pergi, tidak dapat lari dari di lihat oleh Allah s.w.t." Mendengar penjelasan murid berkenaan, fahamlah murid-murid yang selainnya kenapa ia di sayangi oleh guru.

Demikian syakhsiah orang yang muraqabah. Perbuatannya luhur, perkataannya benar, fikirannya bersih, hatinya mulia. Tersemat pada dirinya takut sebenarnya pada murka Allah s.w.t. dan tidak takut selain daripada Allah s.w.t. Bimbangnya pada nasib akhirat mengatasi bimbangnya akan pengaruh di dunia. Ia tidak banyak berkata-kata kecuali yang mengandungi kebaikan. Ia banyak merenung diri daripada berkata hal orang lain (mengumpat). Ia bimbang menerima amanah kerana takut tidak tertunai, lebih-lebih lagi amanah kepimpinan.

Sahabat,
Orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah, sentiasa menyebukkan diri dengan kerja-kerja kebajikan, membantu anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, berkhidmat pada masyarakat tanpa mengharap ganjaran. Dia bijak membahagikan masanya dengan berkesan, masa untuk dia memperkemaskan dirinya dengan ilmu agama dan kemahiran. Sentiasa meningkatkan ibadah khusus iaitu dengan membaca zikir al- Ma'thurat kubra pagi dan petang, membaca al- Quran, solat duha, solat tahajjud dan lain-lain lagi. Untuk ilmu pula memperuntukan masa untuk hadir di majlis-majlis ilmu dan ceramah agama, mengikuti program usrah dan halaqat,program-program dakwah, membaca buku-buku fikrah tulisan ulama'-ulama' muktabar, hadis dan tafsir.

Bayangkanlah, sekiranya kita laksanakan semua perkara berupa tanggung jawab di atas masa yang ada tidak mencukupi berbanding masa yang ada pada kita! Kita tidak ada masa untuk melepak di pasar-pasar raya, menonton konset-konset yang melalaikan atau memenuhi hobi tanpa ada tujuan yang jelas. Ingatlah! masa adalah kehidupan, lebih berharga dari emas dan permata, masa tidak boleh di ganti dengan harta di dunia, kalau dia berlalu bermakna habislah sebahagian daripada hidup kita.

Nabi s.a.w mengajar kita berdoa yang bermaksud " Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas, sikap bakhil dan penakut, hutang yang menyibukkan fikiran (dan mengacau hatiku) dan orang yang menindasku."
(Hadis Riwayat Bukhari).

No comments: